MEMILIKI rumah sendiri sememangnya menjadi impian bagi setiap individu, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Namun dalam mengejar impian tersebut, kita perlu 'mengukur baju di badan sendiri' iaitu memastikan kemampuan selari dengan komitmen agar kediaman yang dibeli benar-benar memberikan keselesaan, bukan beban.
Di laman Threads, seorang wanita berkongsi kisah individu dikenalinya yang sedang dalam proses membeli kediaman berharga RM500,000 meskipun kemampuan kewangannya dilihat agak terbatas.
Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan sebelum membeli rumah. -Gambar hiasan
"Beraninya beli rumah RM500,000. Pendapatan RM4,000... ada isteri dan anak. Dah fikir betul-betul ke?" tulisnya.
Perkara utama yang dirisaukan pengadu ialah dia sering kali dijadikan 'bank kecemasan' oleh individu tersebut terutamanya ketika memerlukan wang untuk membeli lampin pakai buang anak.
ARTIKEL BERKAITAN: Ayah ‘meratib’ tak mahu mati di rumah sewa, mak pula suruh buat ‘loan’ beli perabot... Gadis umur 23 kini tanggung hutang RM1 juta!
ARTIKEL BERKAITAN: Enggan buat 'loan' untuk ibu beli tanah, wanita dicop anak derhaka... Sepatutnya rebut peluang tabur bakti
"Isteri dia memang tak kerja sebab jaga anak. By the way, saya tak kisah pun. Cuma apabila tiap bulan dia datang pinjam duit, sudah tentulah saya kena nasihatkan untuk kebaikan dia," tulisnya lagi namun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai pertalian antara mereka.
Tambah wanita tersebut, dia berpendirian tidak salah untuk membeli rumah namun ia memerlukan pertimbangan yang teliti terutamanya daripada aspek kewangan.
Seorang wanita berkongsi kisah seseorang dikenalinya yang berhasrat membeli rumah berharga RM500,000 walaupun berpendapatan RM4,000.
Wanita itu risau kerana individu berkenaan kerap meminjam wang daripadanya, termasuk untuk membeli lampin anak.
Individu tersebut bekerja seorang manakala isterinya suri rumah.
Baginya, tidak salah membeli rumah tetapi perlu dibuat mengikut kemampuan sebenar.
Warga maya bersetuju bahawa setiap individu perlu bersikap realistik terutamanya jika mahu membeli aset.
"Beli rumah ikut kemampuan. Bukan sebab nak bersaing dengan orang lain sedangkan diri sendiri kurang mampu.
"Tak ada masalah nak beli rumah harga berapa sekali pun janji boleh bayar setiap bulan tanpa tertunggak. Tak membebankan dan paling penting tidak menyusahkan orang lain," tulisnya lagi.
Perkongsian wanita berkenaan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya, rata-ratanya bersetuju dengan pandangan yang disuarakan.

Sebahagian komen yang dilontarkan netizen.
"Mungkin terpengaruh dakyah orang cakap... daripada keluar duit sewa tolong bayarkan rumah owner, baik bayar installment beli rumah sendiri.
"Loan maksimum RM480,000 jadi sebulan anggaran dalam RM2,400. Nak survive dengan baki RM1,600 untuk keperluan diri dan family memang tak cukup.
"Bagi saya RM4,000 tak logik untuk rumah harga RM500,000 sebab bank ada kiraan," komen netizen.


