suria

Sharifah Sakinah, suami terpaksa PJJ demi kerjaya - “Kami akan tinggal sebumbung satu hari nanti”

Sakinah percaya mereka akan bersama tidak lama lagi.

PELAKON Sharifah Sakinah dan suaminya, Cyril Kongo sepakat menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ) buat sementara waktu demi komitmen kerja masing-masing.

Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, berkata jarak bukan penghalang buat mereka kerana kedua-duanya percaya akan tinggal bersama satu hari nanti.

“Suami saya sekarang berada di Jepun. Kami masing-masing bekerja secara freelancer dan pengkarya, jadi dia ada kerja dia dan saya ada kerja saya.

Sakinah dan suami mahu kejar kerjaya dahulu.

“Tapi kami akan tinggal sebumbung satu hari nanti, cuma sekarang masing-masing ada matlamat. Dalam berkarya ini, saya sentiasa fikir apa lagi yang mahu dicapai selepas ini.

“Suami saya pun sama, dia fikir apa lagi yang mahu dilukis selepas ini. Kami tidak akan berhenti kerana kami bukan sekadar bekerja, sebaliknya berkarya dan sebarkan mesej positif,” katanya kepada mStar.

Dalam masa sama, Sakinah bersyukur kerana suaminya sentiasa memberi sokongan serta memahami tuntutan kerjayanya sebagai pelakon.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakinah bahagia tanpa media sosial, kehidupan peribadi bukan untuk tatapan umum

ARTIKEL BERKAITAN: “Individu tepat adalah lelaki yang pandai menjaga ibu dan anak-anaknya” - Sharifah Sakinah

“Saya pernah beritahu suami mungkin perlu tinggalkan dia selama dua bulan kerana komitmen kerja. Itu satu anugerah apabila dia memberi keizinan untuk saya bekerja.

“Bukan mudah untuk berjauhan lebih dua atau tiga bulan, tetapi dia memahami tuntutan kerjaya saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sakinah bakal muncul dengan karya baharu berjudul Tiket Sehala yang menjalani penggambaran di Korea Selatan.

Lagi mencabar, lagi saya teruja.

SHARIFAH SAKINAH

PELAKON

Menurutnya, suhu yang terlalu sejuk menjadi cabaran sepanjang tempoh penggambaran filem berkenaan.

“Berada di sana selama dua minggu pun rasa tidak tahan. Memang mencabar dan saya perlu minum banyak air.

“Namun, saya memang sukakan cabaran. Lagi mencabar, lagi saya teruja,” katanya.

Sakinah teruja timba pengalaman baru di Korea Selatan.

Tiket Sehala merupakan filem arahan Rahila Ali yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara.

Antara pelakon yang membintangi filem berkenaan ialah Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, termasuk Hyunjun Sun, Ninja SuperThai serta Naufal Samudra.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain