KISAH cinta orang zaman dahulu memang hebat, tulus dan penuh makna.
Sekali pun tanpa teknologi canggih atau media sosial, surat atau nukilan menjadi wadah untuk meluahkan perasaan dan harapan.
Itu yang tergambar dalam satu perkongsian mengenai penemuan nukilan cinta bertarikh 11 November 1970, yang ditulis pada helaian sebuah buku lama.
Menerusi perkongsian individu bernama Abdullah Sani di Facebook, nukilan tersebut ditulis oleh seorang gadis berasal dari Ayer Lanas dekat Tanah Merah, Kelantan, sebagai hadiah perpisahan untuk cinta hatinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa kotak rahsia di rumah mentua, isteri baca kuat-kuat surat cinta suami untuk bekas-bekas kekasih - “Saya pun salah seorang ex dia"
ARTIKEL BERKAITAN: Anak 'throwback' cinta agung bapa, "seulas cempedak nak makan sama-sama" sehari sebelum meninggal
"Awek Kelantan berpisah dengan pakwe sebab pakwe nak sambung belajar dekat universiti.
"Diberinya hadiah buku 'Sejarah Tanah Melayu'. Buku harga RM4.50. Hebat betul percintaan mereka," tulisnya.
Bersama perkongsiannya, dia turut memuat naik sekeping gambar memaparkan nukilan tulisan tangan yang ditemuinya.
Seorang individu berkongsi nukilan cinta lama bertarikh 11 November 1970 yang ditemuinya di helaian buku sejarah.
Nukilan itu ditulis oleh seorang gadis dari Ayer Lanas, Kelantan, sebagai hadiah perpisahan untuk kekasihnya.
Gadis itu memberi buku Sejarah Tanah Melayu bernilai RM4.50 beserta pesan puitis untuk kekasihnya yang hendak sambung belajar.
Perkongsian tersebut menjadi tular dan menarik perhatian warga maya kerana kisahnya dianggap romantis dan puitis.
Netizen kagum dengan cinta generasi terdahulu dan ada yang mencadangkan menjejaki pasangan tersebut selepas lebih 50 tahun.
Ia bertulis, Abang, cintailah ia. Abang, kejarlah ia. Walau ke lurah mana ia turuni, ke bukit mana ia daki, ke laut mana ia harungi, cita-cita untuk ke universiti. Selamat berpisah tanggal 11.11.1970," demikian isi kandungan nukilan tersebut.
Individu tersebut walau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut mengenai bagaimana dan di mana nukilan berkenaan ditemui.
Perkongsiannya turut tular di platform X, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya.

Netizen turut teruja dengan kisah cinta pasangan berkenaan.
Rata-ratanya meluahkan kekaguman dengan dengan kisah cinta generasi terdahulu yang dianggap puitis, romantis dan ikhlas.
Tidak kurang juga ada yang menyarankan agar netizen cuba menjejaki pasangan berkenaan, sekadar untuk mengetahui kisah masing-masing selepas lebih 50 tahun berlalu.
"Nak berpisah pun penuh dengan puitis setiap bait kata.
"Harap surat ni viral dan sampai dekat makcik tu.
"Berpisah pun dibagi hadiah. Orang sekarang dimaki hamun di media sosial hihi," komen netizen.


