suria

Anjur majlis graduasi mewah, cikgu minta murid darjah 6 bayar RM140... Ramai mula mengeluh, tak mampu ikut trend

Majlis graduasi kini dijadikan sebagai budaya di kebanyakan sekolah. -Gambar hiasan

SUDAH menjadi satu trend apabila murid-murid sekolah termasuk di peringkat prasekolah diraikan dalam majlis graduasi apabila mereka tamat persekolahan.

Namun kebiasaannya majlis yang diadakan bukan percuma, justeru sejumlah bayaran perlu dikeluarkan ibu bapa bagi menampung kos penganjuran.

Tular di media sosial mengenai surat pemberitahuan mengenai majlis graduasi murid tahun enam bagi tahun 2023 sebuah sekolah untuk ibu bapa.

Menerusi satu perkongsian, acara tahunan itu dijadual berlangsung di sebuah hotel, pada Januari 2024 dan ia bakal dihadiri murid-murid termasuk ibu bapa masing-masing.

Murid-murid diraikan selepas tamat belajar. -Gambar hiasan / Freepik

Surat itu menyatakan pihak sekolah menetapkan yuran sebanyak RM140 bagi seorang murid. Ia meliputi kos jamuan RM100 untuk sarapan dan makan tengah hari, gambar (RM25), folder sijil (RM10) dan upah dobi untuk (RM5).

Ibu bapa atau penjaga yang mahu mengikuti majlis tersebut juga perlu membuat bayaran secara berasingan iaitu berjumlah RM100 seorang.

Menerusi surat yang dikeluarkan oleh pihak sekolah itu turut memaklumkan bahawa bayaran boleh dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, perkongsian yang tular itu mencetuskan pelbagai reaksi mengenai kewajaran majlis graduasi semewah itu.

“(Bayaran) RM140 untuk setiap murid. Ibu bapa atau penjaga dikenakan bayaran RM100 lagi untuk mengiringi anak hanya untuk majlis penyerahan sijil tahun enam.

“Tahun enam tu, kebiasaannya majlis graduasi boleh dibuat di institusi atau fasiliti tempat pembelajaran, bukannya di hotel bagi murid tahun enam.

“Jika tahap Diploma, Ijazah mungkin boleh sebegini. Mohon fikir-fikirkanlah. Kalau begini, memang tidak berbaloi dan membazir,” tulis seorang pengguna Facebook.

Perkongsian yang tular di media sosial.

Perkara itu turut meraih ramai perhatian ramai terutama ibu bapa termasuk pempengaruh media sosial, Mohd Fadli Salleh yang menyifatkan majlis graduasi untuk prasekolah dan tahun enam kini menjadi budaya dan normalisasi bagi kebanyakan sekolah terutama di bandar-bandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa terdiam gambar konvo tadika RM20, tarik tangan anak tinggalkan dewan – “Tu motosikal bos dia, pinjam nak pergi konvo”

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan merajuk, boikot majlis konvo gara-gara ibu bapa tak beli baju baharu - “Mereka buat tak tahu sebab kena pakai duit”

Tanpa merujuk mana-mana sekolah, dia berpandangan bahawa terdapat pro dan kontra bagi penganjuran majlis graduasi tersebut, termasuk dijadikan sebagai memori akan datang.

“Macam gambar anak-anak habis pra, siap pakai topi dan pegang segulung sijil. Sijil pra je pun. Tapi mak ayah siap frame dan gantung kat dinding lagi.

“Memori anak itu saat usia mereka enam tahun. Kemudian graduasi masa darjah enam pula. Memori bersama kawan-kawan enam tahun di sekolah rendah diabadikan dalam satu majlis,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Lihat kemampuan murid-murid sekolah tu... kalau majoriti memang berada dan mampu, buat la kat hotel pun.

MOHD FADLI SALLEH

Namun yang kontranya, kata Mohd Fadli apabila bayaran mahal perlu dikeluarkan ibu bapa sekiranya penganjurannya dibuat di hotel atau lokasi yang ‘gah’.

“Bukan semua orang mampu bayar. Maka anak-anak dari keluarga kurang mampu tersisih, tak dapat sertai majlis kerana tak mampu bayar.

“Pada aku, bagus je ada hari graduasi tahun enam ni. Memori terakhir mereka di sekolah rendah diabadikan dalam satu momen yang mereka akan kenang sampai mati.

“Cuma lihat kemampuan murid-murid sekolah tu. Kalau majoriti memang berada dan mampu, buat la kat hotel pun. Yang penting, melibatkan semua murid,” ujarnya.

Surat berkaitan dengan majlis graduasi yang tular di media sosial.

Bagi murid-murid yang tidak berkemampuan, Mohd Fadli menyarankan supaya pihak sekolah boleh membuat sebaran umum untuk sumbangan.

“War-warkan kepada ibu bapa yang terlebih mampu untuk bayarkan. Insya-Allah ramai je ibu bapa yang berada ni sudi bayarkan untuk anak-anak yatim dan mereka daripada keluarga miskin.

“Paling penting, tiada seorang pun yang tercicir. Jangan biarkan seorang pun murid terkecuali. Atau, buat sahaja majlis di sekolah dengan kos minimum.

“Hias pentas sikit, order makan, adakan booth untuk bergambar, susun aktiviti murid, siap. Rasanya kos RM15 seorang pun dah cukup jika buat di sekolah ni,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain