suria

Mengadu dibuli, kemudian diri sendiri dera budak? Twitter kena gali... suspek pernah mengaku digelar kaki sihir, alami depresi

Ciapan wanita itu yang ditulis pada Jun lalu ditularkan oleh netizen pada Jumaat pagi.

AKAUN Twitter milik wanita yang dikaitkan dengan kes dera seorang kanak-kanak berusia empat tahun mula 'diselongkar' netizen selepas video perlakuan kejamnya tular sejak pagi Jumaat.

Antara yang mencuri tumpuan tentunya ciapan pada 18 Jun lalu yang berkisar mengenai topik tekanan perasaan, gangguan sihir dan cubaan bunuh diri.

Dalam perkongsian panjang lebar, dia mengakui rutin hidupnya terganggu dan hampir mencederakan diri sendiri gara-gara mengalami bisikan misteri.

"Pernah tak korang dibuli sehingga depresi dan hendak membunuh diri? Ini pengalaman gelap yang saya pernah lalui sebelum ini.

"Ya, membunuh diri. Saya penipu, saya menyihir bekas suami, saya ini, saya itu. Bukan setakat 'disiber buli', malah maklumat tentang alamat rumah dan keluarga saya juga diganggu kacau.

"Memang ketika ini, saya memang sukar untuk tidur dan serba serbi tidak kena pada rutin kehidupan saya. Saya pun hampir mengelar tangan kiri saya dek kerana ada suara berbisik untuk melakukan hal demikian.

"Saya bergantung pada ubat-ubatan dalam tempoh yang lama untuk melegakan perasaan yang berkecamuk ini," ujarnya dalam siri ciapan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Geramnya tengok! Tular video wanita rambut pink ‘kerjakan’ budak dengan batang penyapu

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul budak hyper-aktif dengan penyapu sebab tak suka makan nasi, wanita rambut pink direman 7 hari

Menurut wanita itu lagi, dia juga tertekan dengan tuduhan pihak tertentu yang mengaitkannya dengan gelaran kaki sihir, scammer mandul dan macam-macam lagi.

Selain dipulaukan, dia juga mengakui perniagaannya jatuh teruk dan mengalami kerugian kerana menjadi mangsa buli siber.

"Ganggu siber, hina ibu bapa saya, dedahkan maklumat peribadi saya kepada umum, ini sangat sangat melampau. Masa ini, semua yang rapat juga menjauhkan diri daripada saya. Kaki sihir, santau, scammer, mandul itu ini, semuanya dituduh saya.

"Bukan sekadar itu, perniagaan saya jatuh sangat teruk. Kerugian keseluruhan saya hampir satu juta ketika perniagaan saya merosot.

tmk3

Komen netizen di laman Twitter yang berang dengan kejadian berkenaan.

"Sudahlah mental tidak stabil, sumber pendapatan saya juga hilang. Boleh tak bayangkan berapa teruknya keadaan saya ketika itu?

"Siber buli ini sangat bahaya, tak semua orang kuat untuk menghadapinya. Tips paling perlu dibuat untuk mengurangkan impak siber buli ini adalah dengan mengelakkan untuk membuka sosial media.

"Jangan buka langsung. Jaga kesihatan mental anda. Semoga tuhan permudahkan segala urusan," tulisnya lagi.

Tweet berkenaan yang seolah-olah agak sepi sejak dikongsi pada Jun lalu mula mendapat respons orang ramai selepas video kes dera itu tersebar awal hari ini.

Saya pun hampir mengelar tangan kiri saya dek kerana ada suara berbisik untuk melakukan hal demikian.

SUSPEK KES DERA

Rata-rata netizen mengecam wanita itu dan berharap agar dia dikenakan hukuman setimpal atas tindakan keji yang dilakukannya.

"Kalau kau ada masa lampau yang teruk, jangan jadikan orang lain sebagai mangsa. Adakah dengan perbuatan memukul boleh membalas atau melepaskan amarah kau yang dahulu, tidak akan dan tidak boleh. Aku harap dia ni kena tindakan tegas, come on Law Malaysia tegas sikit

"Kamu dibuli sehingga depresi dan kesannya sekarang, kamu dera budak kecil? Moga kamu mereput dalam neraka.

"Betul ke awak buli anak angkat awak? Jangan gunakan alasan depresi kalau awak dah mendera seorang budak yang tak bersalah," tulis beberapa netizen.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan mengesahkan suspek wanita itu telah ditahan dengan pasangannya di sebuah rumah di Beranang, Selangor.

tmk2

Mangsa telah diselamatkan polis dan dua suspek juga telah ditahan pada Jumaat.

"Selepas menerima laporan berkenaan, Polis Kajang pada 22 Julai 2022 jam 2.30 pagi telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah membuat tangkapan ke atas seorang perempuan Melayu dan seorang lelaki warganegara Singapura.

"Suspek berumur lingkungan 28 hingga 30-an. Tahanan reman dibenarkan selama tujuh hari sehingga 28 Julai 2022. Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Mangsa merupakan kanak-kanak yang dikatakan hyper-aktif berusia anggaran empat tahun, merupakan anak kepada warganegara Indonesia yang mana kelahirannya tidak pernah didaftarkan dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

"Mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya. Mangsa dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penyangkut baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api," ujarnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain