suria

Cikgu buat jamuan akhir tahun, mak ayah gelabah dalam grup WhatsApp... Berani ‘warning’ ibu bapa lain jangan jamu jajan!

Murid-murid pasti teruja setiap kali tibanya jamuan akhir tahun. -Gambar hiasan

SESI persekolahan 2023/2024 bakal melabuhkan tirai dan sempena minggu terakhir ini, banyak sekolah mengadakan jamuan kelas bagi meraikan murid-murid sebelum bercuti.

Maka ramai ibu bapa akan mempersiapkan pelbagai juadah dan hidangan untuk dibawa anak-anak bagi memeriahkan jamuan akhir tahun.

Namun terdapat rungutan daripada segelintir ibu bapa kerana kurang senang dengan menu makanan ringan atau jajan yang dihidangkan kepada anak-anak mereka.

“Jamuan akhir tahun sekolah rendah. Antara benda yang mak ayah kirim untuk meraikan anak-anak adalah jajan. Jajan ni pernah jadi isu juga.

“Ada segelintir mak ayah tak suka sungguh apabila jamuan sebegini dihidang jajan. Mereka memang haramkan anak-anak mereka makan jajan. Tapi ada ibu bapa lain pula yang bawa ke sekolah dan anak mereka makan,” kongsi Mohd Fadli Salleh di Facebook.

Makanan ringan menjadi kesukaan kanak-kanak. -Gambar FB Mohd Fadli Salleh

Tambah guru yang juga pempengaruh media sosial itu, murid-murid sudah pasti teruja sekiranya dapat menikmati jajan.

“Dapat makan jajan salah satu nikmat paling besar menjadi kanak-kanak. Deretan jajan begini bagai hidangan syurga bagi mereka. Dan benar, jajan tak elok untuk kesihatan.

“Tapi untuk anak-anak, bagilah pengecualian sehari dua dalam setahun terutama saat jamuan kelas seperti ini,” ujarnya tanpa merujuk mana-mana sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Anjur majlis graduasi mewah, cikgu minta murid darjah 6 bayar RM140... Ramai mula mengeluh, tak mampu ikut trend

ARTIKEL BERKAITAN: Bos buat majlis perpisahan tapi enggan rai staf ‘resign’ setelah 20 tahun berkhidmat, cuma jemput pekerja bersara awal

Menurutnya, peluang sebegitu hanya dirasai ketika mereka masih bergelar kanak-kanak dan semakin lama terhakis keterujaan itu apabila meningkat dewasa.

“Bagi mereka merasa nikmat menjadi kanak-kanak. Kerana bila besar nanti, makan jajan dah tak senikmat makan masa kanak-kanak.

Bagi mereka merasa nikmat menjadi kanak-kanak.

MOHD FADLI SALLEH

GURU

“Apa lagi makan curi-curi dalam semak dengan kawan, takut mak tahu. Dahlah duit beli mi segera rembat dalam seluar ayah yang tergantung.

“Ratah mentah begitu je dalam semak penuh nyamuk dan pacat. Akhir sekali isi air paip dalam tu dan hirup bergilir-gilir dengan kawan. Ahhhh, nikmatnya,” kata Mohd Fadli mengimbas zaman kanak-kanak.

Dia bagaimanapun akur, terdapat ibu bapa yang amat tegas apabila melibatkan pemakanan anak-anak.

Makanan ringan antara kenangan di zaman kanak-kanak. -Gambar hiasan/The Star

“Habis dia marah dalam grup WhatsApp warning mak ayah jangan sesekali bawa jajan untuk jamuan kelas.

“Amboi tuan puan, awak tak boleh nak sound orang macam tu. Tak boleh nak arah orang suruh ikut cara awak tu.

“Benarlah awak nak jaga anak awak agar makan makanan berkhasiat sahaja. Namun tetap tak boleh nak sound orang lain,” katanya.

Mohd Fadli menegaskan keadaan itu adalah di luar kuasa mereka dan sebagai ibu bapa, mereka seharusnya mendidik anak-anak sendiri dalam soal pemakanan.

“Kuasa awak adalah didik anak-anak agar jangan sesekali makan jajan walau siapapun yang hidangkan. Bagi anak-anak betul-betul patuh dan tak akan sentuh walau kita tiada mengawasi mereka. Begitulah sebaiknya.

“Apapun, jika tanya pada aku, aku tak syorkan anak-anak aku makan benda tak sihat. Namun sesekali memang aku benarkan.

“Mereka kanak-kanak dan jajan itu salah satu syurga bagi mereka. Aku akan benarkan mereka ‘masuk syurga’ sekali sekala,” ujarnya secara berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain