BUKAN semua orang mampu pergi melancong tanpa perancangan awal, ada yang perlu menyimpan selama berbulan-bulan untuk tujuan ini.
Proses menabung pula perlu dijadikan satu komitmen dan hendaklah dilakukan dengan penuh kesabaran.
Seorang wanita merancang untuk bercuti bersama suami tercinta dan mereka berdua sama-sama menyimpan wang sebagai usaha merealisasikan impian menjejakkan kaki ke destinasi impian.
"Aku sedih sangat hari ni. Aku dan suami dah rancang nak pergi bercuti. Kami ada simpanan.
"Tapi semalam, adik aku minta pinjam duit untuk topup duit kahwin dia. Aku sebagai kakak tak kan tak nak tolong. Aku anak yang sulung, siapa lagi kan nak tolong dia," katanya di laman sosial, tanpa berkongsi destinasi percutian yang dirancang.
Setiap perkahwinan perlu dirancang mengikut bajet dan kemampuan. -Gambar hiasan
Menerusi hantaran sama, katanya, perkahwinan adiknya itu dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini, sekali gus menjadikan segala persiapan perlu segera dilakukan.
"Jadi, aku bagi separuh daripada simpanan aku untuk dia pinjam sebab duit kahwin dia tak cukup," katanya tanpa mendedahkan jumlah yang dipinjamkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Siang malam buat ‘part time’ e-hailing, isteri pelik suami masih ‘meratib’ tak ada duit... Sudahnya kena guna wang sendiri juga
ARTIKEL BERKAITAN: Gaji bersih suami 10K sebulan, isteri stres asyik disuruh tukar kerja dengan ‘income’ lebih tinggi - “Saya tak pernah minta duit dia”
Enggan membelakangkan suami, dia kemudian menceritakan tentang wang simpanan untuk percutian mereka berdua yang sudah dipinjamkan kepada adiknya.
Namun dia tidak menyangka suaminya berang dan menunjukkan reaksi yang mengejutkan.
"Sekarang dia marah aku. Dia siap cakap yang dia nak tempah travel solo untuk dia seorang je pada tarikh yang kami rancang nak pergi bercuti tu.
"Dia nak pergi seorang, tinggalkan aku dengan anak kat rumah. Dia salahkan aku sebab bagi adik pinjam duit," ujarnya.
Komunikasi adalah kunci utama dalam perkahwinan.
NETIZEN
Wanita itu kemudian terfikir sama ada tindakannya meminjamkan duit kepada adik dianggap satu kesalahan sehingga dia dimarahi suami.
"Salah aku ke? Sebab aku rasa suami aku pentingkan diri sendiri sangat bab ni. Ya, memang duit yang dipinjamkan pada adik tu adalah wang saya, bukan suami punya," jelasnya.
Saling memahami dan bertolak ansur merupakan kunci kebahagiaan rumah tangga. -Gambar hiasan
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memberikan pandangan mereka, termasuklah menegur wanita itu yang sepatutnya berbincang dengan suami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sendiri.
"Maaf cakap, memang awak salah sebab bagi tanpa bincang dengan suami. Kumpul sama-sama, guna sama-sama. Adik awak nak kahwin, kenapa dia tak kumpul duit sendiri? Dah tahu berapa bajet nak kahwin, jadi kahwin ikut bajet sendiri.
"Saya tahu itu duit awak dan dia adik awak, tapi awak sepatutnya minta izin daripada suami sebelum buat sebarang keputusan.
"Maaf, tapi saya seorang isteri dan juga bekerja, walaupun duit saya, kalau ada orang nak pinjam sejumlah besar daripada saya, saya akan maklumkan pada suami. Komunikasi adalah kunci utama dalam perkahwinan," demikian antara komen netizen.