suria

Usia cecah 21 tahun, 2 Lidiya buatkan Najmi mudah dijaga... kini si ibu berdepan dugaan, mahu kuat demi keluarga - “Terpaksa buang payudara"

Najmi tenang menerima vaksin dan tidak tantrum.

SEORANG Ibu berasa lega apabila urusan vaksinasi untuk anaknya yang didiagnosis menghidapi autisme (non verbal & severe) berjalan lancar.

Perkara ini telah dikongsi sendiri oleh Hanizam Hamzah menerusi Facebook Autisme Malaysia di mana dia dan suami, Karim Mohamed, 51 membawa anak istimewa mereka itu untuk mendapatkan suntikan vaksin baru-baru ini.

Menurut Hanizam, 51, pada awalnya dia agak khuatir anak istimewanya Ahamad Khairunnajmi Karim atau lebih mesra disapa Najmi, 21, tidak mahu memberi kerjasama kepada petugas, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

ARTIKEL BERKAITAN:Tujuh tahun berlalu, suatu malam anak autisme ajak ibu saudara ke kubur ibunya hanya untuk peluk nisan - “Kenapa umi meninggal?”

ARTIKEL BERKAITAN:Bukan pelik tapi realiti... Saat hampir tantrum, Lidiya Janura jadi penenang pemuda autisme - “Penghinaan terhadap Najmi 19 tahun lalu buat kami kuat”

"Pada awalnya saya agak bimbang untuk bawa Najmi ke pusat vaksin. Sebelum ini jika bawa dia ke hospital pun Najmi akan mengamuk kerana dia takutkan doktor dan jururawat.

"Najmi tidak boleh bercakap, jadi jika dia mahu memberitahu apa-apa dia akan tunjuk sahaja dan jika dia tidak sukakan sesuatu, dia akan mengamuk.

"Namun, ketika hari vaksinasi, saya lihat Najmi tenang sahaja sambil memegang temannya, Lidiya Sapura (lidi penyapu) semasa di dalam kereta. Lega saya Najmi tak banyak ragam pada hari tersebut," cerita Hanizam kepada mStar.

Sebelum ini, mStar pernah melaporkan kisah unik pelakuan Najmi yang begitu 'rapat' dengan Lidiya Sapura dan Lidya Janura, seolah-olah kedua-dua lidi penyapu itu teman baiknya.

“Awalnya saya takut kalau Najmi meronta. Sebelum masuk ke Setia City Convention Centre di Shah Alam untuk divaksinasi, saya sempat berpesan kepadanya mengenai tujuan ke situ dan dia hanya mengangguk.

"Saya juga minta dia tinggalkan Lidiya Sapura di dalam kereta kerana kami mahu masuk ke tempat terbuka. Tanpa banyak soal Najmi pun tinggalkan lidi tersebut,

"Semasa divaksin, Najmi hanya diam dan tidak takut kepada doktor dan petugas di tempat vaksin tersebut. Semuanya baik-baik sahaja. Cuma selepas dicucuk saya lihat Najmi menggaru-garu di tempat cucuk tersebut," kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Malahan, katanya sewaktu hendak pulang, Najmi sempat bermain dengan doktor dan petugas lain, seolah-olah gembira dapat keluar kerana terlalu lama di rumah.

au 1

Najmi tidak meragam semasa disuntik, malah gembira memasuki pusat vaksinasi bersama ibu bapanya.

Hanizam turut membuka cerita tentang Lidiya Sapura iaitu penyapu lidi yang ‘dijaga’ oleh Najmi dan akan dibawa ke mana-mana sahaja.

"Kisahnya bermula enam tahun lepas. Najmi sangat obses dengan penyapu lidi. Dia hanya sukakan lidi sawit sahaja sebab itu kami namakan lidi tersebut Lidiya Sapura (lidi sapu).

"Ada satu peristiwa ketika raya haji, saya sedang menganyam ketupat. Najmi minat betul dengan lidi daun kelapa muda tu. Dalam bahasa jawa, orang panggil daun kelapa muda sebagai janur. Jadi kami namakan lidi tersebut Lidiya Janura. Dua lidi inilah yang jadi teman sejati Najmi sampai hari ini," cerita Hasnizam.

Kedua-dua lidi ini juga menjadi 'ubat penenang' untuk anak ketiga itu ketika dalam keadaan tidak tenteram.

"Najmi akan membelai lidi tersebut jika berada dalam keadaan anxiety dan tantrum.

"Jika perlu bawa kedua lidi ini semasa berada di luar, saya dan suami akan bawa juga untuk pastikan Najmi berada dalam keadaan yang baik. Ada juga mata yang memandang pelik, tetapi saya tak kisah," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ditanya tentang cabaran menjaga anak autisme semasa pandemik, Hanizam sekeluarga yang menetap di Puchong, Selangor menjelaskan dia sememangnya tidak berasa terbeban kerana Najmi merupakan anak yang baik.

“Najmi seorang yang kemas, dia tidak boleh nampak jika barang bersepah di rumah. Dia akan segera susun dan letak di tempat yang asal. Jika dia nampak suis lampu terbuka dan tiada orang di situ dia akan segera tutup.

"Walaupun Najmi tidak boleh bercakap, dia faham apa yang saya dan ahli keluarga lain katakan. Dia tak banyak ragam dan senang dijaga. Cuma apabila tantrum datang, kami hanya perlu tenangkan Najmi dengan 'teman baiknya' itu,

au 2

Najmi bersama Lidiya Sapura yang akan dibawanya ke mana sahaja.

“Najmi juga sangat rapat dengan adik dan kakaknya, mereka melayan Najmi dengan baik. Dia bukanlah seorang yang suka mendatangkan masalah,” ujarnya.

Bagaimanapun, ketika sibuk memberikan perhatian dan menjaga putera kesayangannya itu, baru-baru ini Hanizam yang merupakan seorang tukang jahit telah menerima berita yang mengejutkan diri dan keluarganya.

Awal bulan April baru-baru ini, saya telah disahkan menghidap kanser payudara. Saya tak sedar pun sebenarnya. Selepas diperiksa, rupa-rupanya kanser saya sudah berada pada tahap 3.

HANIZAM

IBU

“Pada awalnya ketumbuhan itu hanyalah ketulan sebesar kacang sahaja lama-kelamaan ia membesar menjadi sebesar telur burung puyuh. Terlalu cepat kanser ini merebak. Saya terpaksa membuang kedua belah payudara saya dalam masa terdekat,” cerita Hanizam dalam nada tenang.

Seperti tiada apa yang berlaku, Hanizam positif memberitahu dia sedaya upaya tidak mahu bersedih kerana menganggap apa yang berlaku ada hikmahnya.

“Jujurnya tipulah jika tidak sedih. Tapi saya tidak mahu berada dalam keadaan sedih terlalu lama. Saya masih ada anak-anak yang memerlukan saya terutamanya Najmi. Saya tak pernah menganggap diri saya sakit atau saya mempunyai kekurangan. Pada saya ini adalah ujian,” cerita Hanizam.

Tambah Hanizam, dia juga tidak mahu meminta simpati dan hanya sekadar ingin berkongsi kisah tentang diri dan anaknya Najmi.

“Saya mahu dilayan normal seperti orang lain. Walalupun sesekali saya akan berasa sedih, cepat-cepat saya lawan perasaan itu. Emosi juga boleh bawa pengaruh kepada penyakit saya.

“Saya akan kuat demi Najmi,” ujar Hanizam menutup kata.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain