suria

Baru 7 bulan nikah, wanita giat cari madu demi tunai hasrat suami berpoligami... Percaya mampu adil, beri cukup nafkah

Qamaruzzaman mendapat keizinan isterinya untuk berpoligami.

SEBUT sahaja poligami pasti mana-mana perempuan keberatan untuk berkongsi suami.

Jika ada yang sanggup sekali pun, kebiasaannya mereka  sudah lama mendirikan rumah tangga atau tidak dikurniakan zuriat.

Bagi wanita ini yang baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga, dia sudah mencari calon isteri kedua untuk suaminya, Mohammad Qamaruzzaman Md Isa, 36.

Wanita tersebut turut mengizinkan suaminya bernikah empat.

Berumur 33 tahun dan enggan mendedahkan nama, dia mengakui sudah bersetuju untuk dimadukan sebelum mereka mendirikan rumah tangga lagi.

Membuka cerita, wanita tersebut ketika dihubungi mStar memaklumkan dia berkenalan dengan suaminya selama tiga bulan sebelum mendirikan rumah tangga pada 11 November 2024.

"Sebelum kami berkahwin, dia ada berkenan dengan seorang perempuan dan jika perempuan itu tidak mahu jadi isteri kedua, mereka boleh nikah dahulu kemudian baru nikahi saya.

"Tetapi perempuan itu tidak setuju dan enggan bermadu," katanya yang bersedia menunaikan hasrat suami untuk berpoligami.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu jadi perempuan dibenci Allah kerana minta cerai, wanita buat perjanjian dengan bakal suami... Setuju poligami tapi bersyarat

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tua nak ‘rehat’, suami gaji RM28,000 dapat izin poligami... Malangnya tak jumpa calon nombor 2 - “Testosteron saya tinggi”

Ditanya ciri-ciri bakal madu yang diingininya, dia berkata wanita itu diharapkan tidak terlalu cemburu, seorang yang mementingkan kebersihan dan rajin.

"Saya tidak kisah sama ada bujang atau janda, jika janda biarlah tidak mempunyai anak. Dari segi usia biar lebih muda dari saya kerana saya akan anggap dia seperti adik.

"Selain itu, selepas berkahwin dia boleh tinggal sebumbung dengan kami, jika tidak serumah sekali pun biarlah tinggal di Pulau Langkawi ini sahaja," katanya.

Tambahnya lagi, wanita yang mengahwini suaminya tidak perlu bimbang kerana percaya Qamaruzzaman mampu memberi nafkah sekurang-kurangnya RM800 setiap bulan.

Apa yang saya ingin lakukan adalah perkara halal.

QAMARUZZAMAN

"Kami menjalankan pelbagai perniagaan di pulau ini merangkumi perkhidmatan pelancongan, kenderaan sewa dan sebagainya," katanya sambil mengakui mengizinkan suami bernikah hingga empat.

Dia turut memberikan sebab kenapa wanita lain tidak perlu risau untuk mengahwini suaminya, dan salah satunya kerana Qamaruzzaman disifatkan seorang lelaki setia dan adil.

"Kita dapat lihat terlalu ramai wanita disia-siakan, golongan ini perlu lelaki seperti suami saya yang mampu menjaga mereka," katanya.

Sementara itu, Qamaruzzaman berkata dia bersyukur kerana isterinya memahami keinginannya untuk berpoligami.

Kehidupan berpoligami penuh dengan tanggungjawab dan amanah. -Gambar hiasanLelaki berpoligami penuh dengan tanggungjawab dan amanah. -Gambar hiasan

"Sebab saya nak poligami kerana saya percaya pada takdir, rezeki dan tanggungjawab serta amanah yang diberikan Allah kepada seorang suami.

"Isteri adalah amanah, anak juga amanah maka ia juga akan menambah rezeki. Lagi ramai anak makin bertambah rezeki," katanya sambil menambah dia dan isterinya bakal meniman cahaya mata.

Dia juga mengakui ada beberapa wanita sudah dirisik isterinya sebelum ini tetapi tidak menepati kehendaknya.

Ditanya sama ada terdapat ahli keluarganya yang mengamalkan poligami, Qamaruzzaman mengakuinya.

"Ya arwah ayah saya mengamalkan poligami dan juga adik saya sendiri. Mungkin sebahagian menganggapnya ia adalah budaya tetapi bagi saya ia adalah tanggungjawab dan amanah.

"Kalau ada yang kata nafsu, pandangan saya manusia tidak terlepas daripada nafsu. Apa yang saya ingin lakukan adalah perkara halal," katanya. 

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain