suria

Hazami: Bakat saya tak kenal gawat

Hazami bakal tampil dengan album berkembar iaitu Running dan Yang Pertama mulai Oktober depan.-foto The Star oleh SAMUEL ONG
Hazami bakal tampil dengan album berkembar iaitu Running dan Yang Pertama mulai Oktober depan.-foto The Star oleh SAMUEL ONG
Hazami bakal tampil dengan album berkembar iaitu Running dan Yang Pertama mulai Oktober depan.-foto The Star oleh SAMUEL ONG

PENYANYI, penulis lirik dan komposer berbakat Nor Kamal Hazami Ahmad atau lebih dikenali sebagai Hazami, 34, tidak pernah mengenepikan kehendak peminat apabila setiap kali muncul dengan album terbarunya.

Hazami juga memastikan dirinya selari bersama peredaran masa dan mengikuti perkembangan aliran muzik terkini agar penghasilan album terbarunya bertepatan dengan kehendak pendengar dan pencinta muzik.

Dia tidak menafikan yang muzik indie lebih menguasai industri muzik kini namun tidak bermakna dia juga perlu menukar corak muzik yang pernah dipraktiknya sebelum ini.

“Genre Pop, R&B dan Soul sudah cukup luas untuk saya discover. Bagi saya, muzik indie ibarat trend.

“Ikutkan saya pun mendengar muzik indie. Tetapi saya ni jenis kalau tulis apa-apa lagu mesti perlu ada Kamus Dewan di sebelah.

“Jadi saya akan pastikan untuk membuat kelainan pada setiap lagu saya dan orang akan tahu bahawa lagu yang disusun dan diterbitkan itu dibuat oleh saya,” ulas Hazami dalam satu temubual di Menara Star semalam.

Selepas kali terakhir muncul dengan album Nyata pada tahun 2007, kali ini Hazami bakal tampil dengan album terbarunya yang lebih kepada album berkembar.

Kiranya, kali ini dia bukan sahaja menghasilkan album keempat malah turut menghasilkan album kelima sekaligus.

“Album keempat saya adalah album Inggeris berjudul Running manakala album kelima saya adalah album Melayu, Yang Pertama.

“Setiap satu album mempunyai sembilan buah lagu. Album ini sangat bermakna dan menunjukkan usaha keras saya selepas dua tahun tidak mempunyai album. Insya-Allah, album ini akan berada di pasaran pada Oktober depan,” ujar Hazami.

Lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album Running adalah My Wish, Dont’ Leave, Survivor, I Need You, I Gotta Mend My Broken Heart, Wanna Be With You, Can’t Go On, What’s Left Of Me dan Always There For Me.

Sementara lagu yang berada dalam album Yang Pertama seperti Kuat, Petanda, Yang Pertama, Kenangan Cinta Bahagia, Kau Tinggal Sebuah Melodi, Ku Menanti, Di Mata Mu, Seribu Pujaan dan Sebagai Janji.

Kata Hazami, dia mempunyai alasan tersendiri untuk menghasilkan album berkembar yang pertama kali dihasilkan itu.

“Kalau kita lihat sekarang, ekonomi memang tengah meleset namun bakat saya tak pernah gawat. “Alhamdulillah, saya dapat menghasilkan album ini dengan mengeluarkan duit yang saya simpan sebelum ini.

“Semuanya saya buat bermula dari design, mixing dengan bantuan orang profesional dalam masa lapan bulan.

“Namun, cabarannya tetap ada apabila saya sukar hendak merakam lagu-lagu Melayu dan Inggeris mengikut feel dan cara nyanyian yang berlainan,” katanya.

Selepas meneliti dan mendengar tiga buah single lagu Melayu yang telah diterbitkan oleh Hazami Records iaitu lagu Yang Pertama, Petanda dan Kenangan Cinta Bahagia, ternyata lagu-lagu yang sepenuhnya dihasilkan oleh Hazami dengan bantuan anak didiknya, Farith Taib itu masih tidak lari daripada genre yang dikuasai olehnya sebelum ini namun tidak bermakna lagu-lagu itu membosankan.

Begitu juga dengan tiga single lagu Inggeris iaitu lagu Wanna Be With You, Can’t Go On dan I Gotta Mend My Broken Heart.

Melodinya yang menyentuh perasaan seakan-akan selari dengan bait liriknya yang puitis dan penuh bermakna itu.

“Penulisan lirik memang mengikut cara saya yang mementingkan nilai dan kualiti bahasa.

“Jika orang kata saya sangat puitis, saya masih agungkan Bahasa Melayu. Bagi saya, saya suka menulis lagu klasik dan bertahan lama walaupun 15 tahun akan datang.

“Jadi, apabila saya dan peminat hendak mendengar semula, Insya-Allah akan berpuas hati,” luahnya.

Bakal berduet dengan Azharina

Bertanya tentang perancangan terbarunya selepas ini, komposer lagu Rawan nyanyian Azharina ini akan berkolaborasi dengan penyanyi itu.

“Insya-Allah, saya akan menghasilkan lagu duet iaitu Akur dengan Azharina pada bulan Januari tahun depan,” katanya yang telah menghasilkan dalam 50 buah lagu sepanjang tahun ini.

Selain itu, dia sedang mencungkil bakat baru seperti Farith Taib, Rudi Jamil, Anuar Zulkifli dan adiknya, Riz Ibrahim.

Selepas menerbitkan album pertama Farith Taib, Dinamik Cinta dan Cinta yang bakal keluar pada Julai depan, Hazami dalam proses menerbitkan EP Rudi dan Anuar yang memuatkan enam buah lagu setiap seorang pada November depan.

Harapan Hazami yang telah bergelar penyanyi, penulis lirik, komposer dan penerbit dalam masa lapan tahun ini, “Saya berharap semoga pelapis saya iaitu Farith Taib, Rudi Jamil, Anuar Zulkifli dan Riz Ibrahim boleh membuat lagu, menulis lagu dan membuat segalanya yang telah saya lakukan sebelum ini.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain