suria

Sayu tengok video peniaga OKU ucap terima kasih kepada pelanggan, pernah dirompak atas kerusi roda - “Berdiri pun tak mampu, macam mana nak kejar”

Tokmi bersyukur selepas videonya tular di Twitter, tempahan sambal ikan bilisnya semakin bertambah.

BERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Memiliki keupayaan yang terbatas tidak menghalang lelaki ini mencari rezeki halal bagi menampung kehidupannya seharian.

Tidak mahu hanya bergantung kepada bantuan RM500 yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan, Azmi Abu tidak pernah patah semangat dalam usahanya mencari rezeki.

Baru-baru ini tular sebuah video di Twitter menunjukkan Azmi atau lebih senang disapa Tokmi memberi ucapan terima kasih kepada pelanggan atas kesudian mereka membeli produk makanan yang diusahakannya. Ciapan tersebut telah menarik perhatian ramai dengan hampir 300.000 tontonan dan mendapat hampir 20,000 retweet.

ARTIKEL BERKAITAN:Pakcik OKU teringin beli kipas angin, tapi tak cukup duit... apa yang berlaku selepas itu memang tak disangka - “Ya Allah, pertemukan anak ini dengan lelaki baik”

ARTIKEL BERKAITAN:‘Jalan terus’ walau mata tak nampak! Pasangan OKU hilang kerja tetap raih RM12, 000 seminggu jual sambal hitam - “Mula berniaga cuma terjual satu, dua pek”

Ketika dihubungi mStar untuk ditemubual, Tokmi pada awalnya menolak dengan baik.

“Tak layak rasanya saya ditemubual. Saya ni bukan siapa-siapa," jawabnya.

Melihat sokongan moral yang diberikan oleh warganet terhadap Tokmi jelas membuktikan bahawa lelaki berusia 50 tahun ini adalah seorang insan luar biasa dan mampu memberi inspirasi kepada semua.

Tokmi merupakan orang kurang upaya (OKU) sejak kecil lagi. Cerita Tokmi, dia mengalami kecacatan anggota badan akibat demam panas.

tok1

Banyak dugaan yang dilalui oleh Tokmi sepanjang berniaga sendirian di tengah kota raya Kuala Lumpur.

“Saya mengalami kecacatan anggota badan sejak lahir. Waktu itu saya demam panas. Selepas itu terus jadi begini," jelas Tokmi.

Menurut Tokmi, dia mencari rezeki dengan menjadi peniaga bermula 10 tahun yang lepas dengan membuat jualan secara kecil-kecilan.

“Saya pernah jual kerepek atau makanan ringan. Baru-baru ini saja saya mula jual sambal ikan bilis dan jeruk. Sambal ikan bilis saya jual dengan harga RM10 dan saya masak sendiri, kadangkala dibantu oleh adik saya Norhayati. yang berumur 45 tahun Jeruk pula saya akan bungkus kecil-kecil sebelum dijual,

“Sebelum PKP dulu saya berniaga bersendirian atas kerusi roda dan menjual di beberapa kawasan seperti Pasar Seni, Jalan Tun Abdul Razak atau Petaling Street. Kadang-kadang adik saya yang akan hantar saya ke sana, jika adik tak dapat hantar saya akan naik teksi sahaja,

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

“Selalunya jika keluar pada waktu pagi, saya akan pulang pada waktu malam, Ini yang mampu saya lakukan bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga di rumah ini,” cerita Tokmi yang kini menetap bertiga bersama adik dan anak buahnya di Kepong.

Bercerita tentang keuntungan yang dimilikinya dengan menjual sambal ikan bilis dan jeruk, Tokmi berkata sebelum ini hasilnya tidak berapa memberangsangkan sehinggalah videonya menjadi tular di laman Twitter sejak Isnin.

“Sebelum ni dalam masa sehari dapatlah jual lima atau enam balang sahaja. Ada juga hari yang saya tak dapat jual walau sebalang. Namun sejak viral di Twitter, Alhamdulillah tempahan tak pernah putus. Rasa bersyukur sangat,

tok3

Kini, Tokmi hanya menjual sambal ikan bilis dan jeruk bagi meneruskan kehidupannya.

“Nasib baik anak buah banyak membantu menguruskan media sosial saya bagi tujuan untuk mempromosikan makanan jualan kami. Selalunya saya akan beritahu apa yang ingin saya sampaikan melalui media sosial dan dia akan tolong,” ujar Tokmi.

Ditanya mengenai pengalamannya semasa berniaga di luar, Tokmi berkata ada beberapa kisah yang masih segar dalam ingatannya sehingga ke hari ini.

“Saya ingat lagi satu peristiwa malang ini. Ketika itu saya sedang berniaga atas kerusi roda, saya tak mampu berdiri. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang menyerang saya sehingga terjatuh,

“Habis semua makanan jualan dan duit saya diambil ketika itu. Saya tak mampu nak berdiri namun nasib baik ada orang awam yang datang tolong saya. Mereka angkat saya dan beri duit tambang teksi untuk pulang,” imbas Tokmi.

Ada juga jenis manusia yang ambil barang jualan saya dan terus lari tanpa bayar. Macam mana saya nak kejar, saya tak mampu.

AZMI ABU

PENIAGA OKU

“Saya juga pernah minta tolong satu pihak ni untuk dapatkan kedai atas tujuan memudahkan saya dan adik menguruskan makanan. Tetapi dengan sinisnya pihak itu beritahu jika saya tak ada RM10,000 di tangan, jangan pernah bermimpi nak berniaga di kedai, Sampai hati saya diperlakukan seperti itu,” cerita Tokmi sebak.

Namun setiap peristiwa yang dialui oleh Tokmi tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus mencari rezeki.

“Alhamdulillah sekarang zaman moden, lebih banyak platform untuk berniaga secara online sahaja, jadi saya tidak perlu susah-susah keluar berniaga lagi. Lagipun sekarang keadaan agak bahaya di luar,

“Saya akan terus berniaga kerana inilah punca mata pencarian saya. Walaupun saya sering dihina dan dilabel tidak mampu melakukan apa-apa, saya akan buktikan bahawa saya adalah sebaliknya. Lagipun saya bukan minta sedekah, saya seorang peniaga," kata Tokmi.

Tokmi juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada warganet yang sudi membeli sambal garing dan jeruk yang dijualnya. Dia amat menghargai sokongan semua pihak terhadapnya.

“Terima kasih kerana membeli makanan daripada saya, semoga Allah membalas jasa kalian,

“Saya akan terus berusaha untuk mencari rezeki yang halal. Apa yang penting saya tidak akan pernah meminta-minta," ujar Tokmi bersemangat.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak