suria

Drama Puteri Salju hiasi slot Lagenda TV3

HIKAYAT dongeng ’Snow White’ yang begitu sinonim dengan cermin ajaib dan 7 orang kerdil, akan menemui penonton dengan olahan versi moden berjudul ’Puteri Salju’.

Slot Lagenda yang mula diperkenalkan tahun ini, berjaya menarik minat khalayak apabila berjaya mencatatkan rating sehingga 1.6 juta penonton.

Puteri Salju merupakan hasil arahan dari sutradara Hitler Zami dan diterbitkan oleh Orangetree Communications Sdn Bhd.

Manakala Mufid Suhaimi Bahaudin bertindak sebagai penulis skrip drama bersiri sebanyak 20 episod ini.

Puteri Salju membariskan pelakon-pelakon seperti Puteri Fateen, Fizzow Omar, Sabrina Ali, Sharifah Shahira, Heryanto Hassan, Abby Nadzri, Rosnah Mat Aris, Jehan Miskin dan penampilan istimewa 7 orang kerdil.

”Selain pengajaran daripada garapan watak ibu tiri yang berdendam dan busuk hati, drama ini turut memberikan pedoman untuk dijadikan teladan menerusi watak dan perwatakan yang dibawa oleh setiap pelakon.

Puteri Salju juga membawakan mesej mengenai setiap kebaikan itu akan dibalas dengan kebaikan begitu juga sebaliknya dan menyedarkan mereka yang tidak sempurna seharusnya tidak merasa rendah diri kerana mereka juga dianugerahi dengan pelbagai keistimewaan yang lain,” ujar Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Pn Nurul Aini Abu Bakar.

Sinopsis

Puteri Salju menceritakan tentang Zarina yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki cinta Mohamad.

Perkhabaran mengenai Juriah (isteri Mohamad) yang sudah berbadan dua membuatkan dendam Zarina semakin kuat.

Lantas, dia menggunakan khidmat bomoh Kelly cantik untuk menggugurkan kandungan Juriah. Ternyata, usahanya itu membuahkan hasil apabila Juriah yang terpedaya dengan ubat yang diberikan oleh Kelly Cantik meninggal dunia namun bayinya yang putih gebu berjaya diselamatkan dan diberikan nama Puteri Nor Puteh.

Setelah pelbagai cara, Mohamad akhirnya terpaksa akur dengan kehendak naluri lelakinya dengan menikahi Zarina.

Tahun silih berganti, Puteri Nor Puteh telah meningkat remaja dan kecantikan yang dimilikinya membangkitkan perasaan iri hati terhadap Zarina.

Dia tekad untuk menghapuskan Puteri yang dirasakan penghalang hubungannya dengan Mohamad. Dia mengupah orang untuk membunuh Puteri.

Namun, Puteri terselamat dan terpaksa mencari pelindungan di dalam hutan. Ketika inilah Puteri ditemui oleh tujuh orang kerdil dan dijaga dengan baik sebelum musibah lain pula menimpanya.

Bagi penggemar drama-drama Melayu jangan ketinggalan menyaksikan Puteri Salju yang akan ke udara melalui slot Lagenda mulai 17 November 2008, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain