KALAU sudah rezeki, pasti tidak akan ke mana.
Demikian kisah seorang penternak lembu yang akhirnya berjumpa semula dua ekor haiwan peliharaannya itu selepas hilang selama beberapa jam.
Perkongsian yang dibuat oleh pemilik akaun @hazriqspark86 di laman TikTok cukup untuk membuatkan warga maya turut beremosi melihat drama 'jejak kasih' antara bapanya dengan dua lembu miliknya itu.
"Dok ingat kena sauk (curi) dah. Alhamdulillah masih ada rezeki," tulisnya dalam ruangan kapsyen pada video berdurasi 31 saat itu.
Bapa individu berkenaan sedih mengenangkan lembu peliharaannya hilang sejak petang.
Menurut individu berkenaan, dalam kejadian pada Ahad lalu, dua ekor lembu yang dipelihara bapanya dikesan hilang sekitar pukul 4 petang.
"(Ayah) naik motor cari seorang. Tak lalu nak makan. Waktu makan pun menangis.
"Kami bawa abah keluar makan. Duduk sekejap, dapat info ada orang rekod lembu abah berjalan atas ban petang tadi.
"Lepas tu dapat 'update' lagi. Pengerusi surau dah tambat lembu di surau," kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Angsa kesayangan tak balik rumah, penantian berakhir selepas pemilik dihubungi jam 3 pagi! Rupanya pergi tidur dengan ayam
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis, kucing kesayangan meronta sebelum dimakan harimau! Pemilik risau lepas ni orang kampung pula kena baham
Bercerita lanjut, sebaik saja mendapat tahu khabar gembira tersebut, bapa dan adiknya segera menuju ke surau untuk mengambil semula kedua-dua ekor haiwan berkenaan.
Apa yang menyentuh hati warga maya, bapanya dilihat menadah tangan memanjatkan kesyukuran sebaik memasuki perkarangan surau dan melihat dua lembu kesayangannya.
Lembu tu pun lega bila nampak muka abah.
NETIZEN
Malah aksi haiwan tersebut yang terus menjilat, menggesel-geselkan badan dan mengekori motosikal bapanya dari belakang ketika pulang, cukup menggambarkan keakraban hubungan mereka.
"Terima kasih semua yang bagi info. Kami semua sangat-sangat berterima kasih dan bersyukur," tulisnya lagi.
Netizen turut hiba dengan perkongsian berkenaan.
Video berkenaan yang meraih lebih 511,000 jumlah tontonan dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya tersentuh melihat keakraban dan kasih sayang antara haiwan peliharaan dan tuannya.
"Main dengan lembu hilang... otai pun meleleh air mata.
"Orang baik ni. Lembu terlepas jauh pun ada yang tolong jaga.
"Lembu tu pun lega bila nampak muka abah," demikian antara komen netizen.