suria

Hanya pakai contact lens 3 jam, gadis alami pengalaman ngeri mata tak boleh buka jam 4.30 pagi - “Saya terpaksa dipapah, tak nampak apa-apa di hospital”

Nana terkena jangkitan mata dua bulan lalu yang menyebabkan matanya bengkak dan berair.

HANYA memakai kanta lekap (contact lens) dalam tempoh tiga jam, namun gadis ini terpaksa menanggung 'azab' sehingga dua minggu lamanya, gara-gara jangkitan kuman pada mata.

Gadis ini turut berkongsi pengalaman ngerinya itu menerusi klip video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

"Semoga dijadikan pengajaran untuk awak semua," demikian kapsyen yang ditulis pada video tersebut yang sehingga kini meraih lebih dari 530,000 jumlah tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Eh! Mata ori disangka contact lens... Gadis bermata hazel dedah ibu bukan sahaja tak tenung mata kucing, tapi si bulus pun mak tak suka! - “Arwah moyang keturunan campur”

ARTIKEL BERKAITAN: Suka tidur tanpa buka kanta lekap? Awas ia boleh sebabkan mata buta!

Bercerita kepada mStar, Nur Hidayah Farzana Abdullah atau senang disapa sebagai Nana berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira dua bulan yang lalu.

"Pada malam tu, dekat rumah kami ada buat sambutan majlis hari lahir, dan saya saja pakai kanta lekap. Saya memang biasa pakai sebelum ini yang ada 'power' rendah sebab saya rabun sikit saja.

"Selepas majlis habis, saya tanggalkan lens, bersihkan diri dan masuk tidur. Dalam pukul 1.30 pagi, mata saya rasa gatal. Saya tak ambil serius sebab biasa pernah mata gatal.



Mata Nana terkena jangkitan kuman akibat faktor kebersihan kanta lekap.

"Tapi pukul 4.30 pagi, saya terjaga dan mata memang tak boleh buka... penglihatan pun tak jelas. Masa tu dah rasa sakit. Pagi tu dengan ditemani nenek saudara, saya bergegas ke Hospital Sultanah Aminah (HSA). Mata dah berair-air dan bengkak," cerita gadis berusia 18 tahun ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurutnya, doktor mengesahkan keadaan matanya itu disebabkan jangkitan kuman akibat faktor kebersihan kanta lekap.

"Doktor cuci mata, sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Walaupun diberi ubat bius, saya tetap rasa sakit lebih-lebih lagi bila doktor nak keluarkan cecair dalam kelopak mata.

"Selesai rawatan tidak lama kemudian, memang saya tak nampak apa-apa dah. Nenek saudara terpaksa papah untuk berjalan," cerita Nana sambil menambah, dia perlu menjalani rawatan susulan selepas itu.

Memang saya dah serik... tak sanggup lagi hadap rasa sakit. Sekarang memang saya bercermin mata. Mak pun buang dah lens saya.

NUR HIDAYAH FARZANA ABDULLAH

Menurut Nana, matanya mengambil masa selama dua minggu untuk pulih sepenuhnya.

"Ini pertama kali terjadi selama saya pakai lens. Sebelum ini mak pernah cerita kisah kawannya yang terkena jangkitan sebab lens, tapi saya tak ambil endah sangat, sehinggalah bila terkena pada diri sendiri.

"Memang saya dah serik... tak sanggup lagi hadap rasa sakit. Sekarang memang saya bercermin mata. Mak pun buang dah lens saya. Saya muat naik di TikTok sebab nak kongsi pengalaman agar dijadikan pengajaran. Saya tak mahu orang lain rasa apa yang saya pernah rasa.



Nana sebelum ini gemar memakai kanta lekap (kiri), namun dirinya sudah serik dan lebih selesa memakai cermin mata (kanan).

"Ramai yang DM sebab nak tahu cerita sebenar. Saya nak jelaskan, ia bukan sebab saya tertidur atau pakai dalam tempoh lama. Tapi mungkin sebab faktor kebersihan. Namun saya bersyukur, mata saya pulih. Tak sanggup bayangkan jika sesuatu berlaku pada salah satu organ terpenting kita.

"Bagi mereka yang suka pakai lens, jagalah kebersihan betul-betul dan beli daripada outlet sah. Untuk mereka yang rabun, seeloknya pakailah cermin mata berbanding lens," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain