suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Terbang dari Subang bawa 521kg syabu! Jet peribadi sangkut di Laos, rakyat Malaysia antara 13 ditahan

Datuk Hussein Omar Khan.

 

PENEMUAN 521 kilogram (kg) dadah jenis syabu dalam sebuah jet peribadi membawa kepada penahanan 13 individu, termasuk seorang rakyat Malaysia.

Pesawat jenis Learjet itu didapati berlepas dari Subang, Selangor, namun warganegara Malaysia yang ditahan terbabit tidak menaiki penerbangan berkenaan.

Operasi tersebut dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos, kira-kira pukul 1.30 petang pada 1 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati pesawat terbabit melakukan penerbangan dari Subang menuju ke lapangan terbang di Laos itu.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum menerima maklumat terperinci daripada pihak berkuasa antidadah Laos.

"Berdasarkan maklumat yang kita ada setakat ini, seorang daripada 13 individu yang ditahan ialah rakyat Malaysia.

"Siasatan mendapati jet peribadi itu terbang dari Subang ke Laos, tetapi juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat tersebut bukan warganegara Malaysia," katanya pada Selasa.

Ditanya sama ada sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan kes penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia sebelum ini, Hussein berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Malah katanya, masih terlalu awal untuk polis membuat sebarang kesimpulan.

Terdahulu, akhbar Vientiane Times pada Selasa melaporkan polis Laos menggagalkan cubaan menyeludup 500 bungkusan syabu melalui pengangkutan udara pada 1 Oktober.

Pemeriksaan terhadap pesawat Learjet dengan nombor pendaftaran N73GP menemukan 23 beg pakaian.

Daripada jumlah itu, 21 beg mengandungi bahan kristal putih dipercayai dadah dengan berat keseluruhan 521kg.

Operasi dilancarkan susulan maklumat yang diterima pihak berkuasa wilayah pada 21 September mengenai rancangan penyeludupan oleh sindiket rentas sempadan.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, seorang pelancong asing, tiga pekerja sektor swasta serta tujuh kakitangan lapangan terbang.

Tiga daripada 13 individu yang ditahan merupakan wanita. -The Star

Artikel Lain