MUNGKIN harga atau nilai ratusan ringgit murah buat segelintir individu.
Namun bagi tukang jahit Husna Haris, jumlahitu besar baginya kerana setiap busana yang dihasilkan melibatkan keringat dan usahanya.
Di laman sosial, tukang jahit wanita itu meluahkan rasa terkilan selepas berdepan pelanggan yang didakwa enggan membuat bayaran walaupun baju nikah yang ditempah sudah disiapkan sepenuhnya.
Berang dengan sikap bakal pengantin, tukang jahit berkenaan memuat naik doa sambil dengan ungkapan sinis berharap majlis perkahwinan pelanggan berkenaan kelak dipenuhi pelbagai dugaan.

Antara mesej perbualannya dengan pelanggan terbabit.
"Ke hadapan Zeera, semoga hidupmu dipersulit sebab menyulitkan urusan saya. Semoga tak kahwin sampai bila-bila atau kalau kahwin pun inai comot, tengah nak mandi tak ada air.
"MUA (jurusolek) cancel last minit, jurugambar batal, solekan tak jadi, tailor salah buat baju, baju senteng.
"Baju nikah terbakar atau kena kunyit, veil koyak sebab sangkut paku, on the way nikah tayar pancit, hujan lebat, kasut berlecak, pelamin roboh, dan hujung-hujung pengantin lelaki lari," tulisnya di laman Thread.
Wanita ini turut memuat naik tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dengan pelanggan terbabit dengan menunjukkan bukti berupa bayaran yang dijanjikan adalah RM290 termasuk deposit berjumlah RM30.
Berdasarkan beberapa klip yang dikongsi, pelanggan itu berjanji untuk membuat bayaran dan memberi alamat lengkap untuk menghantar busana selepas dirinya dimaklumkan bahawa tempahan telah siap.
ARTIKEL BERKAITAN: "Ini majlis kahwin aku ke kau?” - Bakal pengantin bengang ‘dulang girls’ persoal warna baju ditetapkan
ARTIKEL BERKAITAN: Trauma tengok baju kahwin, ‘mute’ posting semua rakan bergelar pengantin - “Sesak nafas tu tak pernah hilang”
"Nanti akak ambil gambar tau bagi Zeera, nanti Zeera bagi details dekat akak kalau Zeera dah buat bayaran ye akak, sebab gaji 20 hari bulan nanti.
"Zeera tak jadi nikah bulan ni atas sebab tertentu," demikian mesej yang ditulis pelanggannya itu pada 3 Februari 2025.
Bukan sahaja tidak membuat bayaran yang dijanjikan, pelanggan terbabit juga dilihat beberapa kali menunda urusan pembayaran dan pengambilan baju sehinggalah masuk bulan Ogos.
Malah dia memberi izin agar kisahnya ditularkan jika tidak membuat bayaran seperti yang dipersetujui sebelum ini.
"Kalau tak, akak viral je Zeera, bukan Zeera nak tangguh-tangguh tapi sebabkan Zeera tak jadi nikah tu yang postpone selalu," ujar pelanggannya lagi.
- Tukang jahit dakwa pelanggan tak bayar RM290 walau baju nikah dah siap.
- Pelanggan kerap tangguh, senyap sejak 4 Ogos.
- Husna Haris muat naik doa sindir di media sosial.
- Baju custom dilelong RM150 termasuk pos.
- Netizen simpati, nasihat ambil deposit tinggi.
Lebih menyedihkan apabila, bermula 4 Ogos lalu, pelanggan itu tidak lagi membalas mesej yang dihantar.
Berkongsi cerita, Husna Haris berkata, pelanggannya itu membuat tempahan ketika akaun TikTok miliknya tular kerana mengenakan deposit rendah.
Ketika itu, dia hanya mengenakan caj deposit sebanyak RM30 kerana menerima tempahan yang banyak.
"Saya ada cerita di sebalik kisah deposit ni, masa tu TikTok saya viral, terlalu ramai yang order, jadi saya minta semua yang nak book slot deposit RM30 sahaja.

Busana pengantin antara perkara yang sering dititikberatkan. -Gambar hiasan
"Sepatutnya masa nak beli materials saya akan minta lagi deposit RM100, tapi dalam kes dia ni, saya terlepas pandang," jelasnya.
Meskipun kecewa dengan sikap pelanggannya itu, namun bagi Husna, dia sanggup menghantar baju tersebut kepada pemilik melalui pos meskipun bayaran tidak dibuat.
Jelasnya busana nikah tersebut dibuat mengikut ukuran badan pelanggan terbabit dan bukanlah bersaiz standard seperti dijual di pasaran.
"Kalau dia buat bayaran penuh sekali pun, buat apa nak simpan (baju itu), dah la ukuran custom, kalau dia bagi alamat, dah lama kita pos baju dia, tak payah bayar.

Netizen menitipkan doa dan menasihatinya supaya lebih berhati-hati.
"Posting ni wujud sebab dia yang cakap kalau tak bayar, boleh tularkan, bukan ada details dia pun," tambahnya yang turut 'melelong' busana nikah bersaiz S tersebut pada harga RM150 termasuk caj pos.
Baginya, apa yang dikongsikan hanyalah sebagai pengajaran kepada peniaga dan masyarakat di luar sana.
Hantaran itu menarik perhatian warganet yang kebanyakannya bersimpati dengan nasib wanita berkenaan.
Tidak kurang juga yang menasihatinya supaya mengambil deposit yang tinggi atau terus meminta bayaran penuh.
"Kenapa susah nak ambil deposit dulu? Pelanggan memang salah tapi kita ni kena cerdik juga.
"Asyik bagi alasan gaji 20 hari bulan, tak kan akak ni nak kena kejar? Sakit hati pula baca, tangguh sampai tujuh lapan bulan.
"Sabar sis, saya dua tahun orang tak ambil baju, call tak jawab, WhatsApp satu tick... terus humban je baju," demikian reaksi warga maya.


