KETIKA dilanda kontroversi dan kecaman atas ciptaan sendiri, personaliti media sosial Ammar Nazhan dilihat tenang meneruskan kehidupannya seperti biasa.
Menerusi perkongsian pada Jumaat, Ammar, 29, dan beberapa rakannya dilihat sedang mengagihkan makanan percuma buat penduduk setempat di Indonesia.
"Kita baru selesai solat Jumaat dengan team saya. Jadi saya nak buat (sedekah) sedikit dengan beli makanan untuk beri kepada warga-warga sini," ujarnya menerusi Instagram.
Dalam video itu, Ammar dilihat berkunjung ke gerai tepi jalan untuk membeli makanan dalam kuantiti yang banyak.
Dia kemudiannya terus dikerumuni penduduk setempat yang mahu mendapatkan makanan percuma.
Selain beramah mesra dengan kanak-kanak, golongan berusia juga dilihat tidak melepaskan peluang untuk bertemu YouTuber itu.
Ammar memuat naik video itu di akaun Instagram miliknya.
Tindakan terpuji Ammar yang bersedekah bagaimanapun menerima maklum balas negatif daripada netizen.
Semakan mendapati ramai netizen terus melemparkan kecaman terhadap pemuda itu.
Malah, ada yang turut menuduh Ammar cuba meniru pempengaruh terkenal Malaysia, Aisar Khaled yang sedang popular di Indonesia.
ARTIKEL BERKAITAN: Berwajah sugul sambil minta maaf... Ramai harap Ammar Nazhan, rakan kena tindakan tegas!
"Kelakar la kau ni, buat malu Malaysia.
"Dah malukan negara, acah-acah buat baik kat sana nak tutup kes biar orang lupa content sampah.
"Boleh buat macam tak ada apa yang berlaku. Muka tak tahu malu.
"Acah-acah nak jadi Aisar," tulis netizen.
Untuk rekod, nama Ammar kecoh menjadi bualan netizen selepas dia memalsukan kehilangan seorang pempengaruh wanita dikenali sebagai Eyka.
Eyka yang juga rakan kepada Ammar dilaporkan hilang di dalam hutan di Bandung, Indonesia pada Isnin sebelum ditemukan selamat pada malam Rabu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa negara itu mengesahkan kehilangan tersebut sebagai cerita palsu serta satu bentuk lakonan.
Susulan itu, Ammar dan seorang lagi rakannya, Aras Abdullah membuat permohonan maaf kepada polis Indonesia atas kekecohan yang berlaku.