PENCERAIAN bukan bermakna hubungan antara bekas suami dan isteri akan berakhir begitu sahaja.
Malah perpisahan itu juga tidak membataskan kedua-duanya untuk berkongsi rezeki dan membuat kebaikan antara satu sama lain.
Terpanggil untuk berkongsi satu kisah teladan, usahawan dan pemilik kedai komputer, Muhammad Abu Hurairah Roslan berkata dia menyaksikan sendiri kematangan salah seorang pelanggan wanita terhadap bekas suami.
Menurut Abu Hurairah, ketika itu dia menghantar sebuah komputer riba yang dibeli pelanggan wanita berkenaan ke satu alamat yang ditujukan kepada seorang lelaki.
Seorang lelaki sedang memikirkan hala tuju dalam kehidupannya. -Gambar hiasan
"Seorang isteri beli laptop untuk bekas suaminya. Mereka berpisah kerana sebab yang hanya mereka saja tahu.
"Saya tahu sebab masa hantar, bekas suaminya terkejut dapat satu laptop. Lelaki itu tanya... siapa yang minta kau hantar ni?
"Ini bang. Saya tak pasti siapa cuma betulkan alamat ni? Berubah terus muka dia apabila saya tunjukkan mesej alamat," kongsi Abu Hurairah di Facebook.
Di hadapan Abu Hurairah, kelihatan sayu wajah lelaki itu sebaik mengetahui identiti pengirim.
"Dia cakap... Oh, bekas isteri aku ni. Terima kasih hantarkan. Memang perlu sangat sebab untuk kerja esok. Tak tahu pulak dia yang belikan," ujarnya yang mengimbas kembali perbualan dengan penerima komputer riba itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan naik motosikal tengah malam rentas 300km demi bantuan laptop... Suami tak pandai belajar sokong isteri masuk universiti
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sanggup ‘resign’ walau gaji hampir 10K! Anggap diri bukan isteri baik jika tiada di sisi suami, anak setiap masa
Mengulas lanjut, katanya, setelah selesai membuat penghantaran seperti yang diamanahkan, barulah dia mengetahui cerita sebenar daripada bekas isteri.
"Puan ini cerita yang dia belikan untuk bekas suaminya yang dapat kerja baharu. Dia tahu pun sebab anaknya beritahu masa pulang dari bergilir duduk rumah ayahnya," katanya.
Masih mengenai bekas isteri, Abu Hurairah turut berkongsi kisah tentang wanita lain yang ditemuinya ketika berkunjung ke sebuah bank.
"Saya singgah ke bank sekejap sebab kad ATM kena sekat kerana saya lupa kata laluan.
"Masuk je ke dalam bank, saya nampak seorang wanita di depan mesin ATM. Gelisah nampaknya. Saya terus ke kaunter buat urusan," katanya.
Bersyukur menerima gaji pertama dengan kerja baharu. -Gambar hiasan
Setelah selesai urusan di kaunter, Abu Hurairah melihat wanita sama berdiri di hadapan mesin ATM dengan wajah yang masih gelisah.
"Allahu, kasihan pula. Saya mendekati dia. Ya makcik, ada yang boleh saya tolong? Jawab wanita itu... makcik nak masukkan duit tapi tak tahu macam mana.
"Nanti kalau tak tahu, makcik pergi ke kaunter pertanyaan tu. Mereka boleh bantu. Oh yeke? Makcik tak tahu. Ni orang tadi beritahu pergi kat mesin ni. Lepas tu makcik nak buat pun tak tahu. Itu je yang dia beritahu," kata Abu Hurairah mengenai perbualannya bersama wanita terbabit.
Isteri, makhluk Tuhan yang paling saya kagumi... hati mereka yang bersih, membuatkan hidup yang perih tapi dilalui tanpa letih.
MUHAMMAD ABU HURAIRAH ROSLAN
USAHAWAN
Tampil membantu di mesin ATM, Abu Hurairah melihat nama dan nombor akaun yang tertera pada sekeping kertas yang diberikan wanita itu.
"Nak bagi duit untuk anak ya makcik? Dia pandang saya sambil senyum. Tak, makcik nak bagi kat suami. Hari ni makcik dapat gaji pertama. Baru dapat kerja jadi guru Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain," katanya yang terharu.
Ramai memilih untuk menggunakan mesin ATM untuk urusan kewangan.
Abu Hurairah bagaimanapun terkejut sebaik bertanyakan tentang keberadaan si suami, rupanya kedua-dua mereka sudah lama berpisah.
"Makcik dan dia dah pisah lama. Dia tinggal di Perlis. Ni dapat gaji, teringat pula kat dia. Sambil saya masukkan duit, hampir nak menitis air mata.
"Dah berpisah lama dengan bekas suami, jauh di utara sana. Namun dapat nikmat (gaji pertama), bekas suami dulu yang diingatnya," jelasnya.
Renteran daripada dua kisah yang dikongsikannya, Abu Hurairah begitu kagum dengan dua wanita yang masih berbudi dengan bekas suami masing-masing.
Menerusi hantaran sama di Facebook, dia turut mengangkat darjat seorang isteri dan keperibadiannya sebagai wanita.
"Isteri, makhluk Tuhan yang paling saya kagumi. Hati mereka yang bersih, membuatkan hidup yang perih tapi dilalui tanpa letih.
"Setiap hari, selalu ditemukan dengan wanita yang menjadi bukti, Allah kekal dalam hati. Menjadikan mereka itu manusia hebat dan kuat.
"Allah, jagalah mereka yang diuji. Merekalah yang membina syurga buat anak dan suami," kata Abu Hurairah lagi.