“Kalau tak ada siapa bawa, mak pergi sendiri naik bas pun tak apa” - Tragedi lorong kecemasan! Orkid Cameron Highland tinggal kenangan kerana pemandu treler mengantuk

Nadia kehilangan ibu kesayangan dan kandungannya selepas kereta dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah treler ketika dalam perjalanan Cameron Highlands, Januari tahun lalu.

TANGGAL 5 Januari 2019 pasti tidak akan dilupakan oleh wanita ini sehingga bila-bila.

Pada tarikh tersebut, ibu kesayangannya menghembuskan nafas terakhir gara-gara kecuaian pemandu lain.

Bukan sahaja kehilangan ibu, wanita ini turut kehilangan bayi dalam kandungannya yang ketika itu berusia hampir empat bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukar fikiran minta anak sulung tangguh exam penting, pulang jumpa adik... tepat naluri ibu - “Dia seolah-olah menunggu bertemu saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu ingin tahu penyakit kanser yang meragut nyawa kakak, adik bongsu tekad dalami bidang perubatan– “Kelemahan saya jadikan kekuatan”

Berkongsi cerita dengan mStar, Nadia Fariha Taharuddin berkata, sungguhpun insiden hitam itu sudah lebih setahun berlalu, namun segala-galanya masih terlayar di depan mata sekali gus kegembiraannya direntap sekelip mata.

“Kami sekeluarga iaitu saya, suami, ibu, ibu mertua dan seorang adik ipar sedang dalam perjalanan dari Cheras ke Cameron Highland. Ini kerana ibu yang berhajat, dia teringin nak beli bunga orkid yang pernah dilihat ketika dia berkunjung ke sana sebelum ini.

Bayi yang berusia hampir empat bulan dalam kandungan gugur gara-gara kemalangan yang menimpa Nadia pada tahun lalu. 

“Pada mulanya, saya agak keberatan kerana ketika itu ibu masih belum sihat kerana demam. Tapi ibu tetap berkeinginan ke sana siap cakap ‘kalau tak ada siapa nak bawa, mak pergi sendiri naik bas pun tak apa’.

“Seminggu ibu demam dan tak ada selera makan. Sebelum bertolak ke Cameron, kami pergi ke kedai gambar untuk tangkap gambar visa umrah dulu. Pelik juga sebab ibu tak banyak cakap seperti selalu. Ketika singgah sebentar di stesen minyak di Jalan Duta, ibu hanya minta belikan asam dan air mineral. Itupun dia jamah sikit saja,” cerita wanita berusia 24 tahun ini.

Menurut Nadia, tidak berapa lama selepas mereka meneruskan perjalanan, kereta yang dinaiki tiba-tiba mengalami masalah enjin.

Ibu Nadia, Junaidah Baharum tidak dapat mengerjakan umrah yang sepatutnya dijadualkan pada akhir Januari 2019.

“Ketika itu di tepi lebuh raya berhampiran Rawang. Suami pun berhentikan kereta di lorong kecemasan. Suami dan ibu mertua keluar untuk periksa kereta, sementara kami bertiga di dalam. Pada ketika itulah sebuah treler merempuh kereta kami.

“Ketika itu saya sudah tidak sedarkan diri. Menurut suami, dia dan ibu mertua sempat melompat ke tepi longkang. Ibu saya pula sempat bangun dan berjalan ke arah suami, kemudian berbaring. Tidak lama selepas itu dia menghembuskan nafas terakhir di situ juga sebelum ambulans tiba,” ujarnya.

Menurut Nadia, pemandu treler berkenaan pada mulanya enggan mengaku dia memandu dalam keadaan mengantuk.

Sebelum bertolak ke Cameron, kami pergi ke kedai gambar untuk tangkap gambar visa umrah. Pelik juga sebab ibu tak banyak cakap seperti selalu.

NADIA FARIHA TAHARUDDIN

ANAK

“Bagaimanapun ada saksi memaklumkan treler itu dipandu dalam keadaan terhuyung hayang sebelum kejadian. Selepas diasak, barulah dia mengaku.

“Ibu hanya mengalami cedera di kaki akibat rempuhan itu. Tak pasti sama ada ibu terjatuh awal atau bagaimana ketika itu sebelum dia bangun dan sempat berjalan ke arah suami,” katanya.

Akibat rempuhan itu, Nadia mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Buah pinggang luka, paru-paru terpaksa ditebuk, tulang pinggul dan tulang rusuk retak dan kepala mengalami gegaran. Bayi dalam kandungan gugur selepas itu kerana saya perlu di x-ray dan dimasukkan morfin. Doktor terpaksa selamatkan ibu dahulu,” ceritanya.

Menurut Nadia yang masih menuntut dalam jurusan Pengurusan Perniagaan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta ini, dia berasa sedih kerana ibunya tidak dapat turut bersama mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

Kenangan Nadia bersama ibunya ketika tamat pengajian peringkat diploma.

“Ketika tiba di Makkah dari Madinah, saya uzur jadi tidak dapat bersama ahli keluarga dan jemaah lain mengerjakan ibadah umrah. Saya menangis sebab terlalu sedih. Malam itu saya bermimpi dan didatangi arwah ibu. Kehadirannya seolah-olah mahu memujuk saya. Alhamdulillah, keesokannya saya sudah tak uzur dan berpeluang menunaikan umrah,” katanya berkongsi memori tentang arwah ibunya.

Sungguhpun terkilan dengan kehilangan ibu akibat kecuaian orang lain, Nadia berkata dia terpaksa menerima hakikat tersebut walaupun ia pahit untuk ditelan, apatah lagi apabila mengenangkan dia amat rapat dengan wanita itu selepas bapanya meninggal dunia pada 2012.

“Saya anak bongsu, memang ke mana-mana pun dengan ibu selepas ayah tiada. Ibu sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk melihat saya mendirikan rumah tangga kerana bimbang masanya di dunia tidak lama. Alhamdulillah, saya dapat tunaikan hajatnya.

“Apa hajat ibu, saya sedaya upaya cuba tunaikan kerana takut masa untuk bersamanya tidak lama. Bagi mereka yang masih mempunyai ibu, hargailah mereka selagi mereka masih ada.

“Tidak lupa juga, bagi yang memandu, elakkanlah memandu ketika mengantuk. Jika mengantuk, berhentilah seketika. Takut kerana sikap kita, orang lain pula yang jadi mangsa,” ujarnya mengakhiri bicara.

Cameron Highland, treler, mengantuk, ibu, umrah

Artikel Berkaitan

Artikel Lain