suria

RTM bersedia memperbanyakkan rancangan etnik Malaysia

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia memperbanyakkan rancangan yang menyentuh pelbagai etnik Malaysia berdasarkan keperluan semasa, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kementeriannya juga menggalakkan penyiaran filem dan drama yang berlatar belakangkan keindahan dan keunikan Sabah dan Sarawak untuk pengetahuan umum dan tarikan pelancong.

"Saya telah arahkan mereka (RTM) supaya memberikan keutamaan sekiranya ada produser filem dan sebagainya yang sanggup membuat drama yang berlatar belakangkan Sabah dan Sarawak," katanya semasa menjawab soalan Datuk Dr Marcus Majigoh (BN-Putatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

"Ramai orang melawat Korea selepas drama Winter Sonata, nak pergi tempat Heroya duduk, bangku dan sebagainya, kenapa tidak sekiranya ada drama atau filem yang dikaitkan dengan Sabah dan Sarawak.

"Ini mesti ditonjolkan. Insya Allah ia akan menjadi tarikan untuk pelancong bukan sahaja datang ke Malaysia tetapi juga untuk melawat Sabah dan Sarawak," tambahnya. Shabery berkata RTM sendiri juga bersedia untuk memasarkan filem atau drama tersebut ke luar negara.

Malah beberapa negara juga telah mengadakan perjanjian usahasama untuk membeli bahanbahan yang dikeluarkan RTM untuk dipaparkan di televisyen masingmasing, katanya.

Shabery juga berkata RTM menitik berat pembangunan kandungan rancangan di RTM dalam melaksanakan tanggungjawabnya memberi penerangan dan menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat. Oleh kerana itu, program pendigitalan RTM akan menyaksikan penambahan saluran televisyen RTM yang secara tidak langsung akan turut melibatkan aspek pembangunan kandungan tempatan ditingkatkan, katanya semasa menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai pembangunan kandungan rancangan di RTM.

Beliau berkata dengan menambah saluran televisyen, ianya juga akan memberikan peluang kepada lulusan universiti tempatan peluang untuk terlibat dalam bidang pembangunan kandungan tempatan. "RTM hanya dua saluran dan ini tidak mencukupi. Sekarang kita ada banyak Universiti Multimedia yang melahirkan ramai graduan yang boleh menghasilkan content, tetapi mereka tidak ada outlet untuk mengeluarkan manamana content mereka. Sebab itu program pendigitalan TV RTM sangat diberi keutamaan," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan Dr Marcus mengenai cadangan menambah saluran TV RTM, Shabery berkata ia akan dapat dilaksanakan apabila program pendigitalan RTM dilaksanakan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Nikki perjuang jiwa wanita

Artikel Lain