suria

Mardiana ‘berdakwah’ melalui teater untuk baiki diri sendiri

Mardiana Alwi manis bertudung dalam 'Teater Intan Yang Tercanai'. -foto DBP
Mardiana Alwi manis bertudung dalam 'Teater Intan Yang Tercanai'. -foto DBP
Mardiana Alwi manis bertudung dalam 'Teater Intan Yang Tercanai'. -foto DBP

PENDEKATAN pelakon Mardiana Alwi, 21, menggunakan teater sebagai cara untuk ‘berdakwah’ merupakan suatu pendekatan yang boleh jadi ikutan kepada pelakon baru akan datang.

Pendekatan ini boleh memberikan suatu ikutan yang positif memandangkan maksud ‘berdakwah’ menurut Kamus Dewan sendiri memberi makna ‘menjalankan kegiatan menyebarkan sesuatu kepercayaan’.

Mardiana akui dia memilih untuk berlakon dalam 'Teater Intan Yang Tercanai' tulisan Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan itu atas alasan ‘berdakwah’ kepada diri-sendiri dan masyarakat.

“Saya mengambil cara berdakwah kerana berlakon dalam karya Datuk Noordin Hassan sangat memberi kesan dan keinsafan kepada kita kerana ia bercerita tentang sikap manusia.

“Teater ini juga menguji dan mencabar diri saya menerusi watak Ungku Intan Anis,” kata Mardiana atau mesra dengan nama timangan Nana.

Tambah Nana, “Sebenarnya, apabila menerima tawaran teater ini saya merasakan ia satu peluang untuk mengembangkan bakat dalam bidang ini.

“Apa yang penting, saya banyak kena buat kajian sebab teater Intan Yang Tercanai memberikan skop yang begitu luas dan subjektif. Bukan senang untuk mencapai objektif utama teater ini.

“Tawaran ini ibarat satu peluang. Jadi, saya cuba mencari banyak sumber rujukan seperti buku agama mengenal diri dan Allah serta rujukan dari internet.

“Saya juga berbincang dengan pengarah dan mengikut interpretasi sendiri.”

Jelas Nana, dia merasakan tercabar memandangkan karya Noordin biasanya mempunyai makna tersurat dan tersirat.

“Karya ni masih baru dan belum dipentaskan lagi. Jadi, apa yang saya perlu lakukan adalah membuat terjemahan skrip mengikut pemahaman sendiri dan mendapatkan bantuan pelakon yang berpengalaman seperti Juhara Ayob dan Kak Ogy (Fauziah Ahmad Daud).

“Juhara merupakan pensyarah saya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) manakala Kak Ogy pula sangat peramah dan banyak membantu saya memberikan idea.

“Pada mulanya, apabila saya mendengar nama Kak Ogy akan berlakon dalam teater ini terus saya kata ‘wow, bestnya’. Saya tengok dia sama sahaja sama ada di TV atau di luar,” kata Nana yang baru menamatkan pengajiannya di ASWARA dalam bidang Diploma Teater.

Semasa mengikuti pengajiannya, Nana telah menjayakan pelbagai produksi teater antaranya Teater Klasik Macbeth (ASWARA), Muzikal Kesuma (ASWARA), Teater Mak Yong Raja Kecil Dewa Laksana (ASWARA), Bangsawan Raden Galoh (ASWARA), Bangsawan Menjunjung Duli (DBP), Teater Syurga atau Neraka (PESAM) dan Teater Bukan Dejavu (DBP).

Mahu lakonan seiring dengan nyanyian

Selain mempunyai bakat dalam bidang lakonan, Nana juga mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

Gadis kelahiran Senai, Johor ini pernah memenangi beberapa pertandingan nyanyian irama Malaysia pada peringkat negeri.

“Sebelum ni, saya pernah menyanyi lagu keroncong, ghazal dan lagu tradisional tetapi sekarang saya akan lebihkan kepada lakonan.

“Buat masa ini, saya lebih suka berlakon secara ‘freelance’. Tetapi pada masa akan datang, saya mahu seiringkan antara nyanyian dan lakonan.

“Saya bercita-cita untuk mendapat lebih peluang dalam bidang lakonan dan terlibat dengan produksi teater.

“Saya juga mahu mencuba segalanya dalam bidang seni untuk mematangkan diri dan tonjolkan diri dalam perkara baru,” katanya yang turut pernah berlakon dalam beberapa buah drama, telefilem dan filem.

Antaranya adalah Biar Rahsia, Pasrah, Salsamuay, Biar Bulan Bicara, Jalan Pulang dan Malaikat Maut.

Manis bertudung

Rupa-rupanya, ini bukan pertama kali Nana diarahkan untuk mengenakan tudung ketika berlakon kerana sebelum ini dia pernah berbuat demikian menerusi teater ‘Bukan Dejavu’.

“Saya dah biasa bertudung, bukan sahaja untuk lakonan tetapi untuk sesi fotografi dalam bidang peragaan,” katanya yang manis mengenakan tudung bagi menjayakan watak Ungku Intan Anis dalam teater ‘Intan Yang Tercanai’.

Sinopsis 'Intan Yang Tercanai'

Drama ini mengangkat keperibadian seorang wanita unggul, yang dibahasakan Ungku Anis, iaitu seorang yang bijak, menawan dan sensitif.

Keperibadian Ungku Anis yang luar biasa hingga sanggup datang bersama kawan-kawannya pada hari Danial Sundaram, (sahabatnya sejak di bangku sekolah dan tidak mempunyai fahaman agama yang jelas) menanggung kavadi menyentuh dan menharukan Danial.

Bukan itu sahaja, Ungku Anis juga terlibat dalam kerja-kerja sosial, membantu orang miskin di kampung malah hingga sanggup bersama-sama misi Kristian membantu orang di Guatemala dan negara-negara Afrika.

Dalam usia muda Ungku Anis ke Mekah, Ungku Anis telah hilang dalam peristiwa Terowong Al-Mu’aysam yang menngorbankan 1,426 jemaah haji.

Sama ada dia terkorban, tiada siapa yang tahu kerana Ungku Anis tidak pernah ditemui selepas itu.

Drama arahan pengarah A. Wahab Hamzah ini mengupas isu kemanusiaan dengan halus dan dengan lapisan makna yang perlu ditafsirkan.

Drama ini juga mengangkat sikap manusia yang dalam pencarian erti kebenaran dan juga bagaimana manusia-manusia yang hilang sifat kemanusiaan ketika dalam ujian musibah sedangkan selama ini sifat itulah yang diajarkan dan disemai ke dalam diri mereka.

Teater ini akan dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP mulai 8 hingga 12 Julai ini. Tiket berharga RM20 manakala RM10 untuk kanak-kanak boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz.

Artikel Lain