suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pakcik tak henti-henti ambil gambar mempelai, wajahnya asyik tersenyum bangga... Rupanya ada kisah lepas dipeluk pengantin lelaki

Pengantin akan mengutamakan individu yang rapat dan terdekat untuk beri jemputan ke majlisnya. -Gambar hiasan AI

ASYIK angkat telefon setiap kali pengantin lelaki lalu, gelagat pakcik di sebuah majlis perkahwinan menarik perhatian seorang tetamu.

Duduk seorang diri di meja paling belakang, warga emas berkenaan tidak henti-henti tersenyum sambil cuba mengambil gambar pengantin berarak masuk ke dalam majlis.

Pada mulanya, dia menyangka lelaki berusia itu mungkin saudara jauh salah seorang daripada pasangan pengantin sebelum mengetahui perkara sebenar.

"Aku perasan sorang pakcik tua duduk sorang-sorang dekat meja paling belakang. Baju Melayu, nampak orangnya sederhana. Songkok pun nampak dah lama.

Sudah menjadi kebiasaan tetamu mengambil gambar pengantin sebagai kenang-kenangan ketika menghadiri majlis perkahwinan. -Gambar hiasan AI

"Tapi dari awal sampai pengantin masuk, dia asyik tersenyum. Setiap kali pengantin lelaki lalu, dia angkat telefon untuk ambil gambar. Kadang-kadang gambar kabur.

"Dia padam, ambil lagi. Aku ingat saudara jauh. Sampai la pengantin lelaki datang dekat meja dia. Terus pakcik ini bangun. Pengantin pun salam tangan dia lama, kemudian peluk," ceritanya.

Setelah melepaskan pelukan, lelaki tua itu menepuk bahu pengantin sambil mengatakan budak yang dikenalinya suatu ketika dahulu kini sudah dewasa.

Tetamu yang duduk di meja sebelah mula tertanya-tanya sebelum terdengar lelaki tua berkenaan sebenarnya pakcik kantin sekolah pengantin lelaki suatu ketika dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Alamak... sabar pakcik” - Pengantin warga emas diusik, aksi cium atas pelamin curi perhatian... Rupanya cinta pertama zaman sekolah!

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran lebih sudu daripada kuah, jerkah jurugambar tengah ‘shoot’ sebelum akad nikah... Tuduh sengaja lengahkan majlis

"Pakcik tu cakap dah besar dah kau. Aku terdengar orang cakap itu pakcik kantin sekolah dia dulu. Rupanya masa pengantin lelaki itu bersekolah, keluarga dia susah.

"Ada hari, dia datang sekolah tanpa duit belanja. Pakcik itu yang selalu bagi dia makan. Tak pernah catat hutang atau minta bayaran. 

"Kalau budak tu malu, pakcik cuma cakap makan dulu, belajar elok-elok. Jadi bila nak kahwin, pakcik kantin tu jadi orang dia cari untuk diberikan kad jemputan sendiri," jelasnya lagi.

Sebelum pengantin beredar, dia sempat berpesan kepada pakcik berkenaan supaya tidak pulang awal kerana mahu mengambil gambar bersama.

  • Pakcik kantin bantu budak sekolah susah tanpa pernah berkira.
  • Bertahun kemudian, budak itu cari pakcik berkenaan untuk beri kad kahwin.
  • Gelagat pakcik ambil gambar pengantin curi perhatian tetamu.
  • Pertemuan mereka buat mata pakcik tua itu mula berkaca.
  • Kebaikan kecil ketika susah rupanya kekal dalam ingatan.

"Lelaki tua itu angguk tanda setuju ambil gambar. Mata dia dah merah. Masa tu aku terfikir dalam perjalanan hidup kita, mungkin ada orang bantu kita sekejap saja.

"Tak membesarkan atau tinggal serumah dengan kita. Mungkin nama penuh dia pun dah lupa tapi sepinggan makanan yang dia hulur ketika kita susah boleh jadi sebab kita ingat sampai sekarang.

"Manusia mungkin lupa apa yang kita pernah beri. Tapi susah untuk melupakan siapa yang pernah menjaga maruah kita ketika kita tak punya apa-apa," ujarnya mengakhiri perkongsian.

Artikel Lain