suria

Badan Mahar Sangat Panas Sehari Sebelum Meninggal Dunia

BELITUNG: Sehari sebelum menghembus nafas terakhirnya, Mahar si Laskar Pelangi dilaporkan  mengalami masalah kesihatan yang agak membimbangkan sahabat baiknya.

Dikenali sebagai Ocha, rakan Mahar itu berkata, dia sempat berbual-bual dengan Mahar - atau nama sebenarnya Verrys Yamarno - pada malam Ahad.

"Saya pegang tangannya dan saya dapat rasakan ia sangat panas.

"Saya tanyakan khabarnya dan dia mengaku menahan kesakitan," katanya.

Disebabkan keadaan itu, Ocha menawarkan diri untuk memicit-micit badan Verrys  tetapi pemuda berasal dari Belitung itu menolak. Sebaliknya kata Ocha, Verrys  meminta dia menggosok belakang badannya dengan wang syiling yang dipercayai dapat membantu mengatasi masalah kesihatan secara tradisional. 

Kata Ocha, dia terus membuat seperti yang diminta Verrys .





"Dia anak yang baik. Ketika saya sakit, dia banyak membantu saya, termasuk ketika saya muntah-muntah," katanya. 

Ocha mengikut sahaja  permintaan remaja yang meninggal di usia 18 tahun itu. 

Verrys  sedang mengikuti pengajian filem dan televisyen di Institut Kesenian Jakarta bersama beberapa rakan lain yang terbabit dalam filem Laskar Pelangi.

Mahar ditemui meninggal dunia di rumah sewa mereka petang Isnin.

Laskar Pelangi adalah sebuah novel karangan Andrea Hirata sebelum diadaptasi ke layar perak oleh pengarah berbakat, Riri Riza pada 2008.

Untuk mencari bakat baru menjayakan filem itu, Riri Riza melakukan sesi uji bakat membabitkan kanak-kanak tempatan di Belitung.

Filem itu juga menjalani penggambaran di pulau itu.

Selain Verrys, Laskar Pelangi juga menampilkan 11 kanak-kanak Belitung yang menjadi pelakon utama di samping Slamet Rahardjo, Cut Mini dan beberapa aktor terkenal lain.

Seorang lagi rakan Verrys , Dwi berkata, pemuda itu selalu menghadapi masalah kerana kurang tidur, atau susah untuk tidur.

"Kadang-kadang dia suka bersiar-siar pada waktu malam," katanya. 

Bagaimanapun Dwi menafikan Mahar terbabit dalam penyalahgunaan dadah. 

Sementara itu, Andrea berkata, Verrys pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Gantung, Belitung Timur kira-kira dua tahun lalu.

Kata Andrea, kecederaan dialami Verrys serius sehingga menyebabkan dia terpaksa dirawat di hospital selama dua minggu.

"Kerana itu mungkin dia mengalami penyakit vertigo."Sejak itu dia selalu mengadu pening-pening, sakit kepala dan muntah-muntah," katanya.

Mahar selamat dikebumikan pada pukul 10 pagi Selasa di Tanah Perkuburan Cempaka di Gantung, Belitung Timur.

Mahar si Laskar Pelangi

Artikel Lain