Toyota Hilux yang dipandu mangsa ditemukan di dasar gaung sedalam kira-kira 100 meter pada Selasa. -Foto JBPM Gua Musang
SEORANG lelaki warga emas berusia 60 tahun yang dilaporkan hilang sejak 4 Oktober lalu, ditemukan maut di dasar gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Ladang Pos Pulat, dekat Gua Musang, pada Selasa.Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, penemuan tersebut susulan rakan sekerjanya membuat pencarian berdasarkan lokasi terakhir live location mangsa di kawasan berkenaan. Ujar Choon Foo, kemalangan dipercayai berlaku pada Ahad selepas pikap jenis Toyota Hilux dipandu mangsa terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung.Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, live location lelaki itu kali terakhir dikesan di sekitar kawasan kejadian pada petang berkenaan.ARTIKEL BERKAITAN: Ajal selepas bergaduh... Remaja lelaki hubungi polis, beritahu teman wanita tak sedarkan diri atas katil rumah sewa"Pada Selasa, rakan sekerja mangsa pergi ke lokasi terakhir live location berkenaan bagi mencari mangsa sebelum menemukan Toyota Hilux miliknya berada di bawah cerun."Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memandu kenderaan itu sebelum terbabas ke dalam gaung ketika menuruni bukit," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Ujarnya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.Choon Foo menambah, tiada individu dipercayai menyaksikan kejadian itu menyebabkan kemalangan berkenaan tidak disedari orang awam."Mayat mangsa kemudian dibawa naik dari lokasi kejadian dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya sambil menambah, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Choon Foo turut menyeru mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-912 1222.