PENGORBANAN seorang ibu demi anaknya sememangnya tiada batas dan sempadan!
Seorang pembuat 'kek sihat' yang turut membuka kelas 'baking' amat tersentuh hati apabila seorang ibu sanggup menaiki pengangkutan awam semata-mata untuk menghadiri kelasnya.
Hanya ingin dikenali sebagai Linda, dia memaklumkan wanita berkenaan yang berumur 55 tahun sanggup mengikuti kelas untuk belajar menyediakan makanan lebih sihat buat anaknya yang mempunyai masalah kesihatan.
Seorang ibu sanggup belajar membuat 'kek sihat' dengan menghadiri kelas 'baking'.
"Posting tu saya kongsikan secara random (rawak) sebenarnya… saya tengah scroll cari gambar kek tapi terhenti dekat satu foto tu.
"Terus teringat kelas dengan akak usia 55 tahun tu. Saya panggil dia akak sebab saya pun dah 41 tahun, tak sesuai sangat nak panggil makcik," cerita Linda ketika dihubungi mStar.
Menutut Linda, dia mula mengendalikan kelas 'baking' sejak 2019 di kediamannya di Selangor, termasuklah mengajar cara membuat 'kek sihat' berasaskan bahan 'mesra' diabetes seperti pemanis berperisa (monk fruit) dan serbuk badam.
ARTIKEL BERKAITAN: Baker sedih kawan busuk hati, sengaja tunjuk tak ‘support’ bisnes! Ambil kek di rumah terbuka, buang dalam tong sampah
ARTIKEL BERKAITAN: Pembuat kek ‘disekolahkan’ rakan-rakan peniaga sebab ikut kehendak pelik pelanggan! Rupanya permintaan asal lebih ‘ekstrem’
Katanya, pelajar berkenaan seorang yang tidak banyak bercerita namun ada memberitahu bahawa kos untuk dia menghadiri kelas agak tinggi kerana perlu menaiki pengangkutan awam.
"Akak tu memang datang belajar semata-mata sebab anaknya yang sudah dewasa tu ada diabetes. Jadi anaknya sukar bergerak sebab obesiti. Suami akak ni pun dimaklumkan sakit juga.
"Bagi saya, seorang ibu sanggup datang ke kelas dan belajar di usia begitu adalah satu bentuk pengorbanan dan kasih sayang tak terhingga untuk anak.
Kek ni pun rasa ia sama saja dengan kek biasa.
LINDA
"Anak akak tu memang sukakan kek. Kalau nak ikutkan, boleh je beli bila teringin. Tapi dia cuba pastikan menjaga pemakanan keluarga sebab tu datang ke kelas," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
Kek keto (ketogenic) yang diajar Linda tidak menggunakan gula atau tepung gandum, sebaliknya diganti dengan bahan sesuai untuk individu menghidap diabetes atau alahan tertentu.
Walaupun tinggi kalori, kek ini dikatakan jauh lebih rendah karbohidrat dan 'mesra' dengan penyakit jika dibandingkan dengan kek biasa dijual di pasaran.
Antara kek keto dihasilkan Linda.
"Anak akak ni susah juga kalau nak pantang, makan makanan tawar je jadi mungkin sebab itulah si ibu sediakan kek yang lebih sesuai.
"Kek ni pun rasanya sama saja dengan kek biasa. Cuma akan rasa pelik sekiranya tak buat dengan cara betul sebab itu la akak ni sanggup masuk kelas saya.
"Tapi selain kek, ada juga usaha-usaha lain akak tu buat untuk pulihkan kesihatan anak dia cuma saya tak boleh ulas lanjut demi nak jaga privasi keluarganya," jelasnya.