suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

[V] “Jangan datang depan-depan, takut terkejut” - Hadie mimpi arwah Suhaimi Saad muncul bagi teguran

HAMPIR tiga tahun selepas pemergian Allahyarham Suhaimi Saad, anaknya iaitu penyanyi Hadie Elfardie mengakui kerap bermimpi tentang arwah bapanya itu.

Hadie, 18, berkata kejadian paling diingatinya berlaku kira-kira empat hari lalu selepas dia menziarahi pusara arwah di Johor.

Menurut Hadie, sebelum pulang ke Kuala Lumpur, dia sempat berdoa dan bercakap sendirian di sisi pusara bapanya dan berharap agar arwah hadir dalam mimpi sekiranya Allah mengizinkan.

Hadie tak pernah lupa ziarah pusara arwah bapa.

“Saya memang selalu mimpi ayah, cuma kadang-kadang ingat dan kadang-kadang tidak. Tapi yang paling saya ingat, baru-baru ini saya balik dari Johor dan singgah di kubur arwah ayah.

“Saya berdoa seperti biasa, kemudian saya ada cakap kepada ayah, kalau Allah izinkan ayah nak datang, datanglah dalam mimpi. Jangan datang depan-depan sebab takut saya terkejut. Kalau ayah datang nak tegur, tegurlah dalam mimpi.

“Entah kebetulan atau tidak, waktu saya duduk di situ agak lama, tiba-tiba angin bertiup kuat. Mula-mula cuaca panas, kemudian angin kuat. Mungkin kebetulan saja,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Dusta Sebuah Cinta yang berlangsung di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Ina Naim bangga Hadie tamat pengajian, tak halang anak teruskan bidang seni

ARTIKEL BERKAITAN: Hadie Elfardie belajar hidup berdikari lepas tinggal berjauhan dengan keluarga

Sebaik sahaja selesai menziarahi pusara, Hadie segera pulang ke Kuala Lumpur dan mengakui terlalu penat memandu akibat kesesakan lalu lintas.

Dia yang tiba di rumah ketika waktu Asar hampir berakhir terus merehatkan diri sehingga terlena.

“Saya masuk rumah terus baring. Entah macam mana boleh tertidur, saya bermimpi ayah.

“Dia tidak cakap banyak dan saya pun tidak nampak wajahnya, tetapi saya tahu itu ayah. Dia beri sejadah dan suruh saya solat.

Cuma saya tak mahu meratap atau menangis berlebihan.

HADIE ELFARDIE

PENYANYI

“Saya terus terjaga dan terfikir, mungkin ayah nak ingatkan saya untuk solat Asar. Saya terus bangun, beristighfar, masuk bilik air ambil wuduk dan tunaikan solat,” ujarnya.

Hadie kemudian menceritakan perkara tersebut kepada ibunya iaitu Ina Naim yang hanya memberikan reaksi lucu.

Ibunya secara berseloroh berkata mungkin kerana terlalu leka sehingga bapanya ‘datang’ mengingatkannya untuk menunaikan solat.

“Saya tak sangka pula perkara itu betul-betul berlaku. Bila saya cerita kepada mak, dia cuma gelak dan kata saya leka nak solat sampai ayah datang.

Antara foto kenangan masa kecil Hadie bersama arwah bapanya.

“Bagi saya, mungkin itu satu kebetulan, tetapi saya ambil perkara tersebut sebagai satu peringatan,” katanya.

Dalam pada itu, Hadie mengakui rasa rindu terhadap arwah bapanya tidak pernah hilang, namun dia memilih untuk mengenang pemergian tersebut dengan mendoakan Allahyarham.

“Rindu itu tetap ada. Tak boleh nak lupakan sebab dia ayah kita sendiri. Cuma saya tak mahu meratap atau menangis berlebihan.

“Setiap kali solat, saya akan doakan ibu bapa saya dan ketika itu memang saya akan teringat kepada arwah ayah.  Setiap kali rindu, saya akan doakan dia,” katanya lagi.

Hadie sentiasa utamakan pesanan ibunya, Ina Naim.

Dalam pada itu, Hadie juga sempat berseloroh agar arwah tidak terlalu kerap hadir dalam mimpi.

“Kalau boleh jangan selalu sangat sebab terkejut juga tengah tidur, penat-penat pula ayah datang.

“Tapi kalau saya terlupa atau terleka, kalau Allah izinkan, tegurlah saya dengan cara yang baik,” kongsinya.

Untuk rekod, Suhaimi dan yang juga merupaka bekas anggota kumpulan nasyid In-Team meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat jangkitan kuman paru-paru pada 15 November 2023.

Artikel Lain