SEORANG wanita meluahkan rasa terkilan dengan sikap adik ipar yang didakwa biadab setiap kali pulang ke rumah mentua.
Menurut wanita tersebut, adik ipar menjadikan rumah ibunya sebagai 'port' (tempat) basuh baju keluarganya setiap hujung minggu.
Jelasnya dalam hantaran di Threads, dia bukanlah mahu berkira dengan adik lelaki dan isterinya namun berasa tidak adil apabila memikirkan sikap mereka apatah lagi semua bil utiliti di rumah itu ditanggung olehnya.
"Mereka duduk rumah mak sendiri dekat sana. Jadi kenapa basuh baju semua dekat rumah mak aku je. Kalau keluar makan sedap-sedap, semua dekat sana.

Sikap buruk ipar memberi tekanan kepada ahli keluarga lain. -Gambar hiasan
"Tak ada pun bawa balik untuk mak aku. Bukan jauh sangat pun jarak rumahnya, jarak 20 hingga 30 minit perjalanan. Aku beli barang kering rumah mak.
"Itu pun mereka 'sapu'. Entahlah susah nak cakap. Adik kandung aku bukan orang susah pun. Seorang tauke juga," ujarnya.
Tambahnya lagi, apa yang membuatkan dia lebih panas hati adalah sikap adik ipar yang dikatakan tidak menghormati ibunya.
"Yang aku tak puas hati perangai adik ipar aku ni tak reti hormat aku dan mak. Dia suka jeling dan hentak kaki lepas tu hempas pintu depan orang tua.
"Dulu aku dah pernah 'sound' pun sampai bertumbuk aku dengan adik aku. Sampai abang ipar datang ke rumah aku. Tapi tetap tak berubah juga," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Menyirap’ tengok adik ipar ambil baju dalam almari tanpa izin, bebas masuk bilik kelamin sebab si abang benarkan
ARTIKEL BERKAITAN: Ipar suka 'stalk' media sosial, adu domba... Wanita tertekan sikap toksik keluarga mentua
Wanita itu berkata dia kini jarang pulang ke kampung kerana sudah bekerja jauh dari kediaman ibunya.
Bagaimanapun, dia tidak dapat menahan emosi apabila menyaksikan sendiri perangai iparnya dalam satu kejadian baru-baru ini.
"Selalu mak aku bercerita dekat telefon, aku buat tak kisah sangat tapi bila balik minggu ni, benda jadi depan mata. Aku 'auto' jadi panas.
"Tahu-tahu sampai rumah malam tu terus masuk bilik lepas tu tengah malam keluar bilik basuh baju. Bangun tengah hari siap-siap terus tinggalkan rumah.
"Sediakan sarapan pagi untuk orang tua pun tak. Bertegur dengan orang tua pun tak. Lain la sebelum ni mak aku memang mentua jenis 'neraka' (kejam). Aku boleh fahamlah," katanya.
- Wanita kecewa adik ipar datang rumah mentua tiap minggu hanya untuk basuh baju.
- Semua bil utiliti ditanggung wanita itu, tapi keluarga adiknya turut habiskan barang dapur.
- Adik ipar didakwa biadab dengan jeling, hentak kaki dan hempas pintu depan orang tua.
- Wanita itu bertambah ‘panas’ bila lihat sendiri perangai adik ipar ketika balik kampung.
- Netizen cadang berhenti restock barang dapur hujung minggu sebagai ‘ajar’ adik ipar.
Isu tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet dengan ada yang mencadangkan cara untuk 'mengajar' adik iparnya.
Seorang netizen mencadangkan agar dia berhenti daripada membeli barangan dapur ketika hujung minggu.
"Basuh kain hujung minggu tak boleh elaklah sebab mak pun malas nak bising. Tapi bab barang dapur, hujung minggu jangan beli.
"Bila mereka dah balik baru beli. Biar nampak tak ada apa dekat rumah. Kalau mereka tanya, cakap tak ada duit nak beli. Nak masak, suruh beli sendiri barang," katanya.


