suria

Dulu Honda City kini Proton X50... Wanita kahwin umur 16 tahun buktikan cinta 'mat rempit' mampu beri bahagia, hidup senang

Mimie dan Agus kini bahagia bersama tiga cahaya mata.

BERKAHWIN dengan seorang lelaki yang pernah digelar 'mat rempit' cukup membahagiakan Amylia Mohd Hairan yang turut berharap ikatan ini kekal hingga ke syurga.

Selepas lebih 12 tahun mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan hatinya, Amylia atau lebih mesra disapa Mimie yang kini berumur 28 tahun bersyukur apabila kehidupannya dengan suami kini lebih stabil bersama tiga cahaya mata.

Jelas Mimie yang menetap di Kajang, Selangor, suaminya Muhammad Su’ud Agus Roslan semakin hari berubah menjadi individu yang lebih baik berbanding awal perkenalan mereka dan zaman mula-mula berkahwin.

Mimie dan Agus bercinta sejak di bangku sekolah lagi sebelum berkahwin.

"Kalau dulu kami hanya mampu guna motosikal, lepas ada anak barulah suami usaha beli kereta Perodua Axia dan Honda City. Dari situ perlahan-lahan dia naik taraf hidup kami.

"Sekarang Alhamdulillah, dah mampu ada kereta Proton X50 dan rumah sendiri di Selangor,” kongsi Mimie ketika dihubungi mStar.

Menyingkap kisah pasangan ini pada 2022, mStar pernah menghubungi Mimie untuk berkongsi perjalanan rumah tangganya yang ketika itu masih dalam fasa membina kehidupan dengan lelaki bergelar 'rempit'.

Untuk rekod, Mimie mendirikan rumah tangga dengan Agus pada 2013 yang mana ketika itu masing-masing berusia 16 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Ini contoh mat rempit ‘next level’, tak abai keluarga lepas kahwin... Isteri puas hati hidup serba cukup, siap ‘upgrade’ kereta Honda

ARTIKEL BERKAITAN: Anak perempuan tingkatan 4 kemaruk cinta mat rempit! Memberontak kemahuan dihalang ibu bapa

Pasangan ini bernikah gantung dahulu sebelum masing-masing menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Dulu suami kerja di bengkel, kemudian jadi operator kilang sambil buat Grab (e-hailing) untuk tampung keluarga. 

"Sekarang jadi leader technician di kilang besar. Alhamdulillah, gaji suami lebih stabil dan mampu tanggung kami lima beranak," ujarnya lagi.

Pasangan ini sudah mendirikan rumah tangga selama 12 tahun.

Mimie percaya rezeki keluarga mereka tidak putus-putus disebabkan dia dan suami sering bertolak ansur selain perkahwinan mendapat restu kedua-dua orang tua.

Bagaimanapun dia mengakui pernah berasa rendah diri kerana tidak dibenarkan bekerja atau menyambung pengajian selepas SPM. 

Namun kini selepas melihat kembali perjalanan hidup mereka 12 tahun lalu, dia berasa amat bersyukur dipertemukan dengan Agus.

  • Mimie berkahwin dengan lelaki digelar 'mat rempit' dan kehidupan kini bahagia serta stabil bersama tiga anak.
  • Bermula dengan hanya sebuah motosikal, suaminya kini bekerja sebagai ketua juruteknik dan kini mereka memiliki kereta Proton X50 dan rumah sendiri.
  • Menurut Mimie, rahsia kebahagiaan mereka adalah sikap bertolak ansur serta doa dan restu ibu bapa.
  • Mimie memperoleh 5A dalam SPM tetapi tidak meneruskan pengajian selepas berkahwin, namun bersyukur dikurniakan suami bertanggungjawab.
  • Wanita ini dan suaminya menasihati anak-anak supaya fokus pada pelajaran dahulu dan tidak tergesa-gesa memilih jodoh.

"Saya peroleh 5A masa SPM tapi tak teruskan pengajian. Tapi kalau fikir balik, apa nak kesalkan? Suami sediakan segalanya. 

"Rumah, kereta, nafkah pun cukup. Saya cuma jaga rumah dan anak-anak. Rupanya itu yang buat rumah tangga kami lebih terjaga," jelasnya.

Bercerita tentang perubahan suaminya, Mimie turut mengakui lelaki itu lebih matang kini berbanding zaman muda yang mana mereka mula bercinta sejak tingkatan satu.

"Dulu dia suka lepak, snooker, konvoi… tapi bila anak dah bertambah, dia lebih matang. Lepas kerja terus balik rumah. 

"Bila saya tengok suami penat, saya suruh dia rehat atau keluar sekejap dengan kawan,” katanya yang menjadi pelukis inai sejak empat tahun lalu.

Mimie bersyukur Agus dapat menjadi suami dan bapa yang baik dalam keluarga.

Walaupun mereka berkahwin pada usia muda, Mimie dan suami tetap berpesan kepada anak-anak supaya tidak terburu-buru dalam soal jodoh.

“Kalau saya boleh ulang balik usia 16 tahun, nasihat saya pada diri sendiri… jangan bercinta dulu, habiskan sekolah. Suami pun pesan, 'big no' (dilarang) kahwin muda. 

"Sekurang-kurangnya habiskan sekolah dulu. Kami tak nak anak rasa hina macam kami waktu muda. Tapi sebab degil masa tu, kami kahwin awal juga. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

“Apa-apa pun, bagi mereka yang mahu berkahwin muda, jangan dilayan kalau orang pandang rendah. Buktikan dengan kejayaan. Yang penting doa, usaha dan jangan malas,” ujarnya menutup bicara.

Artikel Lain