suria

Dua beranak dah 5 tahun terpisah, lelaki ini ‘fikir jalan’ cari bapa mentua demi ubat kerinduan isteri - “Suami langsung tak pernah jumpa papa”

Yura terus mengalirkan air mata setelah melihat bapanya di dalam rakaman video tersebut.

JIKA bercakap mengenai perceraian, sudah semestinya nasib anak-anak akan menjadi perkara utama terlintas di fikiran.

Reda dengan perpisahan ibu bapanya, wanita berusia 24 tahun ini berkongsi cerita di sebalik rakaman tular yang memaparkan dia sedang menangis ketika menonton video bapanya memberikan ucapan sempena hari jadinya pada 29 Disember tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tunjuk sedih, anak akui terkesan ibu baru bercerai urus kedai makan sendirian sampai lewat malam - “Bila terbayang, rasa nak keluar air mata”

ARTIKEL BERKAITAN: Syahdu saat anak dapat cam ibunya yang terpisah 2 tahun ketika jalan-jalan di mall - “Yakin itu mummy, dia terus peluk”

Menurut Ainnurul Assyura Suhaimi, dia sudah terputus hubungan dengan bapanya sejak lima tahun lepas.

"Parents bercerai sejak saya kecil lagi. Lepas tu saya kena duduk dengan ibu saya dekat Johor. Papa tetap tinggal dekat Singapura sebab dia memang orang sana.



Gambar Yura dan dua abang bersama bapanya.

"Jadi sejak saya baby lagi mereka dah tak duduk sama-sama. Saya ada je jumpa papa sebulan sekali sebelum ni. Setiap kali hari jadi saya pun dia akan wish, tak pernah lupa.

"Tapi last saya dapat contact dia masa tahun 2018. Disebabkan Covid-19 lepas tu, kita dah tak boleh rentas negeri. Kami terus terputus hubungan dan saya anggap papa mungkin dah ada keluarga baru," ujarnya yang mesra disapa Yura.

Bercerita lanjut kepada mStar, dia sangat terkejut kerana tidak menyangka suaminya berjaya menghubungi bapanya sedangkan dia sendiri tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu.



Bapa Yura menyanyikan lagu Sweet Child of Mine untuk anaknya.

Imbas Yura yang merupakan anak kedua daripada empat adik beradik ini, perkahwinan bersama suami, Shahrul Izwan Saharudin, 27, yang dilangsungkan pada 22 September 2020 juga menggunakan wali hakim.

"Padahal suami tak pernah jumpa pun papa saya selama ni. Rupanya dia diam-diam ambil nombor contact papa dalam telefon saya. Dia berhubung melalui WhatsApp dengan papa senyap-senyap dan minta papa rakam video ucap hari jadi untuk saya.

"Saya memang terkejut gila lepas nampak video tu yang ditunjukkan pada hari jadi saya. Selepas suami saya wish melalui iPad yang dihadiahkan kepada saya, tiba-tiba nampak muka papa setelah sekian lama tak tengok dia. Saya terus nangis sebab dah lama rindu sangat dekat papa.



Yura bersama suaminya.

"Saya macam tak percaya bila tengok papa dalam video tu. Lagi sebak bila tengok papa pula nyanyi lagu Sweet Child of Mine. Tu lagu favourite papa selalu karaoke dengan saya. Setiap kali dengar lagu tu lagi la buat saya teringat dekat dia.

"Saya terharu dengan effort suami. Masa kahwin pun guna wali hakim sebab Covid-19, papa tak boleh rentas negeri pula. Jadi papa memang tak pernah langsung jumpa suami saya," ujarnya lagi.

Menurut anak kelahiran Singapura yang kini menetap di Pasir Gudang, Johor ini, mendapat pasangan yang kebetulan memiliki persamaan dengan bapanya membuatkan kerinduan terhadap insan kesayangannya itu semakin kuat.

Saya sedih bila ingat situasi saya ni dah cukup teruk.

YURA

Jelas Yura, suaminya yang bekerja di Jabatan Imigresen Johor Bahru, Johor ini, memilik hobi yang sama dengan bapanya iaitu mengumpul permainan kartun Marvel.

"Tak sangka pula minat papa dengan suami sama. Sekarang suami sendiri pula suka tengok movie dan kumpul action figure hero-hero Marvel. Memang sama sangat minat dua orang ini," tambahnya.

Bercerita mengenai video yang menjadi tular sehingga meraih lebih dua juta tontonan, dia berasa sedih dan gembira pada masa yang sama.

Rata-rata netizen pada ruangan komen video Tiktok miliknya turut berkongsi pengalaman mereka yang lebih menyedihkan.



Wanita ini bekerja sendiri dengan menjual pencuci mulut berasaskan buah pic.

"Saya happy video tu blow up, jadi bapa-bapa dekat luar sana boleh tahu kalau anak-anak mereka rasa macam mana kalau duduk tempat saya. Saya sedih bila ingat situasi saya ni dah cukup teruk, rupanya ramai lagi yang alami pengalaman lebih teruk daripada saya.

"Anak-anak sangat perlukan kasih sayang seorang bapa even dah besar mana pun. Walaupun orang cakap dah besar buat apa nak rindu papa tapi bagi saya, macam mana pun kita tetap perlukan perhatian daripada mereka juga sampai bila bila.

"Apatah lagi bapa kita ni merupakan 'superhero' yang jaga kita dari kecil. Mereka juga sebenarnya 'first love' kita sebelum kita jumpa dan kenal lelaki lain dalam hidup," jelas Yura.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain