suria

Infotainment baru 'ERA TV' di Astro Ria Khamis ini

SEBUAH lagi rancangan hiburan hebat terbitan Astro, berjudul ERA TV bakal menemui para penonton pada setiap hari Khamis, jam 10.30 malam di Astro RIA.

Rancangan hiburan yang akan mula bersiaran pada 12 Mac 209 ini akan diacarakan oleh penyampai-penyampai radio dari radio Era secara bergilir-gilir.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA, Encik Khairul Mizan Shagul, “Kami di Astro sentiasa peka akan kehendak para pelanggan dan berazam untuk terus menawan hati mereka dengan memberikan kepelbagaian dalam rancangan-rancangan yang ditawarkan.

Sehubungan dengan itu, kami berasa bangga untuk memperkenalkan sebuah lagi rancangan yang berasaskan hiburan dan muzik yang akan menampilkan berita-berita dan perkembangan terkini mengenai pelbagai acara hiburan di tanahair seperti muzik, filem, teater, drama dan sebagainya melalui Era TV.”

“Melalui Era TV, para penonton berpeluang untuk memenangi tiket-tiket untuk menyaksikan acara-acara hiburan, album-album dan juga tiket-tiket wayang dari semasa ke semasa.,” tambah Khairul lagi.

Program hiburan yang akan bersiaran selama 30 minit pada setiap minggu ini mempunyai tiga segmen utama iaitu segmen muzik, kaki wayang dan sudut sembang.

Pada segmen muzik, para penonton dapat mengikuti Carta Era; iaitu 20 lagu-lagu paling popular yang dimainkan di radio Era melalui Carta Era mingguan.

Selain itu, para penonton juga akan dibuai melalui tayangan video kilp lagu-lagu dari Indonesia dan lagu-lagu baru di Era. Bukan itu sahaja, para penonton yang menyaksikan rancangan hiburan ini berpeluang untuk menyaksikan tayangan eksklusif muzik video artis yang belum pernah ditayangkan di mana-mana stesen TV sebelum ini.

Bagi menghebatkan lagi program, segmen ‘Kaki Wayang’ diperkenalkan bagi berkongsi maklumat terbaru mengenai filem-filem box office yang rancak dimainkan di pawagam-pawagam.

Selain dari itu, para penonton juga berpeluang untuk mengenali artis-artis undangan pada setiap minggu melalui sudut sembang.

Info-info terkini dan perkembangan terkini acara-acara hiburan tanahair juga akan dikongsi bersama para penonton pada setiap minggu.

Jangan lupa untuk saksikan ERA TV pada setiap hari Khamis, jam 10.30 malam bermula pada 12 Mac 2009. Siaran ulangan juga akan ke udara pada setiap Jumaat, jam 6.30 petang.

Artikel Berikut

Artikel Lain