suria

Bukan pelik tapi realiti... Saat hampir tantrum, Lidiya Janura jadi penenang pemuda autisme - “Penghinaan terhadap Najmi 19 tahun lalu buat kami kuat”

Lidiya Janura sentiasa setia menemani Najmi di sisi walau di mana jua pemuda itu berada.

KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.

Pepatah tersebut sesuai untuk menggambarkan situasi pasangan suami isteri ini yang sabar melayani karenah anak teruna mereka dengan penuh kasih sayang.

Tidak seperti insan lain, anak lelaki pasangan ini yang bernama Ahmad Khairunnajmi Karim merupakan seorang insan istimewa yang didiagnosis menghidap autisme (non-verbal & severe).

ARTIKEL BERKAITAN: Pelukis autistik batal hasrat berhijrah, Dr Noor Hisham sebabnya... potret pada cawan Starbucks tanda penghargaan – “Siapa lagi kalau bukan kita bangunkan negara”

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh tahun berlalu, suatu malam anak autisme ajak ibu saudara ke kubur ibunya hanya untuk peluk nisan - “Kenapa umi meninggal?”

Menerusi coretan di Facebook Autisme Malaysia, wanita bernama Hanizam Hamzah baru-baru berkongsi kisah meruntun jiwa, sekaligus memberi mesej pentingnya menjaga anak syurga yang diamanahkan Allah.

Menurut Hanizam, anaknya yang senang disapa sebagai Najmi menjalani pembedahan untuk mencabut dan menampal giginya yang mulai rosak pada 4 Ogos lalu.

Beberapa hari sebelum pembedahan, Najmi perlu melalui beberapa prosedur untuk memastikan tahap kesihatannya dalam keadaan yang baik, khususnya berkaitan prosedur bius.



Lidiya Janura yang dibawa bersama untuk menemani Najmi ketika menjalani prosedur pembedahan gigi, minggu lalu.

"Di sini akak sangat terharu bila doktor bertanya 'Siapakah yang akan menemani Najmi di dalam dewan bedah nanti?'

"Suami menjawab 'saya pun boleh, doktor'. Lalu doktor berkata 'saya memang mengharapkan kekuatan fizikal seorang lelaki namun saya lebih memerlukan kekuatan hati seorang ibu untuk menundukkan Najmis dalam bilik bedah'.

"Sungguh, kata-kata itu buat akak terharu. Usai perbincangan, ketika berpaling membelakangi doktor untuk meninggalkan biliknya tiba-tiba airmata mengalir laju. Terharunya hati seorang ibu ini," katanya.

Lidiya Janura, Lidiya Sapura sahabat karib Najmi

Ketika tiba hari yang dijadualkan, Najmi mulai gelisah dan mula menunjukkan simptom tantrum apabila melihat jururawat berpakaian seragam putih lalu lalang di hadapannya.

Terlalu masak dengan setiap tingkah laku Najmi, Hanizam pantas mengeluarkan 'senjata' untuk menenangkan anaknya itu sebelum situasi yang tidak terkawal berlaku.



Lidiya Janura menjadi ubat penenang di kala Najmi mula berasa tidak tenteram apabila melihat jururawat lalu lalang ketika di hospital.

"Di sinilah peranan Lidiya Janura bermula. Sebaik saja akak keluarkan cinta hatinya itu dari dalam beg, Najmi terus tersenyum riang.

"Dia terus ambil Lidiya Janura lantas dibelai-belainya dengan tenang. Banyak mata yang memandang. Masing-masing ada persepsi sendiri. Terpulanglah atas apa yang mereka fikirkan. Yang penting Najmi tenang," cerita Hanizam mengenai anak ketiganya itu.

Lidiya Janura yang bertindak sebagai 'ubat penenang' Najmi adalah penyapu lidi yang menjadi sahabat karib pemuda berusia 20 tahun itu sejak lima tahun lalu.

Sayangi dan fahami anak syurga ini sedaya mungkin. Mereka adalah amanah dan anugerah terindah dari Allah untuk kedua ibu bapanya. Jangan sesekali sia-siakan hidup mereka.

HANIZAM HAMZAH

IBU

"Najmi ni obses penyapu. Dulu akak belikan dia penyapu lidi sawit aje. Tu yang namanya lidiya sapura (lidi sapu).

"Masa raya haji lepas akak anyam ketupat. Najmi minat sangat dengan lidi daun kelapa muda tu. Dalam bahasa Jawa, daun kelapa muda orang panggil Janur. Sebab tu akak bubuh nama Lidiya Janura," ujarnya bercerita lanjut mengenai asal usul 'sahabat baik' anaknya.

Tiga jam berada di dalam dewan bedah, Najmi akhirnya disorong keluar ke wad.



Dua sahabat karib Najmi, Lidiya Janura dan Lidiya Sapura.

"Setelah Najmi mulai sedar, dia ditolak ke dalam Wad Daycare semula. Proses pemulihan pun berlangsung. Najmi boleh mula minum. Beberapa jam kemudian boleh pula makan makanan yang lembut.

"Sepanjang proses tersebut, Lidiya Janura sentiasa ada di sisinya. Kalau kita tak bawa pun Najmi taklah mengamuk tapi bila terjadi tiba-tiba isu yang boleh menyebabkan dia bingung, risau atau takut, tak ada benda yang boleh tenangkan dia," cerita ibu kepada empat cahaya mata ini.

Sayangi anak syurga amanah Allah

Hanizam berkata keadaan Najmi semakin pulih memasuki hari kelima selepas pembedahan.

"Alhamdulillah... dah boleh makan dengan berhati-hati semasa mengunyah," katanya.



Keadaan Najmi kini beransur pulih selepas hampir seminggu menjalani pembedahan gigi.

Ditanya apakah yang menjadi kekuatannya bersama suami selama ini, Hanizam berkongsi satu peristiwa yang tidak mungkin dilupakannya.

"Sebenarnya, penghinaan seseorang terhadap Najmi lebih kurang 19 tahun lepas buat kami jadi kuat dan tegar semangat,"ujarnya ringkas.

Berkongsi lebih lanjut, Hanizam berkata coretannya hanya sekadar perkongsian pengalaman selain menekankan betapa pentingnya untuk menjaga amanah yang dikurniakan Allah.

"Sayangi dan fahami anak syurga ini sedaya mungkin. Mereka adalah amanah dan anugerah terindah dari Allah untuk kedua ibu bapanya. Jangan sesekali sia-siakan hidup mereka," ujarnya menutup bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain