suria

Cikgu Zayn Rayyan dengar Ismanira jerit... “Ini salah mummy”

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin menghadiri bicara kes pengabaian yang terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. -Foto Bernama

GURU kelas kepada Zayn Rayyan Abdul Matin berkata dia mendengar jeritan ibu kanak-kanak autisme itu pada 6 Disember tahun lalu.

"Saya dengar Ismanira seakan menjerit... Zayn ini salah mummy," ujar saksi pendakwaan kesembilan, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40.

Jelas Siti Amirah, dia mendengar jeritan itu ketika hadir menziarahi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Menurut Siti Amirah lagi, Ismanira kemudiannya ditenangkan oleh ibu mentuanya.

"Puan Ismanira tak mahu makan dan minum, jadi ketika itulah dia macam menjerit, sehingga menyebabkan saya bersama guru besar terkejut.

"Bagaimanapun, saya anggap perkara itu mungkin disebabkan dia terlalu sedih," kata Siti Amirah.

Semasa perbicaraan kes pengabaian itu, Siti Amirah berkata pihak sekolah sudah menyerahkan barang-barang Zayn Rayyan ketika hadir ke kediaman datuk dan neneknya di Subang Bestari.

Antaranya baju, seluar, lampin pakai buang yang ditinggalkan di sekolah serta sijil dan gambar graduasi milik kanak-kanak tersebut.

553

Mayat Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Disember 2024.

Ditanya punca baju, seluar dan lampin diletakkan di sekolah, Siti Amirah berkata salinan pakaian itu adalah untuk murid-murid pendidikan khas.

"Bagi setiap murid pendidikan khas, kami akan minta salinan pakaian itu daripada ibu bapa untuk diletakkan di sekolah di sepanjang tahun.

"Untuk memudahkan urusan pembantu pengurusan murid, sekiranya baju yang dipakai dari rumah kotor," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.

Pendakwaan: Jadi, pada 5 Disember 2023, adakah Zayn Rayyan memakai lampin pakai buang?

Siti Aminah: Ya.

Pendakwaan: Adakah pembantu pengurusan murid telah menukar lampin pakai buang pada tarikh itu?

Siti Aminah: Seingat saya tiada, sebab Zayn Rayyan jarang membuang air kecil atau besar di sekolah, jadi tiada keperluan untuk tukar pada tarikh itu.

Pendakwaan: Jadi selepas dia pulang pada pukul 12.05 tengah hari, 5 Disember, dia pakai lampin pakai buang yang sama?

Siti Aminah: Ya.

Untuk rekod, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari pada 12 Jun tahun lalu mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada hari berikutnya.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan mati di dalam sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mangsa dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemukan 200 meter daripada kawasan perumahannya.

Artikel Lain