RAMAI netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas personaliti media sosial Ammar Nazhan yang memalsukan kehilangan seorang rakannya di Bandung, Indonesia.
Meski pun berlaku di negara seberang, peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan berkata dia dan kumpulannya masih boleh disiasat di Malaysia jika ada laporan yang dibuat ke atas mereka.
"Buat masa sekarang (sehingga laporan ini disiarkan), masih belum ada sebarang pertuduhan yang dikenakan di Mahkamah Indonesia.
Aidil menasihati golongan pempengaruh agar berwaspada dalam menghasilkan kandungan media sosial.
"Sama ada mereka boleh dikenakan tindakan selepas balik ke Malaysia atau tidak, hal itu bergantung jika terdapat laporan ke atas kandungan yang dimuat naik oleh mereka.
"Apabila ada laporan, maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuat siasatan terlebih dahulu.
"Kemudian, siasatan lengkap akan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk menentukan sama ada terdapat kes yang kukuh terhadap mereka. Serta sama ada mereka yang memuat naik kandungan itu boleh dituduh di mahkamah atau tidak," ujarnya kepada mStar.
Laporan polis boleh dibuat kepada kumpulan influencer itu dan berkemungkinan ia akan disiasat dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
AIDIL AKMAL SHARIDAN
PEGUAM
Mengikut undang-undang negara ini, Aidil berkata sesiapa sahaja berhak untuk membuat laporan atas kekecohan yang dicetuskan kumpulan berkenaan.
Antara lain, Aidil berkata kandungan yang dimuat naik pempengaruh itu juga boleh dilaporkan kepada penyedia platform media sosial atau syarikat aplikasi itu sendiri.
"Dalam undang-undang Malaysia, sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis, namun laporan tersebut mestilah berasas.
ARTIKEL BERKAITAN: Oh, ini sebenarnya Ammar Nazhan... Patut la orang benci!
ARTIKEL BERKAITAN: Ammar Nazhan tukar strategi, buat ‘content’ agih makanan percuma... Tapi ramai tuduh cuba tiru Aisar Khaled
"Laporan polis boleh dibuat kepada kumpulan influencer itu dan berkemungkinan ia akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," jelasnya lagi.
Tambah Aidil, seksyen itu melibatkan seseorang yang menggunakan apa-apa kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian aplikasi secara sedar membuat, mewujudkan atau meminta-minta dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menganggu orang lain.
Bagi kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sehubungan itu, Aidil menasihati para pencipta kandungan agar sentiasa berwaspada dalam menghasilkan kandungan di media sosial.
Ammar dan Aras membuat permohonan maaf kepada polis Indonesia atas kekecohan yang berlaku.
"Kandungan-kandungan itu perlu mematuhi segala peraturan yang disediakan oleh setiap platform aplikasi tersebut dan mestilah tidak bercanggah dengan undang-undang Malaysia.
"Seperti kejadian yang berlaku di Indonesia, hal itu sedikit sebanyak menyebabkan orang awam, pihak polis dan tentera diarahkan membantu menyelamatkan mangsa yang dikatakan hilang.
"Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan tindakan undang-undang perlu diambil agar menjadi pengajaran kepada pelaku dan menjadi satu titik kesedaran kepada para content creator dan influencer untuk berwaspada dalam membuat kandungan dan memuat naik kandungan di media sosial," katanya lagi.
Sebelum ini, Ammar, 29, teruk dikecam selepas dia memalsukan kehilangan seorang pempengaruh wanita dikenali sebagai Eyka.
Eyka dilaporkan hilang di dalam hutan di Bandung, Indonesia pada Isnin sebelum ditemukan selamat pada malam Rabu.
Apa yang mengejutkan, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan kehilangan tersebut sebagai cerita palsu serta satu bentuk lakonan.
Susulan itu, Ammar dan seorang lagi rakannya, Aras Abdullah membuat permohonan maaf kepada polis Indonesia atas kekecohan yang berlaku.