suria

Pondok-Pondok dan Studio Nabil dicipta khas untuk Nabil

Sitkom Studio Nabil bakal menemui penonton Mac ini.
Sitkom Studio Nabil bakal menemui penonton Mac ini.
Sitkom Studio Nabil bakal menemui penonton Mac ini.

UNTUNG batu tenggelam, untung sabut timbul - mungkin itulah yang dapat diperkatakan mengenai perjalanan karier seni juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad.

Jejaka kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini sememangnya insan yang bertuah kerana belum pun dua tahun usia karier seninya sebagai pelawak dia telah diberikan peluang mengacarakan rancangan yang dicipta khas untuknya.

Peluang yang diberikan oleh sebuah stesen televisyen Media Prima, TV9 untuk mengacarakan dua buah rancangan, Pondok-Pondok dan Studio Nabil nyata tidak dipersiakan oleh jejaka yang sedang meniti popularitinya tersendiri.

Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda dua program baru yang diterbitkan itu sememangnya dicipta khas untuk Nabil kerana karekter dan bakat semulajadi yang ada dalam diri jejaka tinggi lampai itu.

“Sesuai dengan bakat semulajadi yang pada Nabil, kami yakin dia mampu menggalas tanggungjawab sebagai pengacara dua program ini dengan baik.

“Nabil pada masa yang sama turut memberikan ideanya untuk memantapkan program ini pada peringkat awal,” katanya.

Jelasnya lagi, konsep rancagan Pondok-pondok adalah membawa orang dewasa memahami dunia kanak-kanak.

“Ada kalanya orang dewasa perlu membawa diri mereka ke dalam dunia kanak-kanak agar mereka lebih faham dengan bakat yang dimiliki oleh anak mereka,” ujarnya selepas majlis perasmian program Pondok-pondok dan Studio Nabil.

Nabil yang ditemui sebaik program itu berakhir berkata dia begitu teruja dengan peluang yang diberikan namun pada masa yang sama dia tetap akan memberikan komitmen sebaik mungkin sama seperti rancangan lain.

“Saya sangat menghargai peluang yang diberikan lebih-lebih lagi bila menggunakan nama sendiri. Namun pada masa yang sama saya anggap ia cabaran besar dan saya akan pasti akan memberikan yang terbaik dalam program ini.

“Kalau bercerita tentang kanak-kanak saya agak biasa dengan mereka walaupun saya tak ada anak. Tapi saya selalu bergurau dan menyakat anak-anak buah saya di kampung,” ujar Nabil yang sedang intim dengan pelakon Irma Hasmie.

Menurut Nabil lagi, dia tidak terikat dengan mana-mana stesen televisyen maka tidak timbul sola dia menjadi hak ekslusif sesebuah stesen.

“Pihak TV9 juga tidak mengikat kontrak untuk jadi duta mereka,sebaliknya ia kontrak untuk program. Tidak timbul soal eksklusif di sini,” kata jejaka yang berusia 26 tahun ini.

Jelasnya,dia tidak meletakkan sebarang harga untuk setiap tawaran yang diterimanya.

"Saya lebih suka kalau orang boleh gembira dengan lawak saya itu lebih baik daripada meletakkan harga untuk setiap tawaran yang diterima.

"Saya tak nak buat diri saya mahal hanya kerana kita ada nama, bagi saya biarlah berpatutan, itu lebih baik rasanya," katanya yang akan muncul dalam filem Lu Pikirlah Sendiri Nabil.

Menceritakan lebih lanjut mengenai rancangan Pondok-Pondok, Nabil berkata ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk sama-sama terlibat dalam beberapa segmen menarik dan interaktif seperti masak-masak, fesyen-fesyen, kahwin-kahwin, cikgu-cikgu, ubah suai, bercerita, dan banyak lagi.

"Mereka juga berpeluang menari, menyanyi, bermain silap mata serta berpeluang menonjolkan bakat terpendam masing-masing," kata Nabil.

Diterajui oleh Azura Abdul Karim selaku penerbit, Pondok-Pondok akan memulakan siarannya pada 15 Februari ini setiap Ahad, jam 9 malam.

Pada bulan Mac nanti sebuah lagi program berbentuk sitkom komedi, Studio Nabil yang diterajui oleh Raja Lawak musim kedua itu akan disiarkan.

Sitkom ini menampilkan Nabil sebagai pemilik studio jamming dan dibantu oleh pelakon, Sharifah Shahirah sebagai setiausahanya.

Pada setiap minggu, penonton akan dapat menyaksikan kemunculan istimewa artis-artis terkenal tanah air seperti Meet Uncle Hussein, Faizal Tahir, Raja Azura, Mawi, Kristal dan ramai lagi. Penonton akan dihiburkan dengan pelbagai gelagat lucu daripada artis-artis undangan tersebut.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan dua program menarik di TV9 sepanjang bulan Februari dan Mac ini, rancangan Pondok-Pondok yang akan mula bersiaran pada 15 Februari, Ahad, 9 malam dan sitkom komedi yang bakal mencuit hati Studio Nabil pada 7 Mac, Sabtu, jam 9malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain