suria

Asyik ulang alik hospital, tak tahan lihat ibu sakit kepala... kali ke-3 baru tahu hidap brain tumor - “Mak aktif, tak boleh duduk diam”

Sai berkongsi kisah ibunya yang kini sedang terlantar tidak sedarkan diri selepas pembedahan membuang tumor pada otak.

MELIHAT keadaan ibunya yang hanya terlantar lesu dan masih belum sedarkan diri, membuatkan hati wanita ini terlalu hiba dan sebak.

Ibu yang sebelum ini aktif dan lincah, kini tidak lagi mampu bergerak selepas disahkan menghidap tumor di bahagian otak, baru-baru ini.

Mengimbas kembali saat menerima berita duka yang menyentak seluruh keluarganya, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Sai ini berkata segala-galanya bermula pada 24 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak ada siapa bawa, mak pergi sendiri naik bas pun tak apa” - Tragedi lorong kecemasan! Orkid Cameron Highland tinggal kenangan kerana pemandu treler mengantuk

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita derita kanser lidah pergi jua... sempat tulis pesanan terakhir buat 5 anak

"Sebenarnya, beberapa minggu sebelumnya, mak ada beberapa kali mengadu sakit kepala. Memang keadaan mak masa itu nampak lemah dan tak aktif seperti selalu.

"Bila pergi klinik, doktor hanya kata ia tak ada apa-apa. Jadi kita pun ingat mungkin migrain saja.

"Hinggalah 24 Julai baru-baru ini, mak rebah seorang diri di rumah. Ayah (tiri) dan saya kerja. Kejadian hanya disedari jiran.



Ibu Sai disahkan menghidap brain tumor dan sudah menjalani pembedahan membuang tumor pada 5 Ogos lalu.

"Kami bawa pergi hospital terdekat di daerah ini, namun doktor beritahu kandungan garam di bahagian buah pinggangnya terlalu tinggi. Kita pun ikut saja kata doktor sebab tak tahu hal-hal perubatan," ceritanya kepada mStar.

Wanita berusia 26 tahun ini berkata, ibunya, Nor Iza Sarip, tidak ditahan di wad dan dibenarkan pulang ke rumah.

"Pukul 7 petang hari yang sama, mak pengsan malah siap muntah. Ini mesti ada sesuatu yang tak kena. Kami bawa ke hospital lain dan cerita dari A hingga Z. Hospital tu terus rujuk mak ke Hospital Temerloh.

"Di situlah baru tahu, penyakit yang mak deritai selama ini adalah brain tumor. Keesokannya, mak terus dibawa ke hospital di Kuantan," ceritanya.



Berita duka yang dikhabarkan doktor mengenai penyakit ibunya benar-benar mengejutkan Sai dan adik beradiknya.

Berita yang dikhabarkan oleh doktor benar-benar mengejutkan mereka sekeluarga apatah lagi ibunya langsung tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini.

"Memang terkejut sangat. Penyakit ini hanya dapat dikesan baru-baru ini saja. Kita tahu kan mak macam mana, jenis aktif dan tak boleh duduk diam.

"Tapi tiba-tiba saja kita lihat dia terlantar... ia satu perasaan yang sangat berbeza. Ujian ini terlalu berat rasanya sebab datang tiba-tiba," ujar anak keempat daripada enam adik beradik ini.

Saya dah pernah rasa momen hilang ayah kandung lima tahun lepas akibat kanser paru-paru... iya, mati itu pasti tapi takut sangat kalau kena hadap kali kedua.

SAI

ANAK

Menjalani pembedahan membuang tumor pada 5 Ogos lalu, Sai berkata ibunya masih belum sedarkan diri dan ditempatkan di zon kritikal.

"Saya post di Twitter mengenai mak sebab ramai kawan-kawan yang bertanya keadaannya. Tapi tak sangka ia viral pula. Alhamdulillah, lebih ramai yang mendoakan mak kembali sembuh walaupun langsung tak kenal satu sama lain.

"Selain doa di ruangan komen, ada yang hantar mesej di Direct Message (DM) ceritakan pengalaman mereka. Kata-kata mereka sedikit sebanyak menguatkan semangat saya," ujarnya yang bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah di Pahang.



Posting Sai mengenai ibunya menjadi tular di Twitter, dengan ramai netizen mendoakan kesembuhan ibunya.

Mahu meluangkan lebih banyak masa bersama ibu, Sai berkata dia kini mengambil cuti kecemasan kerana mahu melakukan sendiri tugas menjaga insan kesayangannya.

Tiada lain yang diharapkan, Sai hanya mahu melihat ibunya kembali sembuh seperti sediakala.

"Saya dah pernah rasa momen hilang ayah kandung lima tahun lepas akibat kanser paru-paru... iya, mati itu pasti tapi takut sangat kalau kena hadap kali kedua.



Sai hanya mengharapkan ibunya kembali sembuh dan ceria seperti dulu.

"Sekarang ni fokus untuk buat yang terbaik untuk mak. Dulu kan mak buat semua perkara untuk anak, sekarang tiba pula giliran anak untuk lakukan tugas mak dulu.

"Buat yang lain, kalau ibu ayah kita sakit, cepatlah bawa pergi berubat. Kalau boleh ikut sekali, dengar penjelasan doktor barulah puas hati. Usah ambil remeh dengan kalau mereka mengadu sakit," katanya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
brain tumor, sakit kepala, hospital

Artikel Lain