suria

[VIDEO] Anak angkat dipaksa makan supaya gemuk, waktu itulah dia dipukul... Saksi pura-pura minum air rakam insiden menyayat hati

SEJAK kes dera membabitkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun menjadi tular, ramai pihak mula mempersoalkan punca sebenar perlakuan tidak berperikemanusiaan pendera itu.

Perlakuan suspek yang merupakan pasangan suami isteri bertindak kejam memukul mangsa yang berstatus anak angkat dengan pelbagai objek termasuk penyapu dan penyangkut baju meruntun jiwa masyarakat yang mempunyai hati dan perasaan.

Tampil menceritakan tentang episod hitam kanak-kanak itu, individu bernama Muhammad Daniel Aqil Aidil Sifu, 20, mendakwa dia dan empat lagi rakan-rakannya menjadi saksi kekejaman suspek terhadap mangsa sejak April lalu.

Rakan-rakan Aqil dilihat mesra melayan mangsa ketika di rumah suspek.

Aqil, yang merupakan selebriti media sosial menetap di rumah suspek di taman perumahan Beranang, Selangor selepas diambil sebagai pekerja pemasaran menerusi platform masing-masing.

"Kami ditawarkan untuk bekerja dengan dia. Masa tu kami bersetuju sebab dia beritahu kerja dari rumah saja dan memandangkan office dia pun dekat rumah.

"Apabila sudah masuk rumah tu, kami mula nampak dia layan anak angkat dia tu macam tak berapa baiklah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul budak hyper-aktif dengan penyapu sebab tak suka makan nasi, wanita rambut pink direman 7 hari

ARTIKEL BERKAITAN: Geramnya tengok! Tular video wanita rambut pink ‘kerjakan’ budak dengan batang penyapu

"Dia marah-marah ketika suap makanan. Masa tu dia tak tunjuk lagi melalui perbuatan pukul-pukul ni," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.

Aqil tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada kira-kira pukul 12.14 tengah malam Khamis.

Laporan itu akhirnya membawa kepada penahanan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes penderaan seorang kanak-kanak empat tahun yang dipercayai dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan dicucuh dengan pemetik api.

Aqil mendakwa kekerasan dilakukan terhadap mangsa setiap kali tibanya waktu makan.

Pasangan itu merupakan seorang wanita tempatan dan lelaki warga Singapura berusia dalam lingkungan 28 tahun hingga 30-an.

Sementara itu tambah Aqil yang memiliki lebih 1.1 juta pengikut di TikTok, sepanjang pemerhatiannya suspek sering bertindak kasar terhadap mangsa setiap kali tibanya waktu makan.

Dakwa Aqil, suspek akan memaksa mangsa untuk makan makanan dalam jumlah yang banyak seperti orang dewasa.

"Dia akan bagi mangsa makan hidangan sama seperti kami makan. Kalau menu pada hari tu yang pedas-pedas seperti kari ayam, kanak-kanak itu pun dipaksa makan.

Setiap kali waktu makan, ketika itulah mangsa dipukul kerana dipaksa telan makanan.

AQIL

"Si pelaku cakap kononnya tindakan dia ni untuk gemukkan mangsa kerana sewaktu diambil daripada ibu kandungnya, budak ni kurus.

"Tapi macam tak logik budak umur empat tahun tak diberi susu tapi diberi makan makanan orang dewasa dengan kuantiti besar.

"Setiap kali waktu makan, ketika itulah mangsa dipukul kerana dipaksa telan makanan. Apabila makanan tu tak habis suspek akan pukul," katanya.

Menjawab kepada persoalan ramai mengapa mereka mengambil masa yang lama sebelum melaporkan kepada polis, Aqil berkata dia perlu mengumpul bukti sebelum bertindak.

Kelihatan kesan lebam dipercayai akibat dipukul pada anggota badan mangsa.

"Kalau kami ambil tindakan tanpa bukti pun polis tak akan percaya. Jadi kami cuba sedaya upaya dapatkan bukti yang kukuh dan jelas untuk diberikan pada pihak polis.

"Saya baru saja dapat rakam video tu secara senyap-senyap. Si pelaku tak tahu pun saya rekod sebab saya pura-pura tengah minum air sambil rakam.

"Apabila dah dapat bahan bukti kami pun berpakat untuk ambil tindakan sebab dah tak sanggup tengok mangsa terseksa macam ni,” katanya.

Untuk rekod pasangan itu direman tujuh hari sehingga 28 Julai ini untuk disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain