suria

Eksperimen bisnes tiga pelajar IPT di kampung mereka menjadi! Jual pisang goreng cheese, laptop ‘wajib’ ada di gerai

Tiga sahabat ini mula menjalankan perniagaan pisang goreng cheese sejak Ogos tahun lalu.

SELAIN banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar, pandemik Covid-19 turut menyebabkan ramai individu kehilangan pekerjaan mereka.

Namun, situasi berbeza bagi tiga pelajar universiti ini apabila mereka memanfaatkan masa terluang sejak tahun lalu dengan menjalankan perniagaan pisang goreng cheese yang dikenali sebagai Pishangking di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Muhammad Haiqal Hakimi Yusri, Shaidil Haq Ahamad Pakhrurazi dan Nik Muhammad Asyran Nik Mazri, masing-masing berusia 22 tahun mula bersahabat sejak berusia 14 tahun dan kini menyambung pengajian dalam bidang berlainan di tiga universiti berbeza.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah jual bubur tepi tangga kampus, pelajar IPT ‘otak bisnes’ puas hati dapat beli kereta idaman hasil berniaga air dengan kekasih

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar matrikulasi ‘otak bisnes’ bangga ada produk sendiri! Dulu kantoi simpan duit jualan dalam poket seluar, dimarahi guru sebab jual nasi lemak

Mewakili trio itu, jejaka yang mesra disapa Haiqal memperincikan kisah perjalanan mereka sebagai usahawan muda ketika dihubungi mStar.

"Saya belajar dalam bidang Perniagaan Tani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka. Asyran pula dalam bidang Seni Bina Dalaman di UiTM Puncak Alam, Selangor dan Shaidil belajar bidang Kejuruteraan Mekanikal di UiTM Shah Alam.

"Kami mula berniaga pada Ogos tahun lepas. Kami bermula di Dataran Mara, Kota Bharu. Selepas itu operasi perniagaan waktu malam tak dapat dijalankan, jadi kami beralih ke gerai tepi jalan di Pengkalan Chepa.

"Shaidil yang keluarkan idea untuk berniaga. Jadi kami mula buat eksperimen, tengok apa yang orang Kelantan suka. Alhamdulillah sekarang pisang goreng kami ada 13 perisa. Paling laris perisa coklat, Nutella dan karamel," ujarnya.

Menurut Haiqal, bukan mudah untuk mereka bertiga menjalankan perniagaan gerai di tepi jalan, dengan kebimbangan utama tentunya cabaran cuaca.

pishangking1

Tiga sahabat ini saling mengenali sejak mereka berusia 14 tahun.

Malah katanya, dia juga berasa kekok pada peringkat awal, namun menganggap perniagaan itu sebagai satu proses pembelajaran buat dirinya.

"Kami hanya berniaga tepi jalan, belakang gerai ada khemah saja. Kalau hujan lebat dan angin kencang, memang kami akan basah.

Bawa laptop ke gerai untuk buat assignment adalah benda biasa.

HAIQAL

"Masa awal-awal kami berniaga, memang struggle sebab orang takut nak keluar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tambahan pula kami buka di tempat baharu.

"Masa pertama kali berniaga di Dataran Mara, ada timbul rasa segan. Tapi lama-lama kami dah terbiasa berurusan dengan pelanggan, kami makin seronok. Dapat pengalaman jumpa pelbagai jenis orang," ujarnya.

Menurut Haiqal lagi, dia dan dua sahabatnya perlu bijak menguruskan masa memandangkan mereka turut diberi pelbagai tugasan oleh pensyarah universiti masing-masing.

"Kami kena bahagikan masa sebaiknya. Kalau sesiapa ada peperiksaan online, yang lain kena tolong cover.

pishangking4

Pisang goreng cheese air tangan tiga jejaka itu.

"Bawa laptop ke gerai untuk buat assignment adalah benda biasa. Itu antara pengorbanan yang kami lakukan," jelasnya.

Kini, usaha tiga sahabat dari SMK Ismail Petra itu bagaikan membuahkan hasil apabila video bisnes Pishangking tular di TikTok sehingga membawa pelanggan-pelanggan baharu buat mereka.

"Beberapa hari lalu video kami tular di TikTok, ramai yang datang, mereka kata kenal kami melalui TikTok. Ramai juga yang kongsi di Instagram masing-masing.

pishangking2

Mereka memulakan perniagaan pada tahun lalu.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang bagi doa walaupun kita tak mengenali antara satu sama lain. Ramai yang bagi sokongan," ujarnya.

Selain Haiqal, Shaidil dan Asyran, mereka turut membuka peluang kerja kepada dua lagi rakan yang lain iaitu Muhammad Za'im Imadi Asri dan Muhammad Khairul Anas Khaidir sebagai rider bagi khidmat penghantaran makanan.

Tambah Haiqal lagi, perniagaan itu mungkin akan diuruskan oleh ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat selepas mereka kembali ke kampus masing-masing apabila situasi pandemik mula reda di negara ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain