suria

“Kulit udang pun mereka kupaskan” - Wanita tak sangka mak ayah masih layan macam budak kecil lepas suami meninggal

Kasih sayang ibu bapa itu tiada batasan dan tidak akan pernah berakhir. -Gambar hiasan

SEORANG wanita meluahkan rasa terharu dengan layanan diberikan ibu bapanya sejak pemergian suami pada 26 April lalu.

Ujar wanita itu, ketika dia masih dalam tempoh idah kedua-dua orang tuanya menjaganya seperti anak kecil walaupun sudah berusia 37 tahun dan mempunyai seorang anak.

Jelasnya dalam hantaran di Threads, layanan penuh kasih sayang itu membuatkan dia teringat kepada arwah suami yang pernah memanjakannya.

Menguruskan rumah tangga selepas kematian suami bukan hal yang mudah. -Gambar hiasan

"Sejak suami saya meninggal, mak ayah layan saya macam saya budak lagi. Kalau makan ikan, mereka akan buang tulang-tulang ikan dulu.

"Kemudian mereka letak (isi ikan) dalam pinggan saya. Kalau makan udang mereka akan kupaskan kulit untuk saya," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis anak sulung nak lari rumah, sakit mental layan mak ayah pemboros... Ugut ‘tak cium bau syurga’ jika enggan buat ‘loan’ bank

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sedih mentua tak layan mak ayah masa open house, besan lain ‘title’ profesor diajak bergambar - “Panggil buat tak dengar”

Malah, ibu bapa wanita ini begitu menitikberatkan soal keselamatannya walaupun ketika berada di dalam rumah.

Tambahnya, dia bersyukur masih mempunyai ibu bapa yang penyayang dan mendoakan kedua-dua insan tersebut.

"Kalau saya teringin nak makan sesuatu, saya dah siap nak masak dekat dapur. Tiba-tiba mak suruh saya pergi ke depan (ruang tamu) sebab dia cakap nanti kena minyak panas.

  • Seorang wanita rasa terharu apabila ibu bapanya menjaga seperti anak kecil sejak pemergian suami.
  • Walaupun berusia 37 tahun dan mempunyai anak, dia dilayan baik oleh kedua-dua orang tua.
  • Ibunya turut menghalau dari dapur kerana bimbang dia terkena minyak panas, sama seperti layanan arwah suami.
  • Dia meluahkan rasa syukur masih memiliki ibu bapa yang penyayang dan mendoakan kesihatan mereka.
  • Perkongsian itu menyentuh hati netizen yang melihat ia sebagai cara mengubat rasa kehilangan.

"Ya Allah sama macam arwah suami buat dekat saya. Semoga Allah panjangkan usia mereka dan diberi kesihatan baik," tulisnya lagi.

Hasil semakan mStar menerusi beberapa hantaran yang dibuat, suaminya meninggal dunia selepas tiga tahun mereka berumah tangga.

Namun, wanita ini tidak pernah berkongsi mengenai punca kematian suaminya menerusi beberapa perkongsian tersebut.

Komen beberapa netizen di Threads.

Hantaran tersebut turut menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan kasih sayang yang dicurahkan ibu bapa wanita berkenaan.

"Mak ayah kita ni akan anggap kita macam anak-anak lagi. Macam saya dah 57 tahun tapi mak layan macam tu juga. Kita layan je. Tu salah satu cara nak gembirakan mereka.

"Syukur mak ayah awak baik sangat. Mungkin mereka tahu arwah suami layan awak macam mana jadi mereka nak buat sama macam tu juga supaya awak tak rasa kehilangan sangat," komen beberapa netizen.

Artikel Lain