suria

Dulu tolong ibu buat content, kini anak tunggal dah mampu ‘gerak sendiri’ - “Orang lain tenang di gim, saya selesa di dapur”

Afiq mahu mengubah persepsi segelintir individu yang beranggapan tugas memasak hanya dikhususkan untuk kaum Hawa.

KELINCAHAN jari jemari jejaka ini dalam memberi sentuhan magis setiap kali beraksi di dapur membolehkan dia meraih pengikut yang tersendiri.

Bermula secara suka-suka, Afiq Rahim, 29, yang banyak menghasilkan video masakan kini mempunyai lebih 163,000 pengikut di laman Instagram miliknya.

Bercerita kepada mStar, personaliti media sosial itu mengakui minat terhadap dunia masakan sudah lama bercambah, namun kini dilakukan secara serius demi memberi manfaat kepada orang di luar sana.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejak kecil rajin ke dapur, aksi masak campak-campak sambil tersenyum bikin hati cair... Wow! Jejaka awet muda terima banyak mesej cari jodoh

ARTIKEL BERKAITAN: Berkopiah masuk dapur, video masak kerang mampu raih jutaan views... rupa-rupanya ramai suka sebab ustaz muda ni ada ‘selit’ ilmu lain

"Saya sebenarnya bekerja dalam bidang marketing. Kadang-kadang nak release tension, saya memasak untuk tenangkan diri. Kalau orang lain, mungkin tenangkan diri dengan berjalan-jalan atau pergi gim, saya selesa di dapur.

"Bila memasak, saya boleh bagi mama dan papa makan. Kalau mereka suka, saya pun gembira. Tambahan pula, saya merupakan anak tunggal dalam keluarga. Sejak kecil saya suka ikut mama masuk dapur.

"Bermula dengan tolong sikit-sikit, lama kelamaan saya mula belajar memasak. Awal-awal dulu, saya belajar masak sambal ikan bilis sebab ia merupakan menu yang paling saya suka sejak kecil lagi," ujarnya.

Menurut Afiq yang menetap di Kuala Lumpur, ibunya yang dikenali dengan gelaran AdikFoods di Instagram terlebih dahulu memulakan content video masakan di media sosial.

afiq5

Antara video masakan yang dihasilkan Afiq.

Imbas Afiq, dia pada awalnya hanya bertindak sebagai pembantu ibunya, namun mendapat permintaan agar menghasilkan video masakan sendiri sehinggalah dia mula aktif pada tahun 2019.

"Mama saya dah lama buat video masakan. Niat saya cuma nak tolong mama. Bila orang nampak saya dalam video-video mama, mereka minta saya buat video masakan sendiri pula. Saya pun terfikir, why not saya kongsi resipi dengan orang.

Saya nak betulkan stereotaip yang mengatakan hanya perempuan boleh memasak. Sedangkan, sesiapa saja tanpa mengira jantina boleh memasak.

AFIQ

"Jadi saya pun bermula perlahan-lahan pada 2019. Bermula dengan Instagram, kini saya juga berkongsi video masakan menerusi TikTok. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengikut saya di Instagram tiba-tiba mula meningkat.

"Saya rasa seronok dapat bantu orang untuk belajar memasak. Saya pun bukanlah pandai sangat, tapi saya nak kongsi ilmu yang saya tahu. Biasanya saya akan kongsikan satu video sehari," ujarnya lagi.

Menurut Afiq, dia juga mahu mengubah persepsi segelintir individu yang beranggapan tugas memasak hanya dikhususkan untuk kaum Hawa.

afiq

Afiq berterima kasih atas sokongan netizen terhadap video-video masakan yang dihasilkannya.

"Saya nak betulkan stereotaip yang mengatakan hanya perempuan boleh memasak. Sedangkan, sesiapa saja tanpa mengira jantina boleh memasak. Lelaki atau perempuan, yang penting kita ada niat nak belajar.

"Kepada yang takut nak cuba memasak, kena ingat konsep try and error. Kita semua tak sempurna. Kita harus cuba dan belajar daripada pengalaman. Proses pembelajaran berlaku setiap hari dan tak akan berhenti," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Afiq turut menzahirkan rasa penghargaan buat semua individu yang banyak memberikan sokongan terhadap video masakannya selama ini.

afiq4

Afiq banyak berkongsi video masakan di Instagram dan TikTok.

"Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan. Tanpa anda, mungkin saya tak boleh pergi sejauh ini. Saya tak sangka dapat ceburi bidang ini atas galakan anda semua.

"Saya sejujurnya banyak dapat inspirasi masakan daripada orang sekeliling seperti ahli keluarga dan ibu saudara. Mereka ada kepakaran memasak yang tersendiri.

"InsyaAllah, selain video masakan, saya nak perbanyakkan content berkaitan food hunting pula sepanjang tahun ini. Kita dah penat dengan pandemik, sekarang nak terokai dunia luar dan cuba semua masakan yang ada di sekeliling kita," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain