HASRAT seorang wanita untuk berkongsi rezeki dengan rakan baiknya nampaknya tidak kesampaian gara-gara terlepas cakap.
Menurut cerita wanita terbabit, pada mulanya dia berasa hairan kerana kek kegemaran yang dibawa ketika berkunjung ke rumah rakannya itu langsung tidak dijamah.
Sebaliknya rakannya yang merupakan ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu hanya membiarkan ia dinikmati anak-anaknya.
Mengurus keluarga sebagai ibu tunggal bukanlah satu hal yang mudah. -Gambar hiasan
"Saya bawa kek kegemaran dia. Dia kata susah-susah je datang bawa kek. Saya pun balas balik beritahu tak ada apa yang susah. Saya tambah lagi dengan mengatakan sedekah dekat anak-anak yatim besar pahalanya.
"Kemudian dia tak makan kek tu padahal saya bawa tu khas untuk dia. Dia kata, sebab saya cakap sedekah untuk anak-anak dia saja.
"Tapi hakikatnya saya nak bagi dia makan juga. Namun sebab akad yang saya cakap tu, dia takut," ujar wanita tersebut dalam satu hantaran di Threads.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan OKU jaga 3 beradik yatim macam anak sendiri, azam beri ilmu secukupnya walau bergaji kecil
ARTIKEL BERKAITAN: Adik beradik yatim piatu hidup terabai sejak kecil, kebajikan tak dijaga... Dah besar, pakcik muncul tuntut duit poket
Tambah wanita itu, rakannya seorang yang sangat berhati-hati dengan segala pemberian khususnya selepas kematian suami.
Malah, sahabatnya itu bukan sahaja cuba menolak sesetengah pemberian tetapi turut mengelak daripada menggunakan barang yang diberi jika akadnya hanya menyebut untuk anak-anak.
"Saya kenal kawan saya ni, dia tak kecil hati pun. Tapi saya mengaku bahasa saya tak bagus.
Kalau boleh biasakan tukar penggunaan perkataan sedekah kepada infak atau hadiah.
NETIZEN
"Kawan cakap apabila ada akad untuk anak yatim, dia jadi was-was nak guna untuk diri dia juga.
"Sedekah orang lain yang ada akad macam tu pun dia tak guna untuk dia. Terlajak telan tak boleh undur," katanya lagi.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang turut berkongsi pandangan mereka.
Antara komen warga maya di Threads.
Ramai juga yang mencadangkan supaya istilah infak atau hadiah digunakan dalam konteks sebegini, bagi mengelakkan kekeliruan terutamanya jika pemberian itu boleh dikongsi bersama.
"Saya lebih suka guna perkataan rezeki. Kalau orang cakap susah-susah je belikan. Cakap je... alah dah tertulis rezeki kau dan anak-anak, saya ni perantaraan je.
"Sebab tu kalau boleh biasakan tukar penggunaan perkataan sedekah kepada infak atau hadiah. Contoh macam pergi ke masjid kita nak sedekah air, tak semua boleh ambil sebab bagi yang berkemampuan tak boleh ambil," komen beberapa netizen.