suria

Hampir jadi mangsa ‘keldai ubat’ ke Makkah, wanita dedah taktik licik jemaah sorok barang dilarang dalam bungkusan

Jemaah haji disaran meneliti barangan yang hendak dibawa bersama agar urusan ibadah di Tanah Suci berjalan lancar. -Gambar hiasan AI

MUSIM haji kembali lagi dengan jemaah dari Malaysia mula berangkat ke Tanah Suci secara berperingkat sejak minggu lalu bagi menunaikan rukan Islam Kelima.

Di sebalik melihat kemeriahan jemaah berangkat ke Makkah, seorang wanita terpanggil menceritakan pengalaman yang hampir membuatkan dia dan suami tidak dapat menunaikan ibadah haji.

Menurut wanita itu, mereka merupakan jemaah dari negeri Perak menunaikan ibadah berkenaan pada musim haji 1446H.

Kisah perjalanan mereka bermula ketika mengikuti kursus haji dan dimasukkan ke dalam beberapa kumpulan WhatsApp bersama jemaah lain.

Persiapan awal di lapangan terbang dengan menyediakan dokumen lengkap dan mengikut arahan pihak berkuasa dapat memastikan urusan perjalanan berjalan lancar. -Gambar hiasan AI

"Kami jemaah PJH (pengelola jemaah haji), penerbangan hampir hujung.

"Lagi seminggu nak terbang ada seorang hamba Allah ini yang sudah berada di Makkah minta bantuan sesiapa belum berangkat membawa ubatnya yang tertinggal," katanya memulakan cerita dalam hantaran di Facebook.

Ceritanya, atas dasar simpati dia dan suami bersetuju membantu dan mengambil kiriman ubat tersebut daripada ahli keluarga individu tersebut di Ipoh.

Namun perasaan curiga mula timbul apabila bungkusan diterima dibalut dengan rapi seolah-olah ingin menyembunyikan sesuatu.

ARTIKEL BERKAITAN: Beria nak pergi Makkah, rupanya bakal jemaah haji lari bayar hutang kawan! Hari-hari ‘update’ persiapan di Facebook

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa jemaah haji termenung tepi jalan, sesat 2 hari tak makan... Mutawif Malaysia ‘korban’ selipar, berkaki ayam bantu hantar balik hotel

"Mujurlah suami saya ada sedikit perasaan curiga sebab bungkusan tersebut dibungkus sangat rapi.

"Pengalaman suami yang banyak ke luar negara sebelum ini membuatkan dia lebih berhati-hati untuk urusan kastam di lapangan terbang," ujarnya.

Dalam kesibukan membuat persiapan terakhir, mereka akhirnya membuat keputusan membuka bungkusan tersebut pada malam sebelum berlepas.

"Kebetulan ada dua orang doktor bertamu malam itu. Alangkah terkejutnya kami apabila mendapati ia bukan sekadar ubat biasa!

Setiap individu beragama Islam pasti memasang impian untuk menunaikan haji di Tanah Suci. -Gambar hiasan

"Dikirim juga kotak rokok dan pil yang memerlukan surat doktor jika mahu melepasi kawalan airport.

"Tak dapat kami bayangkan sekiranya semua itu terbongkar di airport. Apa agaknya takdir kami pada waktu itu," tambahnya.

Wanita tersebut berkata, dia dan suami bersyukur kerana diberi 'ilham' untuk memeriksa bungkusan tersebut lebih awal sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, dia menasihatkan bakal jemaah haji agar lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membawa barang kiriman individu lain.

  • Seorang wanita kongsi pengalaman hampir berdepan masalah ketika menunaikan haji musim 1446H bersama suami.

  • Mereka membantu bawa kiriman 'ubat' untuk individu yang sudah berada di Makkah.

  • Rasa curiga timbul apabila bungkusan diterima dibalut terlalu rapi.

  • Setelah diperiksa, rupanya mengandungi rokok dan pil yang perlukan dokumen khas.

  • Dia menasihatkan bakal jemaah agar tidak sewenang-wenangnya membawa barang kiriman tanpa memeriksanya terlebih dahulu.

"Barang yang tertinggal jangan risau, boleh dibeli di Makkah atau Madinah. Kita bukan masuk 'gua', kita ke bandar besar. 

"Ubat-ubatan boleh minta pada klinik Tabung Haji. Jika nak tolong juga, pastikan dibuka dan diperiksa dahulu," menurutnya.

Dia turut berharap perkongsian pengalamannya dapat dijadikan pengajaran agar perjalanan menunaikan ibadah haji berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Tolong sebarkan kisah kami ini untuk peringatan semua. Selamat menunaikan perjalanan ibadah haji.

"Percayalah semuanya perjalanan yang sangat indah, mencabar dan penuh makna," akhirinya.

Artikel Lain