suria

Bayi tunjuk tingkah laku ‘sangat baik’ masa mandi, dipakaikan baju sebelum ke rumah pengasuh... petangnya ‘pergi’ tinggalkan mak ayah

Hasikin dan suami menerima ketentuan takdir apabila cahaya mata sulung mereka meninggal dunia Jumaat lalu.

KEHADIRAN cahaya mata comel yang diberi nama Puteri Maryam menjadi pelengkap dalam kehidupan suami isteri dari Nusajaya, Johor ini.

Dilahirkan pada 8 Julai 2021, anak sulung pasangan Mohamad Amirul Rahim Baharudin, 30, dan Nur Hasikin Ahmad, 28, itu bagaimanapun meninggal dunia secara tiba-tiba pada petang Jumaat lalu.

Ketika dihubungi mStar, wanita yang senang disapa Hasikin itu sempat memperincikan semula kejadian berkenaan yang disifatkan sebagai hari paling sedih dalam hidupnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih tema putih tanpa sebab, enggan basuh baju kotor jadi petunjuk bayi usia 5 bulan dinanti selama 7 tahun akan ‘pergi’ - “Saya macam dah boleh rasa”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menggigil diminta ambil anak lahir pramatang di hospital selepas 81 hari terpisah... tenang ramai tanya tentang saiz, kulit gelap

"Kami hantar ke rumah pengasuh seperti biasa pada hari bekerja. Ketika dalam perjalanan pulang, saya terima panggilan daripada pengasuh, meminta saya datang cepat kerana anak tak sedarkan diri.

"Dalam panggilan, saya dengar pengasuh sedang menangis. Pada masa sama, suami pengasuh sedang beri bantuan pernafasan (CPR) kepada bayi. Mereka pun dah hubungi ambulans. saya minta mereka teruskan buat CPR sementara saya sampai dan Saya terus hubungi suami untuk maklumkan hal ini.

"Ketika sampai, saya suruh pengasuh pegang bayi dan saya nak bawa kereta ke hospital. Tapi pihak ambulans minta kami tunggu, kami masa tu dah keluar dari perumahan dan berhenti di tepi jalan. Ketika itu anak saya memang tak sedarkan diri tapi CPR tetap terus dilakukan," jelasnya.

Tambah Hasikin, dalam keadaan cemas itu beberapa individu turut berhenti di tepi jalan apabila melihat kejadian itu untuk membantu sebelum dia dan bayinya dibawa menaiki ambulans untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Jelas Hasikin, pengasuhnya memaklumkan bayi berusia enam bulan 13 hari itu kelihatan tidak selesa dan seolah-olah mahu sendawa sebelum memuntahkan semua susu dan makanan dalam kejadian berkenaan.

hasikin4

Jenazah Puteri Maryam dikebumikan di Tanah Perkuburan Gelang Patah pada Sabtu.

"Selepas dibawa dengan ambulans, anak saya dimasukkan ke jabatan kecemasan. Dalam 15 ke 20 minit mereka cuba selamatkan, kemudian doktor keluar dan maklumkan anak saya tidak dapat diselamatkan dan pihak hospital kata mereka tak dapat nak sahkan punca sebenar.

"Menurut pengasuh, dia nampak anak saya dalam keadaan tak selesa dan nak batuk. Jadi dia tepuk belakang untuk bagi sendawa. Kemudian anak saya batuk dan muntah sebelum tak sedarkan diri. Lepas dah bedah siasat pada pagi Sabtu, doktor kata tak dapat tengok keputusan dengan mata kasar. Jadi result sekarang adalah pending laboratory investigation.

Pada pagi hari kejadian, saya mandikan arwah sebelum dihantar ke rumah pengasuh. Selalunya suami yang mandikan, tapi hari tu saya offer nak mandikan.

HASIKIN

"Tapi sampel darah dan tisu paru paru sudah dihantar ke makmal untuk mendapatkan punca sebenar. Keputusan akan diketahui dalam masa dua hingga tiga bulan. Kalau ikut cerita pengasuh, memang tersedak. Tapi doktor tak boleh sahkan selagi tiada bukti. Tersedak ni hanya anggapan kami. Tapi untuk jawapan sahih, kami masih tunggu ujian makmal," ujar Hasikin.

Menurut wanita yang baru mendirikan rumah tangga pada 30 Julai 2020 itu, dia sedih dengan kejadian yang menimpa namun sudah reda dengan takdir yang ditetapkan sang pencipta.

Malah katanya, dia tidak menunding jari terhadap pengasuhnya tetapi berterima kasih atas jasa baik yang banyak memudahkan urusan dia sekeluarga selama ini.

haskin3

Foto kenangan mereka sekeluarga.

"Pengasuh saya memang cuba sama-sama untuk selamatkan arwah, dah hubungi ambulans dan buat CPR. Pengasuh ada dengan saya dan suami dari awal sampai akhir. Dia tak ada mengelak, semua bagi kerjasama. Saya dengan pengasuh OK, saya tak salahkan dia sebab perkara ini boleh jadi kat mana-mana.

"Even bayi dalam jagaan mak ayah pun boleh berlaku kejadian sebegini. Kejadian bayi tersedak memang sentiasa berlaku. Saya terima ketentuan. Bila jadi benda macam ni, ia bagi pengajaran juga untuk saya dalami pelbagai ilmu berkaitan bayi.

"Saya percaya, saya dan suami pun dah buat yang terbaik, sebab itu kami reda dengan kejadian ini. Rindu tetap ada, tapi kami terima apa yang berlaku. Bayi kami pun sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Gelang Patah pada Sabtu," ceritanya lagi.

Imbas Hasikin, dia juga bersyukur diberi peluang memandikan bayinya pada pagi kejadian yang mana tugas tersebut biasanya sering dilakukan oleh suaminya selama ini.

hasikin2

Bayi comel ini dilahirkan pada 8 Julai 2021.

"Pada pagi hari kejadian, saya mandikan arwah sebelum dihantar ke rumah pengasuh. Selalunya suami yang mandikan, tapi hari tu saya offer nak mandikan.

"Saya dukung dia mandi shower sama-sama, dia baik sangat. Lepas mandi, saya bagi suami untuk pakaikan bajunya. Suami pun ada tegur yang dia 'sangat baik', tak macam hari-hari sebelum tu. Sepanjang mengandung pun, memang tiada masalah. Semua urusan saya dipermudahkan," ujarnya.

Tambah Hasikin, dia sekadar mahu berkongsi cerita mengenai pemergian mengejut anaknya untuk membuka mata masyarakat di luar sana mengenai kejadian-kejadian sebegini.

Jelasnya, penting untuk ibu bapa mahupun sesiapa sahaja melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan agar kita sentiasa bersedia dengan kemungkinan buruk yang boleh berlaku.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain