suria

Pukul budak hyper-aktif dengan penyapu sebab tak suka makan nasi, wanita rambut pink direman 7 hari

Mangsa diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu yang dikaitkan dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, mangsa juga telah diselamatkan selepas pihaknya menerima satu laporan pada awal pagi Jumaat.

"Pada 22 Julai 2022 jam 12.14 tengah malam pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima satu laporan berkaitan kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak dan satu siasatan telah dijalankan.

"Selepas menerima laporan berkenaan, Polis Kajang pada 22 Julai 2022 jam 2.30 pagi telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah membuat tangkapan ke atas seorang perempuan Melayu dan seorang lelaki warganegara Singapura di sebuah rumah di taman perumahan Beranang, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Geramnya tengok! Tular video wanita rambut pink ‘kerjakan’ budak dengan batang penyapu

"Suspek berumur lingkungan 28 hingga 30-an. Tahanan reman dibenarkan selama tujuh hari sehingga 28 Julai 2022. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa kanak-kanak tersebut untuk makan sehingga termuntah.

Mangsa merupakan kanak-kanak yang dikatakan hyper-aktif berusia anggaran empat tahun, merupakan anak kepada warganegara Indonesia yang mana kelahirannya tidak pernah didaftarkan dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

"Mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya. Mangsa dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api," ujarnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain