suria

Menyesal tempah makanan daripada saudara sendiri, pandai-pandai tampal pelekat bisnes... Paling geram mengaku ‘sponsor’ semua!

Ramai yang mengambil peluang bersedekah apabila saudara-mara menganjurkan majlis kenduri. -Gambar hiasan AI

NIAT murni seorang wanita untuk menaja makanan sempena majlis perkahwinan ahli saudara terdekat diuji apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan di atas ketelusan hatinya.

Ceritanya bermula apabila pengadu menghubungi salah seorang saudara lain yang memiliki perniagaan makanan bagi menempah menu bersesuaian untuk disumbangkan kepada tuan kenduri.

Mengetahui hasrat wanita berkenaan, si pemilik perniagaan itu juga terbuka hati untuk berkongsi sumbangan.

"Senang cakap dia darah daging. Jadi apabila pemilik perniagaan kuih tu tahu saya nak sponsor, dia pun nak (tumpang) juga. Dia beritahu separuh dia sponsor. Saya pun okeylah, tak kisah. 

Majlis kenduri biasanya dihadiri saudara mara dan kenalan rapat. -Gambar hiasan AI

"Hari kejadian masa nak ambil makanan tersebut, saya tengok siap ada sticker (pelekat) perniagaan dia pada bekas tu.

"Saya tak pernah harapkan dia letak nama, takkan nak canang satu dunia kita bagi.

"Tapi dia letak nama dia saja siap ada nombor telefon tanpa bertanya dan cakap dekat saya. Masa bawa makanan, terkesan la sikit sakit hati ni," luahnya di Thread.

Lebih membuatkan pengadu kecewa apabila pihak terbabit didakwa menceritakan kepada sanak saudara kononnya dia menaja keseluruhan makanan itu.

Perkara berkenaan hanya diketahui selepas majlis selesai apabila dimaklumkan oleh saudara-mara.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin pening hadap saudara mara suka meminta-minta, tak ‘sponsor’ homestay kena perli di grup WhatsApp

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas pinjam beribu duit adik-beradik, bapa pengantin rayu simpati sepupu pula! Jaja cerita famili sendiri tak bantu kenduri kahwin anak

"Dia ni jenis orang yang suka kepoh-kepoh jadi sejak sebelum majlis dia mencanang dekat semua orang makanan tu dia taja sepenuhnya.

"Saya tak kisah orang tak tahu siapa bagi sebab memang niat nak bagi. Sebelum ni dia pernah buat (sedekah), masa tu tak ada pula letak nama dia.

"Tapi apabila majlis ni siap letak nama dia pada setiap bekas. Sedangkan separuh daripada makanan tu saya punya (taja). Saya tak nak nama cuma terasa dia tak ada tanya atau cakap (bincang) pasal ni dekat saya," katanya lagi.

  • Wanita terkilan apabila ahli keluarga yang mengusahakan bisnes makanan mengambil kredit penuh untuk tajaan majlis.
  • Mereka bersetuju menaja separuh-separuh, namun semua bekas makanan dilekatkan stiker bisnes individu itu tanpa berbincang.
  • Dia hanya tahu selepas majlis bahawa ahli keluarga tersebut mendakwa menaja keseluruhan hidangan.
  • Wanita itu berasa kecil hati kerana sumbangannya tidak dihargai dan langsung tidak disebut.
  • Netizen menasihatinya agar lebih berhati-hati dan mencadang supaya membuat tempahan dari peniaga lain pada masa akan datang.

Hantaran itu mendapat perhatian ramai warga maya dengan pandangan yang bercampur.

"Benda dah jadi, sila jadikan pengajaran. Lepas ni kalau nak sponsor, pesan daripada orang lain.

"Lebih baik pesan dekat peniaga bukan saudara sendiri. Senang tak jadi dah isu macam ni. Hati lebih tenang.

"Dia berniaga makanan lepas tu awak order dekat dia. Memang la dia letak sticker perniagaan dia. Belum pernah lagi orang sponsor makanan letak nama sendiri, kecuali parti politik," komen beberapa netizen.

Artikel Lain