suria

Sekian lama mengaku namanya Alish, pemuda ini tinggalkan dunia pondan selepas berdepan saat cemas - “Memang nak cuba ada kekasih, tapi...”

Kini Amin lebih tenang dan bahagia selepas kembali kepada fitrah asal sebagai seorang lelaki.

SETIAP orang mempunyai kisah silam tersendiri. Tidak kiralah besar atau kecil kisah silam itu, apa yang penting kemahuan untuk memperbaiki diri dan tidak mengulanginya lagi.

Ini yang berlaku kepada seorang pemuda yang kini menyedari tindakannya menukar dirinya menjadi perempuan adalah satu tindakan yang tidak wajar malah dilarang agama.

Mengakui segalanya bermula sejak dia kecil, Nik Mohd Amin bersyukur kerana dia tidak terus hanyut dengan dunia penuh dosa dan cepat sedar akan fitrah dirinya yang dilahirkan sebagai lelaki sejati.

Mesra disapa sebagai Amin, pemuda ini tanpa silu dan secara terbuka menceritakan kisah transformasinya ketika menjadi 'pondan' ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN:“Menyesal jadi pengkid dulu, buang masa...” - Pengakuan jujur ‘tomboi jelita’

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu Nyah Kini Daie


"Saya tak segan nak cerita sebab saya betul-betul dah berhijrah. Sekarang, sudah dua tahun saya tinggalkan 'dunia' itu.

"Ada yang kecam bila muat naik video saya berhijrah di TikTok dan ada juga yang memberi semangat, saya ambill yang baik sahaja.





"Cukuplah dengan dosa yang saya lakukan, tak sanggup lagi nak hidup dalam keadaan macam tu," cerita pemuda yang berusia 22 tahun ini.

Menurut Amin yang berasal dari Tumpat, Kelantan, naluri untuk menjadi seorang perempuan telah wujud sewaktu dia kecil lagi apabila kakak-kakanya gemar memakaikannya dengan barangan wanita.

t3

Gambar terkini Amin (kiri) dan gambar Amin semasa berpenampilan seperti wanita (kanan).

"Sejak kecil, kakak-kakak saya gemar memakaikan saya dengan pakaian dan aksesori wanita. Masa tu mereka pakaikan saya tudung, alat solek dan baju-baju perempuan. Ketika itu saya terlalu kecil dan tak mengerti apa-apa lagi,

"Bila sudah mula bersekolah, naluri saya untuk menjadi perempuan semakin menebal. Saya dah tak kisah nak pakai baju perempuan walaupun sering dihina, dipandang serong ketika di sekolah. Larangan keluarga pun saya tak peduli, degil betul saya waktu itu,

"Sampai satu tahap, saya tak malu langsung untuk mengaku diri saya seorang perempuan dan menukar nama kepada Alish," cerita Amin dalam nada kesal.

Kebal dengan segala cacian yang diterima ketika itu, dia tetap memilih untuk berkelakuan seperti wanita dan bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai naluri yang sama sepertinya.

Malah, jejaka ini juga pernah membuat percubaan untuk menukar jantina dan menjadi individu transgender,

"Semasa sekolah menengah saya memang betul-betul tukar diri saya kepada wanita. Saya pakai tudung, bersolek, pakai pakaian wanita dan berkelakuan seperti wanita. Saya tidak malu mengaku saya ni transgender.

t4

Amin akan terus menjalankan perniagaannya menjual barangan kosmetik.

"Sampai satu tahap saya ambil pil hormon dengan niat untuk membesarkan payudara. Tindakan drastik ini pun atas pengaruh rakan-rakan juga.

"Bila dah ambil pil hormon, payudara saya semakin membesar dan kulit wajah saya pun bertukar seperti wanita. Saya juga memang ada niat nak operate bahagian bawah tapi belum cukup duit ketika itu,

"Namun saya bersyukur kerana Allah jentik hati saya terlebih awal sebelum saya mengambil tindakan yang lebih jauh," ujar Amin.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ditanya tentang keputusannya meninggalkan sepenuhnya dunia pondan tersebut, ujar Amin, semuanya bermula apabila dia mengetahui ibunya jatuh sakit.

"Ketika berumur 20 tahun, saya mendapat tahu ibu pengsan secara tiba-tiba dan ketika itu saya takut sekiranya tidak dapat meminta keampunan jika terjadi apa-apa kepadanya.

"Ketika itu keluarga kata ibu sakit disebabkan saya. Ibu memang sakit darah tinggi dan tak boleh terlalu tertekan. Keadaan itu menyebabkan dia akan rebah dan tak sedarkan diri.

"Ibu mahu sangat saya kembali kepada fitrah asal dan saya sangat kesal kerana mengecewakan keluarga. Dari situ saya sedar bahawa ibu langsung tidak inginkan saya berkelakuan seperti wanita.

"Saat itu saya berubah perlahan-lahan. Jujurnya, perubahan yang saya lakukan sangatlah menyiksakan lebih-lebih lagi saya memang sudah terlalu lama terperangkap dalam naluri wanita.

"Ada satu masa saya rasa tak kuat dan mahu kembali ke jalan lama, tetapi apabila memikirkan ibu dan saya tidak mahu menconteng arang ke muka keluarga lagi, saya kuatkan diri sehingga hari ini," ujar Amin yang kini sudah berubah sepenuhnya menjadi lelaki normal sejak dua tahun lalu.

Imbau Amin, antara sebab lain mengapa dia memilih untuk berubah adalah kerana tidak mahu keluarganya turut sama menerima tempias dihina oleh masyarakat.

"Saya memang biasa kena hina, kira dah terlalu lali. Tetapi apabila nama keluarga juga terpalit sama, saya jadi serba salah. Lebih-lebih lagi ada yang pernah kata saya merosakkan imej agama Islam, nampak sangat jauh benar tindakan saya dulu.

Kini selepas dua tahun saya dah semakin kuat, saya bahagia jadi diri saya yang sekarang,

AMIN

PENIAGA BARANG KOSMETIK



Amin bersyukur walaupun masih ada yang menghina masa lalunya, tetapi tidak kurang juga yang menerima perubahan dirinya dengan baik.

"Saya masih lagi berhubung dengan kawan-kawan ‘dunia’ dahulu dan sekarang pun saya dah ada kawan lelaki. Ada juga yang bertanya, bila dah bertukar jadi lelaki ini, tiada keinginan ke untuk memiliki teman wanita,

"Jujurnya memang mahu cuba ada kekasih. Tapi, ada ke yang mahu terima diri saya ni?" kata Amin sambil ketawa.

Pesan Amin yang kini bekerja sendiri sebagai seorang peniaga barangan kosmetik, jika ada niat untuk mengubah fitrah diri, fikir terlebih dahulu sebelum menyesal di kemudian hari.

"Tak perlulah tukar. Belajar terima fitrah diri kita. Ubahlah macam-macam, kita tetap tidak akan dapat mengubah hakikat, kita cuma menipu diri sendiri sahaja," ujarnya menutup perbualan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain