suria

Jangan lihat jari jemari murid ini yang saling melekat, lihatlah betapa sempurna tulisannya - “Kalau ikutkan saya tak nak bagi dia sekolah”

Alif tetap bersemangat ke sekolah walaupun keadaan fizikalnya tidak sempurna.

LUAR biasa! Itulah yang dapat menggambarkan kelebihan dimiliki seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang dapat menulis tulisan jawi dengan kemas dan cantik meskipun keadaan jarinya tidak sempurna.

Perkongsian Ruziah Ismail mengenai kisah anaknya, Muhammad Alif Firdaus yang menghidap Epidermolysis Bullosa iaitu salah satu penyakit kulit yang serius di Facebook meruntun hati netizen.

"Walaupun jari jemari adik tak sempurna seperti kanak-kanak lain tapi tulisan adik tetap cantik dan kemas, kalah abang dan kakak. Tulisan umi pun tak leh secantik tulisan adik tau.

ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama tak sempurna... babak dua rakan suap kawan ‘anak syurga’ buat ramai bergenang air mata

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu menangis lihat murid darjah 1 ceria bawa ibu ayah buta lawat sekolah, tunjuk kelasnya- “Mana pondok mak nak tunggu kamu?”

"Kalau ikutkan memang susah adik nak menulis disebabkan jari jemari adik yang dah melekat antara satu sama lain tapi adik tetap semangat. Semoga adik sentiasa di bawah lindungan Allah," kata wanita berusia 40 tahun itu.

Alif mengalami penyakit kulit yang serius sejak lahir.

Rata-rata netizen kagum dengan semangat murid darjah tiga itu yang tetap pergi ke sekolah dalam keadaan fizikalnya yang serba kekurangan.

"Ya Allah comelnya tulisan adik Alif. Semoga Allah permudahkan segala urusan adik Alif. Aamiin," kata Na Zura.

"Semoga adik Alif terus bersemangat dan menjadi anak yang soleh dan cemerlang dalam pelajaran," kata Miey Yasmin.

Ruziah ketika dihubungi mStar berkata dia sendiri terkejut dengan tulisan jawi anak bongsunya itu yang kelihatan begitu sempurna.

"Cikgu suruh tulis ayat Al-Fatihah tapi dia tak sempat buat dekat sekolah sebab panjang. Balik tu dia minta saya ambilkan surah tu untuk dia salin balik. Saya tengok terkejutlah memang cantik sangat tulisan dia.

"Kalau tengok tangan dia tu memang susah dia nak tulis. Jari jemari dia memang melekat. Cuma tinggal ibu jari je. Sekarang dia sepit pensel dekat celah ibu jari dia tu," katanya.

Alif bersama ibunya.

Melihat keadaan fizikal dan kulit anaknya yang begitu sensitif, Ruziah berkata dia pernah berniat untuk tidak menghantarnya ke sekolah kerana bimbang dengan risiko yang bakal dihadapi anak bongsunya itu.

"Alif sakit sejak lahir lagi. Dari lahir lagi kulit dia memang rapuh. Kalau kulit kita ada banyak lapisan tapi dia tak cukup lapisan. Penyakit dia genetik memang tak ada penawar. 

"Masa nak masuk sekolah memang kalau ikutkan saya tak nak bagi dia sekolah. Tapi takkan nak dia duduk dekat rumah je. Bila fikir balik eloklah dia sekolah cuma saya banyak pergi jenguk dia kat sana. 

Kalau tengok tangan dia tu memang susah dia nak tulis. Jari jemari dia memang melekat. Cuma tinggal ibu jari je. Sekarang dia sepit pensel dekat celah ibu jari dia tu.

RUZIAH ISMAIL

SURI RUMAH

"Masa darjah satu dulu memang full time saya dekat sekolah dalam tempoh lima bulan pertama tu. Bila dia dah berdikari sendiri tu barulah saya datang waktu rehat sahaja sebab dia susah nak pegang sudu dan perlu pakai pampers," katanya.

Malah Ruziah mendedahkan Muhammad Alif atau mesra disapa Alif pernah bertanya mengenai keadaan fizikalnya itu.

"Kadang-kadang dia tanya kenapa tangan dia macam tu. Tapi saya beritahu elok-elok. Kadang tu kita menangis dalam hati tapi tak nak bagi dia nampak. 

Rakan-rakan Alif sering membantunya semasa di sekolah.

"Saya beritahu Allah sayang dekat dia. Alhamdulillah bila dia tanya je, saya jawab dia boleh faham," katanya sambil memaklumkan anaknya itu perlu berulang alik ke hospital untuk merawat penyakitnya.

Sementara itu, Ruziah yang juga seorang suri rumah bersyukur kerana anaknya itu dikurniakan rakan-rakan yang baik dan memahami di sekolah.

"Alhamdulillah kawan-kawan dia OK dengan dia. Kalau ada kelas yang memerlukan dia bergerak contohnya pergi makmal Sains memang kawan dia akan pimpin dia. 

"Kawan dia semua OK. Saya pun harap agar Allah beri kesembuhan pada dia suatu hari nanti kerana saya percaya semua penyakit ada penawarnya," kata ibu tiga anak itu.

Mengenai posting itu, Ruziah tidak menduga perkongsian sekadar untuk suka-suka itu akan mendapat perhatian netizen.

"Sebenarnya niat saya post sekadar untuk suka-suka saja. Tak sangka viral macam ni. Semoga kisah Alif boleh beri inspirasi kepada orang lain," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain