JIKA ditelusuri hantaran di media sosial, ramai ibu bapa berkongsi momen menghantar anak masing-masing ke sekolah sempena hari pertama sesi baharu persekolahan yang bermula pada Isnin.
Di TikTok, perkongsian seorang wanita benar-benar menyentuh hati warga maya apabila dia memuat naik video memaparkan dirinya menghantar dua anak saudara perempuan yang bergelar anak yatim ke sekolah.
Menurut Mira Nirwani Mohamad, tugas menghantar dan menemani tiga anak saudaranya pada hari pertama persekolahan sudah dilakukan sejak tiga tahun lalu, selepas mengambil alih tugas arwah kakaknya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2022.
"Sebaik arwah kakak, Mira Azira meninggal dunia pada 1 Syawal, tiga tahun lalu, saya dan suami yang offer untuk jaga tiga anak saudara tambahan pula kami tak dikurniakan zuriat.
Tiga anak saudara Mira Nirwani kehilangan ibu mereka pada pagi 1 Syawal, tiga tahun lalu.
"Tahun lepas, saya hantar anak saudara kedua masuk darjah satu. Pagi ini saya hantar anak saudara bongsu pula masuk darjah satu. Kedua-duanya satu sekolah. Manakala anak saudara lelaki sulung yang berusia 11 tahun, kami dah hantar ke asrama tahfiz pada Ahad.
"Tahun ini saya lebih sebak sebab yang bongsu pun dah naik darjah satu. Sedar tak sedar, tiga tahun dah saya dan suami membesarkan mereka," ujarnya kepada mStar.
Mira yang dipanggil 'Umi' oleh anak-anak saudaranya berkata, sama seperti kanak-kanak lain, mereka turut teruja dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kata maaf susahkan” - Arwah abang hadir dalam mimpi, minta tolong jaga 3 anak... Wanita syukur urusan sentiasa dipermudahkan
ARTIKEL BERKAITAN: Penat jadi bibik tak bergaji! Kakak selalu suruh adik menganggur jaga anak, tak boleh kata ‘tidak’... Nak pergi temuduga pun ‘dihalang’
"Pukul 6.30 pagi kedua-duanya dah siap untuk ke sekolah. Saya titip nasihat supaya kedua-duanya belajar bersungguh-sungguh bukan untuk balas jasa saya tapi untuk masa depan mereka.
"Saya memang berikrar untuk jaga mereka selagi hayat dikandung badan, namun kita manusia tak tahu hidup sampai bila.
"Saya hanya mampu berdoa anak-anak saudara yang dah dianggap macam anak sendiri ini berjaya dan banggakan arwah ibu mereka juga," ujar wanita berusia 32 tahun ini.
Mengakui bukan kecil cabaran yang dihadapi dalam membesarkan amanah yang ditinggalkan, Mira berkata segala-galanya dilakukan dengan ikhlas demi arwah kakaknya.
Saya tak sesekali makan duit anak yatim. Bukan kita tak belajar pasal agama.
MIRA NIRWANI
"Cabaran memang banyak. Daripada tak ada anak, tiba-tiba ada tiga anak. Saya dan suami besarkan dengan pendapatan kami sendiri di samping sumbangan daripada insan yang prihatin dan badan bukan kerajaan.
"Hati sangat sedih bila ada orang cakap 'untunglah dapat banyak bantuan'. Mereka ingat kami dapat bantuan bulanan tetap. Saya tak sesekali makan duit anak yatim. Bukan kita tak belajar pasal agama.
"Sebenarnya kami tak ada dapat bantuan pun. Sebaliknya bergantung kepada pendapatan suami yang merupakan kakitangan awam yang berpendapatan tak lebih RM2,000.
"Malah suami buat part time mesin rumput dan saya ambil upah kemas rumah orang. Dulu saya berniaga makanan tapi selepas ambil anak-anak ni, saya tak berniaga dah demi fokus kepada mereka," katanya yang menetap di Kangar, Perlis.
Mira Nirwani dan suami menjaga tiga anak saudara mereka seperti anak kandung sendiri.
Bagaimanapun tambah Mira, dia tidak berputus asa untuk memohon bantuan daripada pihak berwajib memandangkan anak-anak saudaranya berstatus anak yatim dan tidak mendapat nafkah sewajarnya daripada bapa kandung mereka.
"Saya dan suami pula golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sejak lahir. Suami hidap cerebral palsy, saya pula ada masalah spinal. Kami mencari nafkah dalam keadaan kudrat yang terhad.
"Biarpun serba kekurangan, namun saya dan suami akan pastikan anak-anak saudara mendapat kasih sayang dan perhatian yang cukup.
"Tak sangka video yang dimuat naik menjadi tular. Saya nak ucapkan terima kasih yang kongsi pengalaman, beri kata semangat, doa dan kepada yang pernah beri sumbangan, moga Allah balas jasa dan kebaikan berbalik kepada anda semula," akhirinya.