suria

“Kereta tu dah pergi uncle...” - Sambil pegang kerepek, duit ada RM1, bapa terpinga-pinga ditinggalkan anak di tepi jalan

Posting mengenai seorang warga emas yang ditinggalkan anaknya sendiri tular di laman sosial.

UNGKAPAN 'seorang emak boleh menjaga 10 orang anak, namun belum tentu 10 orang anak dapat menjaga seorang emak' sememangnya tidak dapat disangkal.

Meskipun ia lebih menekankan kepada pengorbanan seorang ibu, ia sebenarnya sesuai juga dikaitkan dengan tanggungjawab seorang bapa. Jasa bapa sebagai seorang ketua keluarga tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja. 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak turunkan ibu di kedai bersama beg baju, alasannya nak pergi basuh kereta... esoknya dipanggil ke balai!

Bagaimanapun, di manakah rasionalnya pemikiran seorang anak apabila sanggup meninggalkan bapa sendiri terkontang kanting dalam cuaca panas terik? 

Hanya dibekalkan sebungkus kerepek dan wang bernilai RM1, lelaki warga emas yang nampak kurang sihat itu dilihat terpinga-pinga apabila ditinggalkan di tepi jalan, menerusi sebuah sebuah video tular yang menyayat hati. 

Perkongsian seorang pengguna Facebook mengenai warga emas ditinggalkan anak sendiri.

Menerusi posting gambar dan video yang dimuatnaik pengguna Facebook Norshuhada Shuib, dapat dilihat lelaki berkenaan sedang terpinga-pinga dan takut sambil menyedut segelas minuman.

Segalanya bermula apabila sebuah kereta berwarna kelabu meninggalkan pakcik bertongkat itu di depan rumah Norshuhada di Napoh, Jitra, Kedah sekitar jam 4.30 petang, Rabu.

"Kakak yang berniaga depan rumah menjadi saksi uncle ni ditinggalkan. Uncle tu ke hulu ke hilir cari anak dia.

"Dia jumpa kak dan tanya, ada jumpa kereta tadi tak? Kak cakap kereta tu dah pergi uncle. Uncle tu tanya lagi mana dia pergi? Uncle tu cakap tu anak dia, uncle terus jalan," tulis Norshuhada di Facebooknya.

Posting itu menerima lebih dari 150 tanda suka, 70 komen dan 100 perkongsian. Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib warga emas itu menerusi luahan di ruangan komen. 

"Sampai hati buat pak (bapa) sendiri macam ni. Semoga uncle cepat jumpa family dia.

"Sedihnya, gamak tinggalkan macam ni.

"Sedihnya, kesian tengok dia minum air. Nampak sangat letih tu," komen beberapa netizen. 

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib warga emas yang mendakwa ditinggalkan anaknya.

Menurut Norshuhada, setelah dimaklumkan oleh peniaga yang dipanggil 'kakak' itu, dia terus mengejar lelaki berkenaan yang sudah berjalan kira-kira 200 meter menaiki keretanya.

"Saya berhenti tanya nama apa semua, tinggal mana... semua tak ingat, kad pengenalan tak ada, anak simpan. Dalam kocek ada seringgit, lepas tu pegang plastik kerepek," tulisnya lagi.

Nurshuhada yang berasa simpati melihat warga emas itu keletihan terus membelikannya minuman sebelum menghantarnya di Balai Polis Jitra.

Ada sebuah kereta Wira atau Waja berwarna kelabu telah meninggalkan uncle ni depan rumah saya dalam keadaan seperti strok dan jalan menggunakan tongkat. 

NORSHUHADA SHUIB

Menurut Nurshuhada, agak sukar untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kerana warga emas tersebut gagal mengingati apa-apa maklumat berkenaan dirinya atau keluarga.

Dalam pada itu, dia juga tidak dapat mengenalpasti bangsa uncle tersebut tetapi mendoakan supaya urusannya dipermudahkan. 

"Kalau ada sesiapa kenal dan ada maklumat tentang waris uncle ni boleh hubungi Balai Polis Jitra. 

"Dia tak ingat apa-apa jadi susah sikit nak tau maklumat pasal keluarga dia. Nombor plate kereta pun tak sempat nak ambil. 

"Lagi satu uncle ni habaq (beritahu) dia mai (datang) dari Penang. Jalan kaki nak balik Penang lepas kena tinggal. Cerita sebenarnya tak tahu la. Semoga dipermudahkan urusan uncle. Uncle ni bukan Melayu, sama ada Cina atau Siam," tulisnya.  

Norshuhada berkata warga emas ini tak dapat mengingati butiran peribadi anak-anak dan keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Mohd Ismail Ibrahim ketika dihubungi mStar berkata tiada sebarang laporan yang dibuat mengenai perkara ini sehingga hari ini.

"Setakat ini, tiada lagi sebarang laporan polis yang dibuat berkenaan dengan kes warga emas itu," katanya.

Begitulah kisah yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Norshuhada Shuib apabila dia dimaklumkan mengenai seorang bapa yang ditinggalkan anak di hadapan rumahnya di Kampung Cherok Mokkan, Napoh, Jitra, Kedah pada petang Rabu kira-kira pukul 4.30 petang. 
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
warga emas, tinggal, kerepek, seringgit

Artikel Lain