suria

Kehebatan vokal Khaty masih tiada tandingan

"Khadijah Ibrahim - The Pearl Anniversary Concert" yang baru dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas selama dua malam (17 dan 18 November)adalah lambang kayu ukuran kehebatan penyanyi tinggi lampai yang menempa nama ketika usianya baru 18 tahun.

Selama 30 tahun di persada seni, Khaty (panggilan manjanya) yang juga adik kepada pelakon Sophia Ibrahim dan penyanyi Latiff Ibrahim ini dapat melihat sendiri bagaimana kehebatan vokalnya yang masih memukau berjaya mendorong berbagai lapisan masyarakat untuk datang menyaksikan konsertnya.

Mungkin juga tarikan yang sama membuat Raja Permaisuri Agung, Tuanku Nur Zahirah sudi mencemar duli. Begitu juga antara barisan VIP yang hadir pada konsert Khaty iaitu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Shahrir Samad.

Khaty memulakan persembahan dengan satu rangkap lagu "Leaving on a Jet Plane" - satu pilihan yang baik. Bermula dari situ, Khaty telah mengajak penonton mengikuti siri perjalanan seninya yang bermula dari usia 15 tahun, ketika dia kehilangan ayah dan ibu tercinta, 'road tour' nya yang menjelajah Machang dan Tasik Chini sehinggalah ke hari ini.

Kalau hiburan yang anda harapkan, memang itulah yang diberi. Sememangnya tidak mengecewakan kerana kesemua lagu yang disampaikan merupakan mercu kegemilangan penyanyi yang dilantik menjadi Duta 'Malaysia Truly Asia.'

Kesemua lagu disusun cantik dan rapi oleh penggubah lagu terkenal, Mac Chew dengan diiringi pemain muzik handalan seperti Hassan Steve Thornton, Gary Gideon, Jenny Chin, Andy Peterson dan beberapa nama lain.

Sementara empat gadis manis (salah seorangnya adalah anak Khaty - Siti Hajar Aishah) menjadi penyanyi latar pada malam itu. Segmen duet antara Khaty dan pelapisnya, Siti Hajar cukup mengasyikkan dan mengharukan.

Namun seperkara yang perlu diambil perhatian ialah durasi konsert selama dua jam tanpa sebarang 'intermission'. Mungkin ia merupakan satu kepuasan bagi peminat fanatik Khaty. Tapi agak lama bagi sesetengah penonton kerana ada yang kelihatan agak gelisah dan berada di dalam keadaan 'serba salah.'

Untuk meninggalkan tempat duduk bermakna mereka akan ketinggalan 'repertoire' yang menarik, tapi untuk terus duduk menghayati membuat mereka rasa tidak selesa.

Tanpa membuat masa, Khaty membuai perasaan penonton dengan membawa 12 lagu hit secara medley. Lagu-lagu popularnya selama ini yang menjadi teman dan penawar membawa 1001 kenangan manis buat semua.

Tapi alangkah manisnya sendainya susunan lagu ini dibuat dengan lebih rapi.

Susun aturnya (sequence) lagu-lagu ini jika dibuat dengan lebih baik dapat menggamit nostalgia yang indah lagi mengesankan.

Namun sesuatu yang membanggakan, Khaty memilikki stamina yang hampir sama macam dulu kerana beliau mampu membawa hampir 15 lagu tanpa henti dan tanpa disulam dengan seteguk air. Itu adalah antara sebab yang membuat Khaty mampu bertahan hingga sekarang. Jarang sekali penyanyi senior mempunyai stamina dan kelincahan seperti Khaty. Dengan stail tersendiri, Khaty sudah meletakkan batu asas sebagai lagenda tanah air.

Apa saja lagu hit Khaty yang terlintas di benak anda telah disampaikan pada konsert petang itu. Dan itulah yang membuat cetusan perjalanan seni Khadijah Ibrahim begitu menarik sekali.

Ada suka, duka, manis dan berbekas. Hanya si penyanyi saja yang bisa mengungkapkan lagu dengan begitu berkesan sekali. Ternyata impian Khaty untuk menghiburkan peminatnya pada petang itu tercapai.

Dengan rangkaian lagu-lagu merdu seperti Ayah, Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Ku Pendam Sebuah Duka, Rindu dan Airmata, Dunia Hanya Pinjaman, Hijrah Percintaan, Badai Semalam, Halimun, Sehari Dalam Cinta, Wajah Impian, Titisan Kasih, Esok, Aku yang Masih Merindumu dan banyak lagi - tidak berbaloi rasanya konsert seistimewa itu dengan harga tiket.

Disambut pula dengan repertoire pusingan kedua dengan dendangan Ku Gembira di Sampingmu, Potret Kasih, Aku Disalahkan, Tangisan Hati yang Derita, Aku, Dia dan Malam - mustahil tiada seorangpun hadirin yang digamit memori silam?

Suara gemersiknya dan kejelitaan wajah yang hampir tidak berubah adalah satu tarikan mengapa peminat Khaty tetap bersama menyokongnya selama ini. Terserlah keunikan penyanyi dan penghibur ulung ini. Ternyata, Khaty mempunyai personaliti menarik kerana selain menyanyi, beliau bijak mengambil hati penonton dengan jenaka selambanya. Meskipun humornya memperli badan korporat sibuk membantu promosi "perkahwinan Mawi-Ikin" jua "Siapa itu Mawi?", penonton tahu Khaty hanya bersenda dan tiada sekelumit rasa negatif di hatinya.

Riak jenaka lain yang membuat ramai tersenyum apabila Khaty berkata seandainya dia dianugerahkan darjah kebesaran, maka gelaran 'Tun' yang paling sesuai untuknya. Ini kerana gelaran itu paling rasi digandingkan dengan nama 'Tun Teja'. Teja adalah panggilan Datuk Ahmad Nawab untuk Khaty.

Pilihan lagu Inggeris petang itu diceduk dari album Khaty dulu dan ianya turut menghiasi konsert Khaty. Antara yang dimuatkan ialah Everyday Girl, Just Thinking of Us dan Memories. Khaty sempat bergurau, beliau memilih lagu Memories kerana lagu ini paling disenangi bekas suaminya Rashid pada satu ketika dulu.

Antara kemuncak persembahan konsert petang itu adalah gandingan Datuk Ahmad Nawab dengan Khaty dalam lagu "Sabar Menanti". Suara gemersik Khaty ternyata terlalu merdu bila mendendangkan lagu ini.

Begitu juga Dewan Filharmonik menjadi hening seketika apabila Kathy menyampaikan lagu komposer Dr Wan Zawawi, Rintihan Dari Benua dengan iringan biola.

Khaty juga tidak melepaskan peluang berduet dengan rakan baiknya Ramli Sarip dalam lagu Doa Kekasih - kebetulan juga lagu kegemaran Raja Permaisuri.

Suasana sekali lagi menjadi syahdu bila Khaty menyampaikan Auntumn Leaves. Mungkin lebih indah seandainya lagu ini tidak disulam dengan jenaka kerana momentum lagu bagaikan tidak mencapai klimaksnya.

Ketika Khaty dedikasikan lagu 'Terbang Pulang' ciptaan M.Nasir pada kenalannya, Ismail Gareth, yang menyambut hari ulangtahun pada hari itu, penonton tercari-cari kelibat Gareth. Yang penting, Gareth merupakan tunggak kejayaan konsert Khaty pada malam itu. Selebihnya, lagu "Ku Gembira Di Sampingmu" layak memberi jawapan pada perhubungan mereka? "Peristiwa di bulan November" mengakhiri konsert pada malam itu tapi ramai yang tidak terus pulang. Peluang keemasan untuk bersama idola tersayang tidak dilepaskan begitu saja. Ramai berkerumun dan beratur mendapatkan autograf dan kebetulan album terbaru Khaty berjudul 'Mutiara' ada di jual di luar.

"Ok tak konsert tadi?" sapa Khaty. Itulah Khadijah Ibrahim. Walaupun sudah 30 tahun berada dalam dunia seni, penyanyi yang merendah diri dan disenangi ramai ini masih tidak dapat mengagak persepsi peminatnya.

Yang pasti, konsert Khaty tiada duanya. Ianya amat menghiburkan dan akan selalu jadi sebutan - bagikan manik-manik 'Mutiara' yang akan senantiasa menghiasi perjalanan seni Khadijah Ibrahim!

Artikel Sebelum

Artikel Lain