BAGI ejen takaful, kafe atau restoran merupakan lokasi biasa berjanji temu dengan individu yang berminat dalam polisi yang ditawarkan.
Malah kebiasaannya, mereka akan mengeluarkan belanja bagi membayar makanan dan minuman klien sebagai penghargaan.
Namun malangnya, sikap pemurah itu disalah guna oleh segelintir individu tidak bertimbang rasa seperti hantaran seorang pengguna Thread ini.

Hantaran individu terbabit yang mengundang reaksi negatif masyarakat.
"Hujung-hujung bulan ni, kalau rasa tak ada duit... pergilah set appointment dengan ejen takaful setiap malam.
"Insya-Allah kenyang," ujarnya sambil berkongsi emoji ketawa.
Hantaran yang dibuatnya itu mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk mereka yang berkhidmat sebagai ejen takaful.
Pernah berhadapan situasi seperti dikongsikan lelaki terbabit, seorang wanita tampil bercerita tentang kejadian di awal pembabitannya sebagai ejen takaful.
ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! Penjual, pemegang insurans dituduh putuskan tawakal kepada Allah - “Aku berani jamin duit komisen tu tak berkat”
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Influencer’ order macam-macam, tawar diri buat reviu demi makan free... Diminta bayar, berani ‘petik’ nama bos kedai
"Prospek set appointment dekat Mid Valley (Kuala Lumpur), cafe western yang agak mahal juga.
"Sembang bisnes kononnya dia tauke ayam yang supply seluruh Kuala Lumpur.
"Semua anak-anak kecil dia bawa, pesan makanan penuh meja. Sepinggan dalam RM30 sedangkan aku hanya pesan air," ujarnya di Thread.
- Ejen takaful sering belanja prospek di cafe/ restoran.
- Sikap pemurah ejen disalaherti sesetengah individu.
- Wanita kongsi pengalaman klien pesan makanan mahal tapi tak serius beli polisi.
- Teguran diberikan untuk elak ambil kesempatan.
- Perkongsian jadi peringatan bahawa ejen juga bekerja cari rezeki.
Menurut wanita ini, selepas melihat klien terbabit selesai menikmati hidangan bersama anak-anak, dia mula bertanyakan tentang polisi yang diingini.
Namun, individu tersebut didakwa mula memberi alasan selepas perbincangan dilakukan selain menyatakan akan membuat keputusan kemudian.
"Dia kata tengok dulu dan nak balik sebab risau trafik sesak.

Warga maya menyokong tindakannya.
"Kemudian dia jadi kelam kabut lepas aku cakap tak bayar semua yang dia pesan tu sebab tak makan," tambahnya yang berusia dalam lingkungan 40-an.
Baginya tindakan itu bukanlah kerana dia berkira sebaliknya bagi memberi peringatan kepada individu yang sengaja mengambil kesempatan untuk makan percuma.
"Zaman sekarang ni tak ada soal kongsi rezeki atau sedekah, macam tu bukan caranya.
"Kau lapar dan teringin nak makan sedap-sedap bukan dengan cara suruh ejen takaful belanja sebab mereka pun bekerja mencari rezeki," tambahnya lagi.
Perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai sehingga dikongsikan oleh beberapa individu lain di pelbagai platform media sosial.


